Home » » Kesan positif aromaterapi

Kesan positif aromaterapi

Bagaimanakah rawatan pati bunga memberi kesan positif kepada kesihatan fizikal dan emosi seseorang?

Tekanan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Ia terbahagi kepada pelbagai bentuk. Antaranya termasuklah masalah kerjaya, pasangan hidup, kewangan, mental, emosi dan sebagainya.

Justeru, bagi membantu melegakan sesuatu tekanan atau stres dalam kehidupan kita seharian, aromaterapi boleh menjadi salah satu alternatif untuk meredakan masalah yang dihadapi.

Pakar aromaterapi, Krissy Gee yang telah lama terlibat dalam bidang ini menjelaskan, aromaterapi merupakan pilihan rawatan penjagaan kesihatan yang mampu memberi ketenangan pada seseorang individu.

“Secara saintifiknya rawatan aromaterapi boleh meningkatkan kualiti kesihatan manusia kerana ia menggunakan pati organik semula jadi yang diekstrak daripada tumbuh-tumbuhan.

“Penggunaan minyak pati secara sistematik dalam rawatan holistik dipercayai dapat memperbaiki tahap kesihatan fizikal dan emosi seseorang.

“Selain itu, minyak pati juga mampu memberi kesan terapeutik untuk kesihatan dan perlindungan daripada penyakit,” kata Krissy ketika ditemui sewaktu bengkel aromaterapi anjuran Genious Concept. Bengkel tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pusat Komuniti Wanita Cawangan Gombak, Selayang dan Batu Caves baru-baru ini.

Aromaterapi adalah rawatan melalui bau yang menggunakan beberapa titisan minyak pati tumbuhan. Ia boleh dilakukan sama ada dengan cara urutan di badan, dimasukkan ke dalam wap air panas untuk dihidu wapnya atau dititis dalam tab atau air mandian untuk mendapatkan keharumannya.

Tambah Krissy, rawatan aromaterapi menggunakan minyak pati tumbuhan tertentu boleh menjadikan seseorang individu awet muda dan melambatkan proses penuaan di samping memberi kesan positif pada emosi dan psikologi mereka.

“Sebagai contoh minyak pati lavender baik untuk merawat kulit kering atau tidak bermaya selain mampu memberi ketenangan minda. Bagi individu berkulit sensitif yang bertindak balas dengan suhu sejuk, haba atau produk kecantikan pula, mereka boleh menggunakan minyak pati chamomile, sandalwood, neroli dan rose.

“Sementara itu, khasiat pati tumbuhan lada hitam dan serai wangi boleh melancarkan peredaran darah manakala minyak pati bunga mawar membantu mengimbangi hormon badan khususnya wanita.

“Tidak ketinggalan, minyak pati juga boleh menjauhkan jangkitan virus seperti selesema, asma dan resdung serta meningkatkan sistem ketahanan badan,” jelas Krissy yang juga Pengarah Eksekutif dari Thomsonian New Technology Sdn. Bhd.

Seorang lagi suri rumah, Zainab Akhtar Mirdad, 44, berkata, penganjuran bengkel tersebut amat dialu-alukan kerana dia cukup berminat dalam bidang aromaterapi.

“Saya sudah lama mengetahui kebaikan rawatan secara aromaterapi. Tambahan pula, anak saya ada menghidap resdung dan saya ingin mencuba rawatan sebegini,” kata Zainab, seorang surirumah.

Sementara itu, bagi Nor Hafizah Zakaria, 27, sejak belasan tahun dia meminati aromaterapi. Biasanya dia akan mengumpul koleksi pelbagai jenis lilin aromaterapi yang dihias di kamar tidur dan ruang di dalam rumahnya.

“Walaupun telah lama mengumpul koleksi tersebut, namun sebenarnya saya tidak mempunyai pengetahuan yang terperinci mengenai aromaterapi,” kata ibu kepada sepasang cahaya mata ini.

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

*** SATU bengkel aromaterapi akan diadakan di Prescott Inn, Medan Tunku, Kuala Lumpur pada 10 dan 17 Januari 2009. Penyertaan terhad kepada 10 hingga 15 peserta. Kepada yang berminat boleh menghubungi Irma di talian 012-2290970. Yuran bengkel adalah sebanyak RM300. Bengkel ini akan berlangsung daripada pukul 9 pagi hingga 5 petang.



1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

saya suka urut aromaterapi...best jer rasa badan pas kena urut tu...rugi tak try...

Catat Ulasan

 
Chatroom