Home » » Susut badan berkesan apabila diumpan wang

Susut badan berkesan apabila diumpan wang

Mengurangkan berat badan nyata mudah apabila mereka diberikan wang, lapor penyelidik Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Menurut laporan terbabit, program mengurangkan berat badan yang memberi ganjaran wang dikatakan insentif cukup memberangsangkan berbanding kaedah lebih konvensional.

Laporan berkenaan adalah antara hasil kajian Dr Kevin Volpp daripada Sekolah Perubatan Universiti Pennsylvania yang mencari kaedah berkesan untuk menangani obesiti, masalah yang turut dikaitkan dengan risiko kesihatan serius.

Menurutnya, kebanyakan program penurunan berat badan gagal disebabkan ramai yang diminta untuk melakukan pengorbanan bagi memperoleh ganjaran pada masa depan.

"Kami mahu mencipta sistem ganjaran yang memberikan pulangan untuk mereka sekarang," katanya.

Kajian beliau turut disenaraikan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika.

Volpp dan rakan sekerjanya melakukan kajian ke atas dua jenis program pemberian ganjaran untuk menurunkan berat badan.

Satu cara adalah berasaskan loteri iaitu peserta bermain loteri dan dibenarkan untuk mengutip kemenangan mereka jika berjaya memenuhi sasaran pengurangan berat badan masing-masing.

Loteri itu diadakan setiap hari dan peserta akan dimaklumkan hadiah mereka jika berjaya memenuhi sasaran.

"Kaedah itu boleh menimbulkan rasa benci pada kekalahan," kata Volpp.

Ini sekali gus mencipta satu mekanisme yang mana rasa kalah akan mendorong semangat seseorang.

Satu lagi kaedah adalah kontrak deposit iaitu peserta melabur wang mereka sendiri dalam jumlah yang kecil, antara satu sen (RM0.35) hingga AS$3 (RM10.5) setiap hari.

Peserta akan kehilangan wang mereka di akhir bulan jika gagal untuk mencapai matlamat masing-masing. Mereka yang memilih kaedah ini juga diberikan bonus jika berjaya mencapai sasaran.

"Peserta akan hanya menerima ganjaran mereka di akhir bulan jika berat mereka mencapai matlamat masing-masing untuk bulan berkenaan," kata Volpp.

Penyelidik menjalankan kajian ke atas 57 orang dalam kategori obes yang dibahagikan kepada dua kumpulan di samping satu lagi kumpulan kawalan. Masing-masing mempunyai sasaran untuk menurunkan kira-kira 7.26 kilogram (kg) selepas empat bulan.

Peserta yang berada dalam kelompok ganjaran mencatatkan penurunan berat badan ketara berbanding mereka yang tidak menerima ganjaran manakala separuh daripada peserta dalam setiap kumpulan yang melaksanakan dua kaedah terbabit mencapai matlamat berat mereka.

Peserta dalam program loteri berjaya menurunkan berat kira-kira 5.9 kg manakala peserta kumpulan deposit berjaya menurunkan berat sehingga 6.35 kg.

Mereka yang berada dalam kumpulan kawalan diberi ganjaran jeans juga berjaya menurunkan berat kira-kira dua kilogram selepas empat bulan.

Volpp berkata, kajian berkenaan sangat berkesan untuk menurunkan berat badan bagi jangka pendek, tetapi apabila wang tidak lagi disalurkan kepada mereka, berat badan mereka mula meningkat.

"Kami masih perlu menentukan sama ada cara terbabit berkesan dalam mengekalkan berat badan masing-masing," katanya.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom