Home » Implan gigi

Implan gigi

Satu nikmat hidup hilang apabila kita tidak boleh atau susah hendak makan. Puncanya kecil saja, iaitu ketiadaan gigi.

Tanpa gigi, tidak mungkin kita dapat menikmati keenakan makanan kegemaran kerana nikmat satu-satu makanan itu biasanya dirasai ketika ia dikunyah.

Antara cara yang biasa dilakukan untuk mengatasi perkara ini ialah memakai gigi palsu. Bagaimanapun, ia masih ada kekurangan kerana kira-kira 50 peratus pengguna gigi palsu mengalami masalah seperti masalah gigi tertanggal, tidak selesa atau sakit ketika dipakai akibat saiz gigi dan gusi yang tidak sepadan atau sukar mengunyah makanan.

Kehilangan gigi menyebabkan ramai terpaksa mengehadkan pilihan makanan. Makanan yang keras dan rangup seperti buah-buahan mungkin sukar sedikit untuk dimakan. Malah, tidak kurang juga yang terpaksa memotong makanan menjadi kecil supaya ia lebih mudah dikunyah.

Apabila membincangkan soal tiada gigi, terus terlintas dalam fikiran perkara ini lazimnya berlaku pada orang tua. Memang benar, tetapi ia juga berlaku pada golongan di bawah umur 45 tahun.

Masalah ketiadaan gigi juga banyak berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat dan dianggarkan lebih 20 juta penduduknya memakai gigi palsu.

Satu pertiga penduduk Amerika berumur 65 tahun kehilangan lebih separuh gigi asal dan satu pertiga di kalangan 70 tahun ke atas tiada gigi langsung.

Di Malaysia, masalah ketiadaan gigi berlaku pada umur lebih muda — tiga peratus orang dewasa berumur 35 hingga 44 tahun tidak mempunyai gigi dan angka ini meningkat kepada 40 peratus (65 hingga 74 tahun) dan mencecah 70 peratus bagi warga emas melebihi 75 tahun.

Di negara kita, lebih 70 peratus kes kehilangan gigi disebabkan trauma atau kemalangan. Di kalangan individu tiada gigi pula, hanya 52 peratus memakai gigi palsu walaupun tahu ketiadaan gigi boleh menjejaskan penampilan mereka.

Menurut Perunding Pembedahan Pergigian dan Maksilofasial Oral, Pusat Perubatan Sunway, Dr Michael Ong, selain gigi palsu, ada kaedah lain yang boleh membantu seseorang untuk makan dengan lebih baik iaitu melalui kaedah implan gigi.

Implan gigi pada asalnya direka untuk membantu orang tua yang kehilangan gigi akibat proses penuaan atau mereka yang tiada gigi langsung.

Bagaimanapun, kini rawatan implan gigi diberi kepada semua peringkat umur yang kehilangan gigi atas pelbagai sebab, seperti terbabit dalam kemalangan atau penyakit gusi. Namun, ia jarang dilakukan ke atas kanak-kanak kerana tulang rahang mereka belum matang sepenuhnya.

Apa itu implan gigi? Ia berbentuk seperti skru, dihasilkan daripada logam titanium (bahan sama untuk rawatan tulang patah) yang ditanam pada tulang rahang di tempat asal gigi yang tanggal. Ia bertindak sebagai akar bagi gigi palsu. Kaedah ini boleh digunakan untuk menggantikan satu atau beberapa batang gigi.

Ada juga implan berbentuk bilah; juga ditanam ke dalam tulang rahang. Bagaimanapun, kini lebih 90 peratus implan yang ada di pasaran di seluruh dunia berbentuk seperti skru.

Implan gigi bukan sekadar membolehkan seseorang makan dengan lebih baik, tetapi ia juga bertujuan:

# Menggantikan satu atau lebih gigi yang hilang tanpa menjejaskan gigi bersebelahan

# Memberi sokongan kepada barisan gigi palsu, menjadikan ia lebih kukuh dan selesa

# Tidak perlu lagi menggunakan gigi palsu boleh tanggal (sekali gus menyelesaikan masalah berkaitan gigi palsu boleh tanggal)

# Membantu mengekalkan bentuk muka kerana kehilangan gigi lama kelamaan menyebabkan rahang mengecut dan membuatkan bahagian bawah muka kelihatan turut mengecil

# Membolehkan seseorang bercakap dengan selesa

# Membantu mengembalikan keyakinan kerana ramai berasa rendah diri dan malu untuk membuka mulut apabila kehilangan gigi, terutama gigi kacip (bahagian depan). Ia juga penting untuk memperlihatkan imej menarik dan meyakinkan, khususnya bagi individu yang mencari kerja

Implan gigi boleh diumpamakan sebagai gigi kekal kerana ia ditanam pada tulang rahang. Apabila gigi tertanggal, tulang rahang mengecut secara perlahan-lahan dan ia mempengaruhi tisu lembut pada gusi.

Ini sebabnya individu yang memakai gigi palsu mengalami masalah padanan, ketidakselesaan, kerap tertanggal dan sukar mengunyah selepas tempoh tertentu.

Siapa yang boleh menjalani rawatan implan gigi? Dr Ong berkata, ia boleh dilakukan pada sesiapa saja, termasuk warga emas dan pesakit kencing manis, dengan syarat penyakit mereka dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun, pesakit kencing manis lebih cenderung untuk mengalami jangkitan pada bahagian implan.

“Untuk perokok, beberapa peraturan perlu dipatuhi sebelum dan selepas menjalani rawatan implan. Mereka perlu berhenti merokok sekurang-kurangnya seminggu sebelum prosedur dan lapan minggu selepas implan ditanam. Ia bertujuan memberi masa untuk rahang kembali ke saiz asal kerana mengubah saiz rahang.

“Biasanya implan ‘ditutup’ dengan korona untuk membentuk gigi palsu. Walaupun secara teorinya ia boleh kekal sepanjang hayat, gigi palsu ini perlu dijaga seperti gigi asal supaya tahan lama,” katanya pada forum kesihatan anjuran Pusat Perubatan Sunway.

Bagaimana dan bila implan gigi dilakukan?

Rawatan implan membabitkan dua fasa iaitu penanaman implan ke dalam tulang rahang dan diikuti pembentukan korona sebagai gigi.

Dua fasa ini boleh dilakukan pada masa sama atau berasingan. Pesakit juga boleh menangguhkan untuk proses pembentukan korona mengikut kesediaannya.

Sebelum implan ditanam, pesakit diberi bius setempat dan tidak berasa sakit sepanjang prosedur dijalankan. Apabila kesan ubat bius hilang (selepas tiga atau empat jam), pesakit mungkin berasa tidak selesa sedikit. Darjah ketidakselesaan ini bagaimanapun berbeza antara individu mengikut daya ketahanan masing-masing.

Kadangkala doktor perlu melakukan ‘graf tulang’ iaitu proses membentuk tulang bagi memastikan implan boleh ditanam dengan baik. Untuk proses ini, doktor memerlukan tulang lain untuk merangsang pembentukan tulang baru.

Ia boleh diambil daripada tulang di dalam mulut atau dari pinggul pesakit. Usah risau jika anda berhajat menjalani rawatan implan gigi kerana bukan semua kes memerlukan proses ini.

Bila mahu menjalani rawatan ini, terpulang kepada setiap individu. Dr Ong berkata, ia boleh dilakukan secepat mungkin, iaitu sebaik gigi tertanggal atau ditangguhkan sehingga tulang rahang pada bahagian gigi yang hilang kelihatan tertonjol sedikit dan nampak lebih jelas.

Adakah peluang kejayaan menanam implan tinggi?

Menurut Dr Ong, rawatan implan gigi mempunyai peratus kejayaan yang tinggi. Kebanyakan kes yang gagal disebabkan masalah kesihatan pesakit seperti menghidap kencing manis kerana mereka lebih cenderung mengalami jangkitan.

Kadangkala jangkitan berlaku dua atau tiga tahun selepas rawatan. Jika berlaku jangkitan, implan berkenaan perlu dikeluarkan kerana ia boleh menyebabkan kebas dan pesakit tidak boleh makan.

Selepas implan dikeluarkan, doktor melakukan graf tulang supaya tulang pada bahagian berkenaan menjadi kuat semula dan mempercepatkan penyembuhan. Selepas tulang sembuh, baru implan dimasukkan semula.

“Kejayaan implan pada rahang bawah adalah lebih tinggi (95 peratus) berbanding rahang atas (80 peratus). Implan gigi perlu dilakukan dengan teliti iaitu dua milimeter jaraknya dari saraf.

“Jika saraf tercedera, bibir menjadi kebas dan menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit selepas prosedur selesai,” katanya.

Siapa yang boleh menjalankan rawatan implan gigi?


Rawatan implan gigi boleh dilakukan oleh pakar bedah maksilofasial oral, pakar pergigian atau doktor gigi yang ada pentauliahan Kongres Implan Antarabangsa (ICOI), Amerika Syarikat.

Selain menimbangkan pemilihan pakar, antara perkara yang perlu diberi pertimbangan ialah kos rawatan. Kos keseluruhan rawatan berbeza antara pusat rawatan dan jenis implan yang diguna. Sehingga kini ada lebih 30 jenis implan di pasaran dengan harga yang jauh berbeza.

Secara purata, rawatan implan gigi menelan belanja antara RM2,000 hingga RM10,000 tertakluk kepada jenama dan jenis implan serta bayaran hospital.

“Oleh kerana kos rawatan implan tinggi, kita perlu menjaga gigi dengan baik dengan memberus dan flos setiap kali selepas makan. Amalan ini boleh memanjangkan hayat gigi.

Bagi yang sudah menjalani rawatan ini, mereka juga perlu menjaga gigi baru seperti gigi asal dan dapatkan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Berdasarkan maklum balas diterima, kebanyakan pesakit berpuas hati dengan implan gigi kerana mereka bukan saja boleh makan semua makanan kegemaran, malah berasa lebih yakin untuk berdepan orang lain,” katanya.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



12 Komen:

Tanpa Nama berkata...

assalammualikum..sy trbce blog ini. sy rs blog ini tlh mmbri sy satu cra utk mmenigktkan keyakinan diri sy. boleh sy tnye, di mnekh sy blh dptkan rwtn ini. n mne yg lbh baik.,,? kdg2, sy ade prnh dgr org ckp.. ader tmpt nk duit jer.. impak dr rwtn tidk diendhkan krn tiada ketelitian sms rwtn.. takut jugk tuuu.. blh ban2?

Tanpa Nama berkata...

berapa kos utk 4batang gigi kacip bhgian dpn (atas) jika m'buat implan??

Tanpa Nama berkata...

Adalah dinasihatkan pesakit membuat 'window shopping' di beberapa klinik sebelum membuat rawatan implan. Jika di klinik kerajaan, anda bole berjumpa mana2 doktor gigi dan jika berminat biasanya anda akan dirujuk ke doktor gigi pakar berhampiran tempat anda.
Kos untuk implan pula bergantung kepada jenis implan dan jumlah implan yang diperlukan. Purata kos adalah rm2000-10000 untuk sebatang implan.Memang mahal, oleh itu sayangilah dan jagalah gigi anda yang sedia ada (gosok gigi dan dental check-up setahun sekali),sesungguhnya gigi pemberian tuhan itulah yang terbaikkkk......

Tanpa Nama berkata...

saya baru check dgn doktor gigi slps 5hari merasa kebas2, sakit berdenyut2 dan x selesa di bahagian geraham besar (kedudukan ke3 dr belakang)doktor ckp saya perlu menjalani rawatan saraf atau cabut. Gigi tersebut masih mempunyai tampalan yg dibuat pd beberapa belas tahun yg lalu (masa sek rendah).dari luaran keadaan gigi tersebut nampak masih sama mcm dulu,tampalan pun xpernah pecah. Kalau saya decide ntk cabut,bolehka saya buat implant immediately after cabut.Saya ada baca 1artikel,gigi baru akan dipasang selepas 9bulan implant ditanam. Kalau based on statement di ats, boleh buat pd masa yg sama kan? Tapi kalau betul ada tempohnya..bolehka saya cabut gigi di klinik lain,implant di klinik lain,pasang gigi pun kt klinik lain? (sebab situasi saya sekarang yg kena bergerak merata tempat ntk beberapa tempoh) masalah ke kalau macam ni?

Selain dari implant,adakah proses penggantian gigi macam gigi palsu sementara ke apa ke..boleh menyebabkan gigi lain bergerak x?disebabkan space gigi geraham yg dh dicabut tu? :)

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum . nak tanya kalau gusi selalu saja bengkak dan gigi selalu saje sakit . rawatan apekah yang perlu dijalankan . saya berminat untuk tanam gigi tapin kos nya agak mahal dan tempat nya saya tidak tahu dimana .

Tanpa Nama berkata...

As salam. Nak tanya, klau mcm kt dh cabut gg pastu kt biarkan sthin@ 2 tahun. Masih boleh ke buat implant?

Unknown berkata...

Ritter Implant @ Malaysia menawarkan 200 implant gigi kepada ANDA dengan harga istimewa: Lawati facebook: Rawatgg Smile untuk pertanyaan.

Tanpa Nama berkata...

salam...bila baca blog ni terasa mcm nak wat gigi baru,tapi saya ni ada kencing manis tahap gula saya wat mse ni 8.2..adakah berbahaya seandainya saya nak buat impalan gigi...

Unknown berkata...

Boleh x buat implan pada 4 gigi depan skali?n nak tahu berapa kos untuk membuat rawatan ini?

Unknown berkata...

Boleh x buat implan pada 4 gigi depan skali?n nak tahu berapa kos untuk membuat rawatan ini?

Tanpa Nama berkata...

salam sejahtera.
saya baru seminggu cabut gigi sebatang gigi hadapan. saya dah pakai gigi palsu. tetapi kurang selesa apabila makan. doktor mencadangkan supaya saya buat jejambat gigi (bridge).tapi setelah saya membaca artikel ini. saya berminat untuk buat implan gigi. Berapakah kos untuk sebatang gigi hadapan.

Unknown berkata...

Salam doc
Saya nak tanya kalau nak tanam 3 batang gigi hadapan berapa batang tiang perlu dipasang adakah satu pasang tiang dapat cover untuk 3 batang gigi atau satu batu gigi untuk satu tiang boleh beri pencerahan sikit tentang implan nie,terima kasih

Catat Ulasan

 
Chatroom