Home » » Nikmati khasiat epal

Nikmati khasiat epal

Dalam kegawatan ekonomi, mungkin ramai yang mencari buah-buahan yang mampu dibeli untuk dihidangkan bersama juadah tengah hari mahupun makan malam.

Antara semua buah-buahan yang terdapat di negara ini, epal dikatakan antara buah yang paling mampu dibeli masyarakat negara ini, tambahan pula ia cukup berkhasiat dan lazat.

Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia makan epal, Suruhanjaya Epal Washington (WAC) mengambil langkah menganjurkan siri program pendidikan dan promosi yang ditujukan kepada semua lapisan masyarakat pada bulan-bulan akan datang.

Buat permulaan, program pertukaran Epal Washington akan diadakan di semua gedung Giant dan Cold Storage bermula pertengahan April lalu. Program yang sama juga akan menyusul di pasar raya besar lain tidak lama lagi. Semua ini dilakukan demi memberikan nilai tambahan kepada pengemar-pengemar epal.

Gedung-gedung utama di seluruh negara juga akan berganding bahu untuk menggalakkan orang ramai makan epal. Paparan pendidikan dan promosi di kaunter sampel yang terletak di gedung tersebut turut membolehkan orang ramai mempelajari fakta-fakta mengenai epal menerusi risalah yang disediakan.

Lebih menarik, para pembeli di gedung-gedung ini akan menerima cenderahati istimewa dengan setiap pembelian minimum Epal Washington.

Menurut wakil pasaran bagi Suruhanjaya Epal Washington, Eddie Saw, epal Washington ditanam di kawasan terbaik untuk menghasilkan buah yang paling besar, lazat berair dan rangup.

''Jadi tidak hairanlah jika ia digemari masyarakat di seluruh dunia," katanya.

Jelasnya, epal jenis ini boleh didapati dalam pelbagai jenis yang menyelerakan termasuk Red Delicious, Golden Delicious, Cameo, Granny Smith (baik untuk dibuat jus), Gala, Fuji dan juga pelbagai jenis lain seperti Braeburn, Jonagold dan Cripps Pink.

Sementara itu, Pengurus Kategori (Bahagian Buah-Buahan Import) Giant, A Retna Malar Subramaniam berkata, epal adalah sejenis buah ruji yang penting bagi rakyat Malaysia melihat kepada jumlah peningkatan jualan epal yang menggalakkan.

''Peningkatan berlaku kerana pembeli mendapati buah ini cukup lazat dan mampu dibeli. Ini pastinya menarik perhatian pembeli bijak pada waktu kegawatan ekonomi ini. Antara epal yang paling digemari adalah epal Washington," kata Retna.

Pengurus Kecergasan Serantau True Fitness, Sam Lee, yang diberi peluang merasai kelazatan epal Washington memberitahu, pihaknya cukup gembira dengan usaha Suruhanjaya Epal Washington mempromosikan manfaat epal kepada masyarakat tempatan.

Sebabnya, epal adalah pilihan makanan yang baik terutamanya bagi mereka yang sentiasa bergerak.

''Saya mesti makan sebiji epal sehari kerana nutriennya membantu menyokong program senaman dan kecergasan saya. Ia juga membantu memastikan saya sentiasa bertenaga sepanjang hari," ujar Sam.

Kebaikan epal turut mendapat pandangan positif daripada pakar pemakanan di institusi kesihatan utama.

Menurut Pakar Diet Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing, keunikan epal ialah, ia tidak mempunyai lemak, mengandungi kandungan nutrien dan serat termasuk anti-oksidan yang meningkatkan prestasi badan.

Kata Yen Sing, kajian juga menunjukkan bahawa epal juga baik untuk mengurangkan risiko sakit jantung dan kanser, lantas mengurangkan kolesterol darah.

Seorang lagi pakar pemakanan yang mengkhusus dalam penyelidikan buah, Prof. Madya Dr. Rokiah Mohd Yusof yang merupakan Pakar Pemakanan di Universiti Putra Malaysia juga berpendapat epal baik untuk kesihatan adn merupakan salah satu pilihan buah yang sesuai di pasaran.

''Saya menggalakkan orang ramai mengambil sekurang-kurangnya tiga hidangan buah sehari," kata Dr. Rokiah.

Oleh ROSMAWATI MION



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom