Home » » Petua sihat Zaleha

Petua sihat Zaleha

Gaya hidup sihat bukan saja bermula dari sudut pemakanan sebaliknya ia membabitkan empat elemen penting iaitu penjagaan rohani, minda, jasmani dan juga emosi. Itulah yang diamalkan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Zaleha Ismail yang berjaya memberi kesan positif dalam hidupnya walaupun kini usianya sudah mencecah 72 tahun.

Masih sihat, tajam pemikiran dan cergas, nenek kepada 11 cucu ini sentiasa ceria dan gembira. Malah, bekas Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat sejak 1995 hingga Disember 1999 itu juga masih aktif bekerja dan sikapnya yang gemar menegur orang ramai membuatkan beliau antara tokoh politik yang terkenal hingga hari ini.

Bagi beliau, bertegur sapa dengan mengucapkan salam, ‘hi’ ataupun ‘hello’ sambil menghulurkan senyuman mampu memberi kegembiraan. Cara ringkas dan mudah itu secara tidak langsung berupaya meningkatkan tahap kesihatan diri seseorang.

Zaleha berkata, kajian klinikal membuktikan bahawa apabila seseorang itu mengucapkan salam atau bertegur sapa, ia membantu menurunkan tekanan darah tinggi, meningkatkan imunisasi dengan mengeluarkan endofin iaitu pembunuh kesakitan secara semula jadi.

“Ucapkan salam dan kata ‘hi’ kepada seberapa ramai orang di sekeliling secara praktikal. Malah, jadikan ia sebagai rutin harian. Amalan itu bukanlah sesuatu yang berat untuk dilakukan, bahkan dapat mengurangkan tekanan.

“Bukan itu saja, menolong orang juga menyumbang tahap kegembiraan dan kepuasan seseorang. Bagi saya, apabila berjaya menolong seseorang, saya rasa bahagia dan gembira. Tidak kira dari segi apa sekalipun, kelegaan tidak dapat digambarkan kerana terlalu gembira melihat seseorang itu berjaya mencapai sesuatu yang mereka idamkan,” katanya ketika ceramah mengenai penjagaan hidup sihat bertajuk ‘Tiru Macam Saya’ di LPPKN, Jalan Raja Laut, baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi menjadi sihat dan tenang, emosi diri perlu dikawal sebaik mungkin. Bertindak secara positif, berfikiran positif dan hapuskan segala perasaan negatif membantu seseorang mencapai gaya hidup sihat sejahtera.

“Faktor pemakanan juga memberi rangsangan utama iaitu menerusi elemen jasmani yang diamalkan setiap hari. Hidup sihat dengan memakan makanan berkhasiat dan seimbang. Bersederhana dalam pemakanan iaitu makan cukup dan elakkan makanan yang memberi kesan memudaratkan pada masa depan.

“Apa yang tidak berkhasiat, itulah yang sedap. Contohnya, makanan berminyak dan tinggi kandungan lemak. Bukan tidak boleh memakannya, tetapi jangan berlebihan. Jika kita berpenyakit, kita perlulah sanggup berpantang,” katanya.

Zaleha berkata, pemakanan antara faktor membantu meningkatkan kecergasan dan kesihatan minda kerana ilmu yang diterima membabitkan minda dan bahagian otak. Jika pemakanan tidak dijaga secara tidak langsung menjejaskan cara pemikiran.

“Kita perlu tahu memilih makanan di samping mengetahui kandungan khasiat yang diperlukan badan. Saya sihat berikutan saya menjaga corak pemakanan setiap hari. Amalkan dengan cara memakan sayuran dan buahan.

“Sayuran dan buah pelbagai warna menyumbang khasiatnya tersendiri. Jika memakan epal jangan buang kulitnya kerana kulit itulah yang mengandungi banyak khasiatnya,” katanya.

Jika dikenang kembali sejarah dan perjalanan hidup Zaleha, beliau sangat komited dengan tugas sebagai ahli politik. Ibu kepada tiga cahaya mata itu terlalu banyak menyumbang jasa kepada negara dengan pembabitan dunia politik sejak awal 1970-an lagi. Pernah menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno pada 1996 hingga 2000, Zaleha juga tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawab dalam kebajikan demi kepentingan rakyat serta mereka yang memerlukan pertolongan.

Walaupun sibuk dengan tugas harian, ia tidak menjejaskan kesihatan dan kecantikannya kerana Zaleha mengamalkan empat elemen penting itu sejak muda. Kecekalan dan disiplin diri mengamalkan empat elemen berkenaan memberi impak positif kepada Zaleha walaupun sudah berusia.

“Jiwa tenang apabila kita sembahyang dan mengamalkan solat sunat. Amalan itu juga satu senaman yang baik untuk perjalanan darah dalam badan. Jangan lupa luangkan masa dengan berzikir dan wirid kerana melaluinya kita memperoleh pahala, perlindungan dan rahmat-Nya.

“Selain itu, niat dan cara melakukan amalan dengan betul juga mendapat pahala. Tetapkan niat, apa jua yang dilakukan adalah kerana Allah. Jangan lupa juga mengamalkan doa dan juga ayat al-Quran. Sentiasa mengamalkan membaca doa keluar dan masuk rumah serta sebelum dan selepas bangun tidur sebagai tanda bersyukur kerana masih diberi peluang hidup,” katanya.

Amalan rohani, jasmani, minda dan emosi yang baik seperti yang dilakukan Zaleha, menyumbang kepada hidup sihat dan sejahtera.

BIODATA: Tan Sri Zaleha Ismail

* Jawatan kini: Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

* Tempat lahir: Kampung Kelanang, Batu Laut, Kuala Langat, Selangor

* Tarikh lahir: 18 Mei 1936

* Keluarga: Anak sulung daripada sembilan beradik

* Suami: Abdul Rahman Ali

* Pendidikan: Sekolah Melayu Sungai Pelek, Sepang (1942-1945), Sekolah Melayu Bagan Lalang, Sepang Kecil (1945-1946), Sekolah Methodist Perempuan, Kuala Lumpur (1947-1955), Sekolah Menengah St John's, Kuala Lumpur (1957-1960), Universiti Malaya, Singapura (1960-1961)

* Kerjaya: Juruhebah sambilan di Radio Malaysia (1951-1961), Pembantu Program Radio Televisyen Malaysia (RTM) (1961-1965), Pengelola Program Inggeris RTM (1965-1968), Pegawai Ensaiklopedia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (1968-1971), Timbalan Ketua Bahagian Buku Teks DBP (1971-1974), Setiausaha Politik Menteri Kebajikan Masyarakat (1974-1978)

* Kerjaya Politik: Wakil Rakyat Permatang, Selangor dan Exco wanita pertama Selangor (1978-1982), Ahli Parlimen Tanjong Karang (1982-1986), Ahli Parlimen Selayang (1986-1995), Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Pembangunan Wilayah (Ogos 1986), Timbalan Menteri Pengangkutan (Mei 1987-April 1995), Ahli Parlimen Gombak (April 1995-Nov 1999), Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat (Mei 1995-Disember 1999)

* Umno: Ahli sejak 1968, Exco Wanita Umno (Jun 1974-1982), Ketua Wanita Umno Bahagian Setapak (1974), Pengerusi Badan Perhubungan Wanita Umno Wilayah Persekutuan (1977-1978), Ahli Majlis Tertinggi (1978-1984), Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Wanita Umno Selangor (1978-1984), Ketua Penerangan Wanita Umno (1988- 1996), Ketua Wanita Umno Selayang (1986-1994), Ketua Wanita Umno Selangor (1987-1996), Ketua Umno Bahagian Gombak (1994-1998), Ahli Majlis Tertinggi Umno (1996-2000)

Oleh Hidayah Mohammad



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom