Home » » Pemakanan & Kesihatan: Jaga pemakanan ketika Ramadan

Pemakanan & Kesihatan: Jaga pemakanan ketika Ramadan

Di Malaysia, setiap kali menyambut Ramadan lazimnya bagaikan ada 'pesta makanan'. Mana tidak, sepanjang bulan mulia itu aneka juadah boleh didapati daripada yang manis hinggalah pedas, masam dan sebagainya sehingga kecur air liur untuk mencuba semua hidangan itu.

Bagaimanapun, demi menjaga kesihatan walaupun puasa hanya datang sekali dalam setahun setiap individu perlu berhati-hati dengan amalan penjagaan makanan sepanjang bulan mulia ini.

Pakar Pemakanan, Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya, Nurul Aziah Musa, berkata pesakit buah pinggang kronik (CKD) khususnya, wajar lebih waspada dengan pengurusan diet sepanjang Ramadan kerana jika tidak dijaga, dibimbangi tahap kesihatan akan merosot sehingga boleh terjejas teruk.

Nurul Aziah berkata, amalan pengurusan penjagaan pemakanan bagi penghidap CKD bukan saja pada tahap kronik, tetapi merangkumi pesakit awal CKD, pradialisis dan yang sedang menjalani dialisis.

Beliau berkata, antara matlamat utama amalan pemakanan bagi penghidap CKD ialah memperlahankan kegagalan buah pinggang, selain mengurangkan komplikasi lain seperti penyakit kardiovaskular.

Katanya, penghidap CKD juga mesti memastikan pengambilan makanan berkhasiat yang seimbang seperti mengandungi kalori, protein, karbohidrat dan lemak, di samping menjalani kehidupan berkualiti.

“Tekanan darah tinggi, kencing manis dan CKD adalah berkait rapat antara satu sama lain. Tekanan darah tinggi dan glukosa dalam aliran darah yang berlebihan (hiperglisemia) kedua-duanya adalah penyebab kepada komplikasi buah pinggang.

“Justeru, pastikan tekanan darah dan gula dalam darah di kawal dengan baik bagi mengurangkan risiko komplikasi berkenaan,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Pengurusan Diet Bagi Pesakit Penyakit Buah Pinggang Kronik Sepanjang Bulan Puasa di Hotel & Suites Holiday Villa di Subang, baru-baru ini.

Nurul Aziah berkata, rawatan awal bagi CKD ialah mengawal tekanan darah dan gula dalam darah serta mengelakkan pengambilan sesetengah ubat.

Selain itu, katanya, penghidap CKD juga perlu menjaga pemakanan dan melakukan senaman serta kerap bertemu dengan doktor untuk membuat pemeriksaan.

Katanya, pengambilan garam yang disarankan untuk masyarakat Malaysia ialah 6g klorida sodium atau satu sudu teh garam sehari.

Sebagai panduan praktikal untuk mengurangkan garam dalam pemakanan, individu digalakkan memasak menggunakan bahan makanan segar seperti ikan dan daging berbanding makanan yang sudah diproses, dijeruk atau dalam tin.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya kurangkan pengambilan makanan segera dan gunakan bahan-bahan semula jadi seperti rempah-ratus, herba dan penyedap perencah yang tiada garam.

“Masalahnya, pada bulan puasa terutama pada waktu sahur, antara hidangan bagi memastikan selera terbuka ialah telur masin dan ikan bilis biasanya dijadikan sajian. Semua makanan itu mengandungi kadar sodium yang tinggi. Oleh itu elakkan mengambil makanan sebegitu. Jika hendak juga mengambil makanan masin, pastikan anda minum air suam lebih banyak,” katanya.

Nurul Aziah berkata, begitu juga ketika mengambil sup kebanyakan individu cenderung menghirup sehingga mangkuk licin. Ini tidak bagus kerana biasanya garam banyak terkumpul pada bahagian bawah sup berkenaan. Jika teringin makan sup, lebih baik ambil isinya dan hirup sedikit saja, secara tidak langsung dapat meminimumkan pengambilan garam.

Bagi mengawal kandungan gula dalam darah, penghidap CKD disarankan mengawal pengambilan nasi yang mengandungi karbohidrat tinggi. Untuk karbohidrat yang rendah seelok-eloknya gantikan dengan beras perang.

Kuih muih atau pembuka selera bercita rasa manis yang lazimnya digemari ketika berbuka, sebaik-baiknya dikurangkan dan sebagai pengganti, bolehlah mengambil makanan bijirin, tosai, capati, roti dan mi.

“Amalan pemakanan bagi individu yang menghidap diabetes adalah diet normal seimbang dan seharusnya mengandungi pelbagai jenis makanan termasuk buah-buahan. Hidangan buah-buahan elok diambil bersama dengan makanan lain selain dijadikan snek berasingan,” katanya.

Nurul Aziah berkata, penghidap diabetes yang berpuasa tidak boleh sama sekali meninggalkan sahur, kerana makanan diambil pada waktu itu penting untuk memberinya tenaga sepanjang sehari. Waktu berbuka pula jangan dilewatkan kerana pesakit diabetes cepat ternyahhidrat dan tenaga yang hilang perlu digantikan segera.

Katanya, umumnya tiada makanan yang baik atau tidak elok dan individu boleh makan apa saja yang disukai, tetapi biarlah berpada-pada dan paling penting, tidak menjejaskan kesihatan.

“Pada bulan puasa, selera hendakkan macam-macam dan semuanya nampak sedap belaka. Makanlah jika rasa teringin, tetapi cuba pilih kadar bahagian yang kecil. Lebihkan sayur-sayuran, salad dan buah-buahan. Elakkan makan bertambah dan makan apabila lapar dan bukan hanya apabila anda melihat makanan berkenaan. Untuk mengelakkan makan banyak, sediakan makanan dalam kuantiti sedikit,” katanya.

INFO: Kadar kandungan gula dan minyak dalam makanan yang lazimnya digemari pada bulan puasa:

* Cendol kacang - 10 hingga 15 sudu teh gula
* Puding kastad - 8 hingga 10 sudu teh gula
* Kuih tepung pelita - 6 sudu teh gula
* Air kelapa - 4 sudu teh gula
* Goreng popia - 8 sudu teh minyak
* Popia basah - 1 sudu teh minyak

Oleh Nor Affizar Ibrahim



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom