Home » » Kisah Jillian Michaels The Biggest Loser

Kisah Jillian Michaels The Biggest Loser

"Selagi tak muntah, pengsan atau mati, terus berjalan!" Jeritannya itu mungkin tidak mampu dilupakan peserta rancangan realiti televisyen, The Biggest Loser.

Caranya yang agak agresif ada kalanya menyakitkan hati, tetapi rata-rata peserta rancangan berkenaan ternyata menyenanginya apatah lagi ada peserta bimbingannya yang bergelar juara dalam rancangan terbabit.

Lantas, tidak hairan apabila pakar kecergasan, Jillian Michaels, 35, yang punya susuk tubuh mantap dengan binaan otot yang 'cantik' itu turut meraih populariti menerusi rancangan berkenaan.

Namun, Jillian dulu tidak seperti yang dilihat kini. Dia pernah memiliki berat sehingga 79 kilogram sebelum usia remajanya hingga menyebabkan ibunya mula menghantarnya ke kelas seni mempertahankan diri.

Sejak itu juga, ia bagai lembaran baru dalam hidup Jillian yang turut memiliki tali pinggang hitam untuk muay thai dan akarui-do sepanjang pembabitannya selama 17 tahun dalam seni mempertahankan diri.

Dengan ketinggian sekitar 159 sentimeter dan berat kira-kira 54 kilogram, dia menggunakan gabungan pelbagai teknik latihan kekuatan untuk membantu mereka yang ingin mengubah tubuh serta kehidupan yang lebih menyihatkan.

"Memang dulu saya kanak-kanak bermasalah dari segi berat badan dan itu memberikan saya pemahaman mendalam mengenai tugas yang saya lakukan sekarang.

"Saya menjalani terapi sejak berusia lima tahun sekali gus membolehkan saya mengenal pasti masalah psikologi tertentu yang dialami orang lain dan membantu mereka untuk mencari penyelesaian mengubah kehidupan mereka.

"Latar belakang seni mempertahankan diri yang ada membantu saya mengenal pasti potensi seseorang serta mendorong seseorang secara mental dan fizikal bagi memudahkan perubahan positif jangka panjang.

"Minat saya bukan untuk mencipta badan berketul-ketul. Kecergasan hanyalah alat untuk membina semula kehidupan seseorang.

"Kecergasan juga alat yang mampu memperkasakan seseorang. Ia memberikan pengetahuan, kuasa, pemahaman dan kekuatan. Memiliki tubuh yang kuat secara fizikal mampu mengubah pelbagai perkara dalam setiap aspek kehidupan seseorang," katanya.

Sejak mengenali seni mempertahankan diri pada usia muda itu, dia terus jatuh cinta dengan apa saja yang berkaitan seni berkenaan. Cuma, kerjaya pertamanya tiada kaitan langsung dengan kecergasan, sebaliknya dia menjadi ejen pencarian bakat untuk filem di Los Angeles.

Namun, minat mendalamnya untuk membantu individu yang mengalami berat badan berlebihan membuatkan dia meninggalkan kerja lain dan memberi tumpuan sepenuhnya pada latihan kecergasan peribadi.

Penyertaannya dalam The Biggest Loser bermula pada 2004 tetapi dia menarik diri kerana tidak berpuas hati dengan pembikinan rancangan terbabit di Amerika Syarikat (AS) sebelum menyertai versi rancangan berkenaan di Australia dan kemudian kembali ke rancangan terbitan AS.

Selain bergelar pakar kecergasan, Jillian memang sibuk dengan pelbagai aktiviti. Dia mengacarakan rancangan bual bicara di radio, mencipta permainan video, menulis blog serta menulis beberapa buku mengenai kecergasan termasuk Winning By Losing, Making The Cut dan Master Your Metabolism.

Menerusi buku ketiganya, Master Your Metabolism, dia mengaitkan kehidupan yang menyihatkan dengan persekitaran serba hijau.

Buku itu terhasil selepas dia berasa begitu tersentuh dengan dokumentari mengenai alam sekitar, The 11th Hour.

"Sejak itu, saya mula mencari pelbagai perantara untuk 'menghijaukan' hidup saya. Malah, menerusi pelbagai maklumat yang saya peroleh mengenai topik terbabit, saya mula sedar kesihatan diri dan planet berkongsi nasib serupa.

"Saya kini memilih untuk mendapatkan bahan makanan daripada sumber organik, begitu juga dengan produk kecantikan serta produk pembersih di rumah," katanya menyifatkan kehidupan 'hijau' banyak kaitannya dengan kecergasan diri.

Baginya, rahsia menurunkan berat badan adalah menangani masalah terbabit.

"Jangan lari daripada masalah kerana masalah akan jadi lebih teruk. Teliti masalah anda, jadilah seorang yang proaktif dan ubah sikap," katanya.

Nasihatnya, mulakan catatan di jurnal dan tulis segala fikiran negatif mengenai diri sendiri serta punca matlamat tidak dicapai.

"Cipta fikiran positif dan ingatkan diri setiap hari bahawa anda memang layak untuk mendapatkan apa yang diingini dengan usaha yang dicurahkan," kata wanita yang memberikan motivasi kepada hampir 15 juta penonton televisyen setiap minggu ini.

Jika tidak sibuk dengan rutin hariannya, wanita yang menetap di Los Angeles ini gemar mengembara dan membabitkan diri dalam kerja amal termasuk tugasnya sebagai duta Persatuan Barah Amerika.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom