Home » » Makan Ulam Awet Muda

Makan Ulam Awet Muda

Khasiat Ulam-Ulaman

Amalan makan ulam atau sayur-sayuran mentah boleh membuatkan seseorang awet muda kerana ia mengandungi banyak bahan antioksidan yang mampu menghalang tindakan radikal bebas.

Sebenarnya amalan makan ulam menjadi budaya masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Malah, ia menjadi ikutan kaum lain sehingga ada yang kata rasa tidak puas makan nasi jika tiada ulam bercecah sambal belacan.

Ada juga yang tidak berselera makan jika tiada ulam atau sayur. Paling tidak, mesti ada timun untuk membuka selera. Ini amalan baik kerana setiap hari badan kita memerlukan kira-kira 40 jenis nutrien untuk kekal sihat.

Apabila kita makan, kita sebenarnya membuat pelaburan pada kesihatan. Kesan pelaburan ini bergantung kepada jenis makanan diambil. Jika mengamalkan diet yang banyak lemak, bermakna kita akan mengalami masalah pertambahan berat badan dan paras kolesterol tinggi.

Sebaliknya, individu yang mengamalkan pemakanan seimbang dengan melebihkan pengambilan sayur dan buah biasanya tampil lebih sihat dan menarik serta mampu mengekalkan kelangsingan badan.

Selain mempunyai pelbagai khasiat, ulam sering dijadikan bahan rawatan tradisional dan kini banyak kajian dilakukan untuk mengkomersialkan khasiat ulam.

Pengamal perubatan tradisional mengatakan, ubat bagi pelbagai penyakit sebenarnya ada di sekeliling rumah seperti cekur, pegaga, nanas, kunyit, halia, peria, kacang botor, pucuk betik mahupun kacang panjang.

Pegaga

Pegaga biasanya tumbuh melata di keliling rumah. Namun tumbuhan yang kecil ini besar khasiatnya. Ia kaya vitamin A dan C serta zat besi sering dijadikan sayur-sayuran ‘rasmi’ untuk wanita ketika berpantang.

Pegaga atau nama saintifiknya Cantella asiatica boleh membangkitkan selera makan, membantu meredakan masalah penghadaman, mengatasi masalah buasir kerana mengandungi serat. Ia juga mampu melancarkan aliran darah, terutama bagi wanita yang ada masalah haid.

Air perahan daun pegaga juga dikatakan boleh menyejukkan badan dan elok diamalkan jika demam, mengalami masalah berak berdarah atau lelah. Malah, ada yang menjadikannya sebagai minuman untuk menguruskan badan.

Pegaga juga dipercayai boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka, ulser dan masalah kulit lain. Ini sebabnya ia dijadikan makanan wajib bagi wanita berpantang supaya luka bersalin lebih cepat sembuh.

Pegaga juga dijadikan ubat untuk merawat masalah keputihan yang menyebabkan faraj terasa gatal. Masalah keputihan biasanya dialami wanita yang mempunyai anak. Caranya, minum air rebusan pegaga yang dicampurkan secubit sedikit garam. Amalkan minum air rebusan ini dua kali sehari.

Orang tua-tua percaya, akar pegaga juga banyak khasiatnya. Amalan minum air rebusan akar pegaga ini dipercayai boleh membantu mengawal paras gula dalam darah di kalangan pesakit kencing manis.


Timun

Seorang saintis tempatan mengesyorkan supaya makan empulur (isi timun) setiap hari untuk awet muda. Rawatan tradisional Cina menggunakan timun sebagai makanan kesihatan, khususnya untuk menyingkirkan bahan toksik dari badan.

Amalan makan timun juga boleh mengatasi masalah sakit tekak, gatal kerongkong dan batuk. Mengamalkan minum jus timun segar juga dipercayai dapat membantu merendahkan tekanan darah.

Ada juga petua menyarankan individu yang mahu mengurangkan berat badan supaya minum jus timun dua gelas sehari, di samping bersenam dan mengawal pemakanan.

Timun juga sebenarnya boleh menambah selera makan dan ia baik untuk diambil individu yang mengalami masalah terlalu kurus, tiada selera atau kurang berat badan.

Timun juga menjadi bahan asas kepada pelbagai produk kecantikan. Secara tradisionalnya, hirisan timun boleh dijadikan pencuci muka dan membuatkan kulit lembut, licin dan sentiasa lembap; sesuai diamalkan individu yang mengalami masalah kulit berminyak.



Cekur

Ia adalah ulam yang biasa tetapi jarang mendapat perhatian. Ulam daripada keluarga halia ini mempunyai banyak khasiat, khususnya untuk mengubati batuk, sakit tekak dan meredakan demam.

Selain dimakan mentah, hirisan akarnya boleh dijadikan perencah untuk menaikkan rasa masakan. Ia juga mempunyai bahan antibakteria, antifungus dan antikeradangan.


Kunyit muda

Walaupun rasanya kurang disenangi, kunyit muda sangat berkhasiat untuk dijadikan ulam.

Kajian dijalankan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati, kunyit mengandungi curcumin yang memberikan warna kuning jingga berpotensi untuk merawat barah.

Kunyit juga mengandungi banyak bahan antioksida yang lebih baik berbanding vitamin C dan E, ia mampu melindungi sistem kardiovaskular, merendahkan kadar kolesterol dalam darah dan merawat demam kuning.

Perubatan tradisional Melayu menggunakan pati kunyit yang diberikan kepada wanita selepas bersalin untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan mengecutkan rahim.


Petai

Walaupun mempunyai bau kuat, ia menjadi kegemaran ramai, sama ada dimakan mentah atau dimasak bersama sambal tumis. Sebenarnya pucuk petai juga boleh dijadikan ulam dan ia dikatakan baik untuk membantu mengawal penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Pucuk kaduk

Pucuk kaduk biasanya lebih kerap dijadikan bahan perasa masakan, tetapi ia juga boleh dimakan mentah. Ia dipercayai boleh menguatkan tulang dan rebusan daun kaduk dijadikan ubat melegakan batuk, selesema dan sengal sendi.


Pucuk gajus

Rasanya yang masam menjadikan ulam ini sangat istimewa. Pucuk gajus dipercayai boleh mengubati masalah cirit-birit, mual dan muntah. Daun tua yang dilumatkan boleh dijadikan ubat untuk kulit melecur atau penyakit kulit lain.


Lobak merah

Jarang kita jadikan lobak merah sebagai ulam harian kerana ia biasanya dicampur dalam salad. Lobak merah kaya vitamin A dan mineral seperti kalium, magnesium, fosforus dan sulfur.

Ia baik untuk mengatasi masalah rabun malam akibat kekurangan vitamin A dan kandungan serat tinggi dapat memperbaiki gangguan saluran usus.


Mengkudu

Pucuk mengkudu biasanya dimasak atau dicelur untuk dijadikan perencah urap dan pecal. Ia kaya dengan beta karoten dan zat besi yang baik digunakan untuk mengatasi masalah kurang darah.

Buah mengkudu masak pula mengandungi bahan antiseptik berfungsi melegakan kesakitan, bahan antioksida, merangsang pengeluaran sel darah putih dan meningkatkan daya ketahanan badan.

Jering

Walaupun berbau kuat, jering mempunyai khasiat perubatan tinggi. Ia kaya protein, karbohidrat dan serat yang mampu mengubati penyakit kencing manis.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom