Home » » Awasi obesiti kanak-kanak

Awasi obesiti kanak-kanak

Mana-mana ibu bapa pastinya berasa risau sekiranya anak mereka tidak berada dalam berat badan ideal. Buntu memikirkan keadaan itu, pengambilan pil atau makanan tambahan langkah terakhir diambil, dalam usaha meningkatkan selera makan si kecil.

Sayangnya, dalam masyarakat kita, montel menjadi kayu pengukur kesihatan bayi sedangkan anak yang kurus tetapi cergas selalu dikaitkan dengan tidak cukup makan, malah tidak keterlaluan ibu selalu menjadi sasaran bila keadaan anak begitu. Tidak diberi makan kah? Demam kah? dan pelbagai lontaran persoalan lagi yang kadangkala menjadikan si ibu kecewa.

Anak saya tergolong dalam kurus tetapi saya tidak seharusnya dipersalahkan 100 peratus kerana suami saya semasa bujangnya kurus tinggi manakala saya pula mempunyai rangka kecil. Anak sulung, Najah mungkin memahami apabila semasa kecilnya, lawatan ke klinik berat badan ringan, selalu diajukan kepada saya.

Tetapi semakin membesar dan kini bersekolah di darjah dua, dia pula memberitahu saya, seakan memahami apa yang bersarang di hati mamanya. Katanya, “Kakak tidak suka gemuk nanti kena ejek dengan kawan-kawan. Kakak kurus tetapi kakak sihat,” katanya melegakan saya.

Hakikatnya, kegemukan atau sebaliknya banyak dipengaruhi genetik. Melihat si kecil bertubuh montel dan tidak memilih makanan, menyebabkan ibu gembira tetapi apabila beratnya semakin bertambah dan seleranya semakin membesar, itu tandanya si ibu perlu mengambil tindakan segera mengelakkan daripada terlebih berat badan. Dalam jangka panjang ia mungkin menjurus kepada obesiti.

Obesiti di kalangan kanak-kanak khususnya berusia bawah tujuh tahun, mungkin kelihatan comel, tetapi apabila memasuki alam persekolahan, ia boleh memberikan implikasi negatif kepada pertumbuhan sosialnya apabila kerap kali diejek rakan sekelas, malah anak itu juga mungkin kurang ceria dan tidak bersemangat mengikuti pelbagai aktiviti di sekolah lantaran selalu di ejek.

Pada usia sedemikian, menyekat selera dan bertukar kepada hidangan menyihatkan juga boleh memberikan tekanan kepada anak tadi yang mungkin terlalu awal untuk memahami apa itu kencing manis, kolestrol dan diabetes.



Anak yang dikategori obesiti apabila berat badannya dua kali ganda daripada berat sesuai yang boleh anda lihat menerusi kad kesihatan anak-anak. Apabila berat itu semakin meningkat ibu perlu segera menukar menu anak-anak kerana obesiti tidak berlaku sekelip mata.

Pakar pemakanan kanak-kanak bersetuju, dua faktor utama penyumbang obesiti ialah disebabkan faktor boleh diubah seperti pemakanan, aktiviti fizikal, gaya hidup kurang sihat, sementara faktor tidak boleh diubah seperti perbezaan hormon dan sejarah obesiti di sebelah bapa atau ibu.

Walaupun faktor genetik selalu dikaitkan dengan tidak boleh berubah, tetapi saya percaya dengan usaha berterusan ia mampu mengurangkan risiko obesiti.

Ini kerana masalah berkenaan semakin rumit apabila anak memasuki usia remaja. Sudut psikologi, segelintir remaja yang memiliki berat badan berlebihan ini boleh masalah lebih serius termasuk tekanan emosi apabila lebih gemar bersendirian lantaran malu bentuk tubuh lebih besar daripada rakan sebaya.

Kajian turut menunjukkan, sekiranya obesiti di kalangan kanak-kanak tidak dibendung daripada awal, 70 peratus daripada mereka akan terus membesar menjadi orang dewasa yang gemuk.

Hakikatnya, tidak ada kata terlambat untuk mengembalikan berat badan normal anak-anak selagi anda mahu mencuba dan berusaha.

INFO: Kembali ke berat badan normal

# Secara bertahap ubah pola makan anak menjadi lebih teratur dengan menu makanan yang lebih sihat. Selain itu, pastikan pula anak makan tepat pada waktunya dan makan makanannya di meja makan, dengan begitu si kecil akan lebih fokus menghabiskan makanannya.

# Sebagai selingan atau kudapan, berikanlah kudapan menyihatkan seperti buah-buahan, sayur-sayuran atau jus menggantikan kentang goreng atau ayam goreng. Hindari anak mengambil makanan ringan atau minuman bersoda yang tinggi kandungan gulanya.

# Pupuk anak-anak melakukan kegiatan kesukanan atau sukan olahraga yang menyeronokkan. Selain daripada membantu memperkukuhkan ikatan keluarga, aktiviti berkenaan turut menyihatkan anggota keluarga lain. Ia boleh dilakukan secara santai termasuk berjalan laju di taman permainan, berbasikal dan sebagainya mengikut kegemaran anda.

# Bagaimanapun sekiranya berat badan si kecil masih tidak menunjukkan penurunan, ada baiknya anda mendapatkan rundingan doktor.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof



 
Chatroom