Home » Krisis Ifa Raziah dan adik lelaki

Krisis Ifa Raziah dan adik lelaki

Hubungan Ifa Raziah dengan adik lelakinya masih keruh berikutan insiden penyanyi dangdut, pengacara dan pelakon popular itu diserang dan kepalanya dipukul dengan topi keledar akibat perselisihan faham Khamis lalu.

Ifa bagaimanapun berkata dia menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis selepas membuat laporan di Balai Polis Kubang Pasu, Jitra, Kedah, pada hari berkenaan.


Penyanyi lagu Panas itu juga tidak akan menarik balik laporan yang telah dibuat dan menyerahkan kepada pihak berkenaan untuk mendakwa adiknya di mahkamah.

“Biar undang-undang yang tentukan. Saya tak boleh nak komen apa-apa dan kita tunggu sahaja keputusan mahkamah,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Ifa, selepas insiden itu hubungan dia dengan adiknya masih keruh dan mereka belum lagi bertemu.

“Walaupun dia berperangai buruk sekalipun, dia tetap adik saya. Ibarat air yang dicincang tidak akan putus.

“Soal saya maafkan dia atau tidak, hanya saya dan Allah yang tahu,” katanya.

Bagaimanapun, Ifa yang kini berada di ibu kota sedang menunggu laporan doktor yang dijangka siap esok setelah mendapatkan rawatan di Hospital Jitra.

“Saya masih boleh melakukan kerja seperti biasa tetapi saya tidak boleh pastikan sama ada serius atau tidak kecederaan yang berlaku akibat hentakan di kepala. Kita tunggu sahaja laporan doktor,” ujarnya.

Bagi Ifa, kalau boleh dia tidah mahu hebohkan perkara tersebut kepada khalayak kerana ia melibatkan masalah keluarga namun dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana insiden itu mula diperkatakan orang.

Menurut Ifa, punca perselisihan faham berlaku apabila dia meminta adik lelakinya itu melunaskan semua hutangnya kepada arwah ibu mereka, Maimunah Ahmad yang meninggal dunia pada 1 Jun lalu di Kodiang, Kedah.



 
Chatroom