Home » Ratu Universe Malaysia 2010 - Nadine Ann Thomas

Ratu Universe Malaysia 2010 - Nadine Ann Thomas

Erti kecantikan adalah subjektif dan bukan hanya tertakluk kepada raut wajah atau susuk tubuh yang menarik, malah senario kini membuktikan kepetahan dan kebijaksanaan termasuk keberanian yang lahir daripada personaliti seseorang wanita itu turut menjadi pengukuran dalam pakej yang dicari.




Bijak, menawan dan bergaya adalah antara kriteria yang selalunya diambil kira untuk memenangi pertandingan membabitkan kecantikan wanita seperti diketengahkan dalam pertandingan ratu cantik, sekali gus menyangkal dakwaan dan pemikiran cetek sesetengah pihak bahawa peserta lazimnya berotak udang.

Bergaya, semula jadi, moden dan relevan, empat elemen yang diutamakan dalam pencarian Ratu Universe Malaysia 2010 dan ciri-ciri itu ternyata dimiliki Nadine Ann Thomas sehingga mengangkat namanya sebagai juara dan bakal membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa di Las Vegas pada 22 Ogos ini.

Gadis yang berusia 23 tahun itu berkata, kemenangan itu sangat mengejutkan kerana saingan yang diberikan oleh peserta lain tidak kurang hebatnya dengan cara mereka tersendiri baik dari segi fizikal mahupun mental.

“Masih banyak yang perlu dilakukan untuk saya membawa nama ke peringkat antarabangsa nanti dalam masa yang singkat ini. Namun dengan adanya bimbingan daripada mereka yang berpengalaman, saya yakin semangat untuk memikul tanggungjawab baru ini semakin membara.

“Begitu pun, untuk dipilih sebagai pemenang, bagi saya bukanlah satu perkara yang mudah kerana sepanjang pertandingan berlangsung, saya perlu tegas dan menepati masa dalam segala acara yang ditetapkan. Selain kekuatan stamina teruji, mental juga perlu kuat apatah lagi melihat rakan lain yang tidak kurang menunjukkan komitmen mereka,” katanya ketika ditemui sejurus diumumkan sebagai Ratu Universe Malaysia 2010 di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.

Nadine yang kelihatan cukup anggun dan bergaya dengan tiara di kepalanya selepas diumumkan pemenang Ratu Universe Malaysia 2010 berkata, pada masa ini dia masih tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai langkah seterusnya yang akan dilakukan untuk persediaan berentap dengan ratu dunia lain yang bakal ditemuinya nanti.

“Buat masa ini saya masih berada dalam keadaan yang teruja dan tergamam. Saya juga belum memikirkan apa persediaan yang bakal dilakukan kelak, tetapi apa yang pasti, segala kelengkapan dari semua aspek akan dilakukan secepat mungkin agar saya tidak ketinggalan berbanding mereka yang turut bertanding nanti.

“Cuma yang boleh saya beritahu, saya akan banyak mengulang kaji dalam pengetahuan am dan isu global masa kini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Organisasi Ratu Universe Malaysia (MUMO) 2010, Andrea Fonseka yang menemani Thomas pada sesi temu bual itu berkata, pihaknya akan memastikan ratu baru itu bersiap sedia dengan segala cabaran yang bakal ditempuhinya di Las Vegas nanti.

“Bukan mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ratu. Kemantapan bukan hanya tertera pada perilaku, malah kebijaksanaan dan kesempurnaan mental serta fizikal juga diperlukan. Jangan hanya bergantung kepada kecantikan yang dimiliki dan saya percaya Nadine mampu menjalankan kewajipannya dengan baik.

"Ratu cantik tidak semestinya berlagak seperti ratu cantik sepanjang hari kerana mereka juga harus mempelajari beberapa aspek lain untuk membolehkan mereka menjadi seorang yang bertanggungjawab, positif dan kekal dengan jati diri kerana itu yang membuatkan seseorang itu kelihatan istimewa pada mata orang lain," katanya.

Seramai 18 wanita jelita bersaing untuk merebut gelaran Ratu Universe Malaysia 2010 yang menjanjikan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 selain peluang menghiasi kempen iklan bersama Parkson selama setahun.

Tempat kedua dimenangi oleh Mourhna Anetha Reddy, diikuti Vera Hui yang masing-masing berusia 25 tahun.

Kesemua peserta disajikan dengan deretan aktiviti penuh cabaran sesuai dengan tugas mereka sebagai ratu cantik. Antara cabaran yang dilalui adalah ujian di pentas peragaan, penggambaran, bertemu media selain peluang menjalani latihan di pusat beli-belah rasmi pertandingan, Pavillion.

Barisan juri yang terbabit pada malam itu adalah bekas Ratu Universe Malaysia, Datin Josephine Fonseka; Maggie Loo; Datuk Yasmin Yusuff; Datuk Anna Lin, Nancie Foo dan Elaine Daly; aktor terkenal, Hans Isaac dan Andrew Tan dari Andrews Models.

INFO: Ratu Universe Malaysia 2010

Nama: Nadine Ann Thomas
Umur: 23
Kerjaya: Penyelaras Bakat dan Acara.



 
Chatroom