Home » » Gadis lesbian benci lelaki

Gadis lesbian benci lelaki

Saya remaja berusia 19 tahun dan mempunyai seorang kekasih perempuan sebaya. Kami bercinta kerana masing-masing sering mengambil berat hingga tercetus perasaan sayang.Mulanya saya seorang gadis normal dan setia pada yang satu namun lelaki tidak pernah menghargai cinta saya malah saya pernah putus tunang.

Tinggal enam bulan saja kami akan berkahwin dan hati saya hancur dengan kejadian itu. Mungkin Allah hendak tunjuk dia bukan jodoh saya, dia keluar dengan perempuan lain di hadapan mata saya dan banyak gigitan cinta di lehernya.

Sejak saat itu, saya buang lelaki dalam hidup dan membenci mereka. Mereka hipokrit.

Akhirnya, saya jumpa 'kekasih' saya. Dia sangat baik, lemah lembut dan penuh pengertian. Dialah segala-galanya dalam hidup saya walaupun tahu hubungan kami berdosa besar dan sedar ia tidak akan kekal lama.

Masalahnya, apakah yang harus saya lakukan untuk menghadapi masa depan kerana langsung tiada perasaan kepada kaum lelaki. Hati saya hanya untuk perempuan. Baru-baru ini, kawan saya memperkenalkan dengan seorang kawan lelakinya namun dia juga seperti bekas tunang menyebabkan saya tambah kecewa dan membenci kaum Adam.

Susahnya saya hendak terima lelaki dalam hidup. Saya buntu dan takut mati sebelum sempat bertaubat.

Bantulah saya.

------------------------------------------
Kesan perhubungan yang tidak kesampaian, ditinggalkan terkontang-kanting oleh bekas tunang mengubah corak pemikiran dan gaya hidup adik. Dari seorang yang normal, kini kepada perhubungan sesama jenis. Dr faham perasaan adik ketika melihat bekas tunang berpacaran dengan gadis lain. Dari saat itu, adik mula membuang lelaki dalam hidup dan berasakan kaum wanita lebih memahami. Adik memerlukan seorang yang memahami, mengerti dan tidak mengkhianati cinta. Dan orang yang dapat memahaminya ketika ini ialah teman wanita sendiri. Walaupun ada kenikmatan perhubungan lesbian, adik tetap dalam dilema. Contohnya, adik sendiri tahu perhubungan ini akan gagal dan mahu bertaubat kerana ia dosa besar.

Dr melihat masalah adik ialah keinginan mencari satu perhubungan yang tidak dikhianati, isu kepercayaan dan untuk menjalin hubungan normal (bertaubat).

Keinginan bertaubat memudahkan proses perubahan. Justeru, pertamanya adik perlu mengembalikan kepercayaan untuk menerima lelaki.

Seperti mana-mana perhubungan, banyak perhubungan akan berakhir sebelum seseorang bertemu pasangan yang betul. Adik juga berkata, jodoh adik bukan dengannya. Pepatah ada mengatakan "Mungkin Tuhan menginginkan kita bertemu dan bercinta dengan orang yang salah sebelum bertemu dengan orang yang tepat, kita harus mengerti bagaimana berterima kasih atas kurniaan itu".

Apabila bekas tunang tidak jujur, dia tidak cukup baik untuk menjadi pasangan hidup. Cintanya yang terselit pendustaan ibarat kehidupan yang bercampur gaul dengan penghinaan. Hikmahnya, adik bebas mencari orang yang lebih sesuai dan bertanggungjawab.

Untuk perhubungan berjalan baik, kedua-dua pasangan perlu komited. Namun, memilih kaum sejenis sebagai pengganti cinta yang hilang akan lebih membawa mudarat.

Walaupun dari segi perasaan, adik gembira, anda tahu ia akan berakhir suatu hari nanti. Masyarakat serta agama tidak menerima percintaan begini.

Salah satu cara untuk mengembalikan kepercayaan terhadap kaum lelaki ialah adik perlu mengubah corak pemikiran dan kepercayaan tidak rasional.

Pemikiran tidak rasional (semua lelaki adalah hipokrit) ternyata menguasai emosi adik sehingga lebih rela dan gembira bercinta dengan perempuan.

Adik perlu bentuk sistem kepercayaan tidak semua lelaki hipokrit. Realitinya, memang ada ramai lelaki yang setia kepada cinta yang satu, cuma adik belum bertemu.

Jika adik masih tetap menganggap semua lelaki adalah hipokrit, ia akan memberi kesukaran mengubah corak hubungan songsang.

Mengapa mesti membenci cinta kurniaan Allah? Yang harus dibenci dan dihindari ialah kepalsuan, bukan cinta. Jika ingin membenci, orang itu ialah bekas tunang adik, bukan semua lelaki.

Perasaan ambil berat dan saling faham memahami menyebabkan adik selesa menjalin hubungan dengan teman wanita. Dr tidak pasti sama ada hubungan adik berdua membabitkan hubungan seksual atau tidak.

Jika ingin bertaubat, adik perlu mengambil langkah berani dengan mula belajar untuk tidak menghukum lelaki dan menganggap tidak semua lelaki hipokrit. Analisis baik buruk menjalin hubungan sejenis. Ke manakah akhirnya perhubungan itu? Lihat juga dari sudut agama sama ada perbuatan ini diterima atau tidak. Bagaimana pula dengan penerimaan masyarakat dan keluarga terhadap hubungan adik dengan teman wanita. Jika adik berpisah dengan teman wanita, beritahu mengapa adik tidak lagi ingin menjadi kekasihnya untuk membuatkannya faham perkara sebenar.

Meninggalkan dia tanpa sebarang alasan akan memudaratkan perasaannya samalah seperti perasaan adik yang dilukai apabila ditinggalkan bekas tunang. Dr doakan adik cukup berani mengambil keputusan yang membawa kebaikan kepada diri, keluarga dan agama.

~ Dr Sapora Sipon



 
Chatroom