Home » Juadah hari raya

Juadah hari raya

Hari raya pertama akan lebih bermakna jika hidangan makanan tradisional ada terhidang untuk para tetamu yang datang berkunjung ke rumah. Selain makanan tradisi, hidangan moden yang disediakan dan disajikan dapat memperbanyakkan lagi pilihan makanan yang enak pada hari Lebaran.

Sebenarnya kita mempunyai pelbagai hidangan tradisi yang sering dihidangkan pada hari raya antaranya adalah lemang, ketupat, rendang dan kuah kacang.

Terdapat pelbagai jenis rendang yang boleh didapati di Malaysia. Walaupun kini rendang boleh kita nikmati pada hari-hari biasa namun perasaan menikmati rendang pada hari Lebaran tidak sama.

Mungkin suasana hari raya itu yang membuatkan ia berbeza. Selain rendang biasa yang berwarna kecoklatan terdapat juga rendang minang yang popular di Negeri Sembilan.

Selain rendang Minang, rendang tok pula merupakan rendang tradisi bagi orang di Perak. Rendang minang berwarna kekuningan dan diperbuat daripada bahan-bahan seperti cili api ,santan dan kunyit. Manakala rendang tok berwarna sedikit hitam dan menggunakan banyak rempah ratus seperti jintan manis, dan biji ketumbar.

Kebiasaannya ayam kampung atau pencen dan bahagian daging yang pejal sesuai untuk membuat rendang.

Tekstur keras dan pejal pada daging dan ayam kampung atau ayam pencen ini dapat dilembutkan melalui proses memasak rendang yang lama.

Terdapat dua cara memasak rendang iaitu pertama semua bahan-bahannya dicampur dan kemudian barulah dimasak sehingga kuahnya kering.

Cara kedua pula anda boleh menumis bahan-bahan kisar dan kemudian barulah dimasukkan ayam dan santan dan dimasak sehingga kuahnya kering.

Bagi saya kedua-duanya mempunyai keistimewaan tersendiri di mana bahan-bahan yang dicampur sekali akan terbit aroma dan rasa semasa proses merendang.

Manakala rendang yang ditumis bahan-bahan kisarnya dahulu pula akan menerbitkan aroma yang lebih harum ketika menumisnya. Walaupun begitu, kedua-dua cara ini dapat memberi rasa rendang yang sedap.

Terpulanglah kepada pilihan anda bagaimana cara anda ingin memasak rendang anda. Rendang yang enak haruslah menggunakan santan asli yang akan memberikan aroma harum dan rasa yang enak pada rendang itu. Proses merendang perlulah menggunakan api yang sederhana agar segala bahan-bahan dan rempah-ratusnya meresap dengan sebati di dalam daging atau ayam yang digunakan.

Api yang sederhana juga akan membuatkan daging menjadi empuk dan santan akan terbit tahi minyak yang memberikan keenakan pada rendang.

Sentiasalah kacau rendang yang dimasak agar tidak berkerak dan hangus di bawahnya. Tip terakhir yang ingin saya kongsi, jika anda menggunakan ayam daging untuk membuat rendang, jangan sesekali memasukkan daging ayam selagi kuahnya tidak pekat kerana isi ayam daging mudah hancur jika memasaknya terlalu lama.

Jadi pekatkan sedikit kuah rendang dahulu dan barulah dimasukkan ayamnya dan masak sehingga kuah rendang kering dan pekat. Daging rendang ayam anda akan masak dengan sempurna. Selamat mencuba! Akhir kata Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin!

~ Utusan



 
Chatroom