Home » » Secawan teh tenangkan minda

Secawan teh tenangkan minda

Secawan teh setiap hari dapat menjana kecerdasan mental dan menjamin kesejahteraan fizikal. Kenyataan itu bagi sesetengah individu mungkin agak keterlaluan tetapi itulah yang berjaya dibuktikan oleh pakar-pakar teh terkenal dunia yang membentangkan hasil kajian terbaru mereka mengenai hubung kait antara pengambilan teh dan kesihatan, dengan tumpuan kepada manfaat tehanine dan flavonoid teh.

Hasilnya menunjukkan manfaat yang menarik, khususnya kelebihan teh membaiki mood, meningkatkan tumpuan dan kecerdasan di samping menurunkan risiko strok iskemia.

Hasil penyelidikan yang dibentangkan oleh Dr. Georgie Russell dari R&D Unilever dan Institut Teh Lipton menunjukkan pengambilan teh mempengaruhi mood secara positif.

Kajian ini lebih menumpukan kepada teh susu dengan pakar mengesahkan bahawa mood manusia boleh diukur dan pengambilan teh adalah langkah yang berkesan untuk membaikinya.

"Kajian kami menunjukkan bahawa mood, sering dianggap kualiti subjektif, serta boleh diukur dengan berkesan. Ini adalah satu perkembangan yang menarik kerana ia membolehkan kita mengukur kesan rangsangan luar ke atas mood kita.

"Sebagai contoh, kami dapat mengesahkan bahawa teh susu memberi kesan positif ke atas mood," katanya

Russell seterusnya menjelaskan, kesan positif ke atas mood bukan sahaja membuatkan seseorang rasa ceria, tetapi beberapa kajian yang baru menyarankan bahawa teh juga dikaitkan dengan manfaat seperti peningkatan kreativiti dan sokongan kepada sistem imun.

Peningkatan mood adalah kaedah yang sesuai untuk mengekalkan kesejahteraan.

Selain kesan psikologi, Dr. Eveline De-Bruin membentangkan bukti baru yang menunjukkan bahawa pengambilan teh boleh membantu anda memberi lebih tumpuan dan membaiki kecerdasan subjektif.

"Kajian memperlihatkan mekanisme di sebalik kesan ini yang menunjukkan bahawa selepas mengambil satu dos kuat theanine dan kafein, dua bahan aktif yang terdapat secara semula jadi dalam teh, rangkaian perhatian otak diaktifkan secara lebih cekap. Pengaktifan otak ini membolehkan fokus yang lebih baik semasa menjalankan tugas.

"Kajian ini menunjukkan bagaimana bahan aktif dalam teh, theanine dan kafeina, mengoptimumkan pengaktifan bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap tumpuan kita seharian. Hal ini membolehkan kita fokus untuk menyempurnakan tugas harian dengan lebih berkesan," kata De-Bruin.

Katanya, aktiviti otak diukur dengan menggunakan teknologi Pengimejan Resonans Magnetik Fungsian (fMRI)] di mana ia diukur melalui pengaliran darah sewaktu seseorang dikehendaki menyempurnakan tugas.

Keputusan fMRI dalam kajian itu menunjukkan lebih banyak aktiviti otak yang lebih cekap selepas pengambilan teh yang kerap.

Sementara itu kajian oleh Profesor di David Geffen School of Medicine di University California Los Angeles, Dr. Lenore Arab mendedahkan, hasil penyelidikan telah mengesahkan bahawa pengambilan teh setiap hari berpotensi menurunkan risiko strok iskemia sebanyak 21 peratus.

Strok adalah punca kematian ketiga paling tinggi di Malaysia. Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia menganggarkan terdapat kira-kira 40,000 penghidap strok di negara ini.

Strok juga merupakan penyebab utama kehilangan upaya fizikal. Strok iskemia, berlaku apabila saluran darah tersekat, meliputi kira-kira 83 peratus daripada semua kes strok yang dilaporkan.

Dr. Sheila Wiseman dari Institut Teh Lipton, menyokong penemuan itu dengan hasil kajian yang berbeza, yang menjelaskan bahawa flavonoid teh membantu menenangkan saluran darah. Keupayaan saluran darah untuk mengembang adalah penting untuk kesihatan sistem kardiovaskular.

Apabila saluran darah tidak boleh relaks dengan betul, risiko penyakit kardiovaskular meningkat.

"Menurut kajian kami dan banyak penyelidikan lain, saluran darah mengembang sejurus selepas pengambilan teh yang kerap." katanya.

Dr. Wiseman juga mendapati hanya 100 mg flavanoid teh sehari, yang bersamaan dengan kurang daripada satu cawah teh sehari, membantu membaiki kapasiti keanjalan saluran darah.

Ini bermakna kesan positif pengambilan teh ke atas fungsi vaskular mungkin relevan bagi kebanyakan orang di dunia yang hanya minum satu atau dua cawan teh sehari.

Sementara itu Pengurus Jenama Peruncitan Makanan, Unilever (M) Holdings Sdn. Bhd., Quah Seng Khie menyifatkan, penemuan tersebut sebagai berita terbaik khususnya kepada masyarakat Malaysia kerana menikmati teh sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup.

"Kita menikmati minuman ini dalam pelbagai cara, sama ada teh kosong, teh susu atau teh hijau.

"Manfaat kesihatan yang dikaitkan dengan pengambilan teh telah menjadi tumpuan penyelidikan saintifik yang dijalankan secara meluas.

"Simposium ini memberi peluang kepada pakar teh untuk berkongsi kemunculan kaedah sains baru dan menggalakkan perbincangan mengenai kebaikan teh kepada kesejahteraan fizikal," tambahnya.



 
Chatroom