Home » » Slot Akasia Seribu Kali Cinta

Slot Akasia Seribu Kali Cinta

Di mana ada cinta, di situlah adanya derita, pengorbanan, cemburu dan air mata. Begitulah ungkapan cinta yang sering didengari ataupun dilafazkan. Menerusi jenama Inspirasi Wanita, TV3 menyajikan kisah cinta yang romantis menerusi slot Akasia berjudul Seribu Kali Cinta.



Ia menyaksikan perjalanan cinta Nizam dan Miasara yang penuh dugaan serta nasib Putera Amar dalam mencari cinta sejatinya.

Seribu Kali Cinta sudah disiarkan sejak 15 November lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang.

Drama cinta romantis yang menggandingkan pasangan kekasih, Kamal Adli dan Intan Ladyana mengisahkan kesungguhan Nizam dalam membuktikan cintanya terhadap kekasihnya, Miasara, yang mengalami sindrom amnesia.

Nizam yang pada asalnya mahu bercuti di Pulau Aman, terpikat dengan Miasara di situ. Walaupun mereka serasi bersama namun apa yang dilakukan oleh Miasara pada hari ini akan dilupakan pada hari keesokannya. Justeru, Nizam hanyalah seorang yang tidak dikenali bagi Miasara apabila menjelang pagi esok.

Bapa Nizam, Hisyam mendesak Nizam agar pulang ke Kuala Lumpur bagi menguruskan syarikatnya.

Baginya, Nizam masih belum matang dan serius dalam hidup. Ibu bapa Miasara juga tidak yakin dengan hubungan Nizam dan Miasara, lalu mereka menasihatinya agar melupakan hasrat untuk mengahwini Miasara.

Nizam tekad untuk mencintai Miasara dengan sepenuh hati walaupun dia perlu melafazkan seribu kali cinta kepada gadis idamannya.

Bagi membantu memulihkan ingatan Miasara, Nizam merakamkan hubungan mereka. Miasara terharu dengan kesabaran Nizam namun masih tiada perubahan dalam memulihkan keadaannya.

Nizam tidak sanggup untuk meninggalkan Miasara, dia yakin dengan naluri hatinya dan amat menyayangi Miasara.

Apakah Nizam sanggup memikul tanggungjawab sebagai seorang suami yang terpaksa melayan kerenah isteri yang akan melupakan siapa dirinya setiap pagi?

Saban hari, Nizam perlu mengulangi perbuatannya bagi memenangi hati Miasara. Dia amat berharap dapat melihat senyuman manis dan teguran Miasara pada setiap pagi dan bukannya takut, bingung dan kekalutan.

Drama bersiri 24 episod ini diterbitkan SRS Production Sdn Bhd dan diarahkan oleh Haris Kadir.

Ia turut membariskan ramai pelakon terkenal tanah air seperti Noorkhiriah, Cat Farish, Marsha Milan Londoh, Rozie Othman, Abu Bakar Omar, Aida Haleda, Shaharuddin Thambi dan Idris Mat Diah.



 
Chatroom