Home » » Tarian tiang di Viva Vertical

Tarian tiang di Viva Vertical

Ramai berpendapat tarian tiang ialah tarian mengghairahkan, memalukan dan menjelekkan wanita kerana ia ditarikan oleh penari yang dikatakan `rendah martabatnya' kerana bertujuan menggoda lelaki. Persepsi negatif itu bukan saja di Malaysia, malah hampir semua masyarakat seluruh dunia.

Percaya atau tidak, kini tarian tiang sudah dijadikan sebagai aktiviti senaman yang sihat dan dikategorikan sebagai seni persembahan yang menggabungkan antara tarian dengan senaman gimnastik. Ini kerana tarian berkenaan memerlukan kekuatan fleksibiliti, signifikan dan daya tahan yang tinggi menggunakan keupayaan otot badan pada sebatang tiang.

Caranya ialah penari menggunakan tiang menegak untuk melakukan gerakan seperti memanjat, memutar dan melenggukkan tubuh pada batang tiang. Kehebatan melakukan tarian tiang kini sudah dianggap sebagai bentuk sukan yang diluluskan, malah boleh dijadikan sebagai sukan aerobik dan anaerobik. Percaya atau tidak, tarian tiang juga dianggap sebagai aktiviti yang dapat membantu mengurangkan di samping melepaskan tekanan.

Kehebatan, kebaikan dan kelebihan menyertai tarian tiang diakui oleh hampir semua wanita yang menyertai kelas khas berkenaan. Mereka berpendapat, selain senaman yang menggunakan keupayaan tubuh, menyegarkan badan serta boleh membakar banyak kalori, tarian tiang juga adalah aktiviti sampingan yang membantu seseorang itu mengurangkan tekanan. Benarkah?

Penterjemah bebas yang juga seorang pelajar tarian tiang dikenali sebagai Moon Bulan, 35, tidak menafikan tarian berkenaan sememangnya tarian yang seksi yang suatu ketika dulu dipandang serong. Namun, pergerakan dan teknik tarian menggunakan lentuk tubuh menggunakan tiang sangat mencabar selain memerlukan tumpuan penuh ketika menari.

"Saya memang sangat berminat dengan senaman itu kerana saya suka menari. Lagi pun ia agak baru di Malaysia, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang mempelajari tekniknya dan fokus kepada setiap pergerakannya. Apabila fokus, maka ia sekali gus membantu menghilangkan setiap tekanan yang ada dalam minda.

"Apabila tumpuan sepenuhnya diberikan, saya lupa segala tekanan yang menimpa. Malah, ia memberi kepuasan berganda. Jika dulu menganggap badan tidak mampu berpaut pada tiang dan keyakinan rendah, kini saya boleh nampak peningkatan dari segi kekuatan, stamina, tenaga dan fleksibiliti, selain keyakinan juga semakin baik," katanya yang sudah mempelajari tarian berkenaan sejak setahun lalu.

Selain Moon, rakannya yang juga doktor veterinar, Nor Hafizah Ismail, 31, turut menyertai tarian berkenaan sejak 10 bulan lalu bagi tujuan meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan. Selain itu, juga katanya beliau dapat bergiat dalam bidang tarian yang minati sejak dulu lagi.

"Saya juga tidak menafikan ketika mengikuti kelas tarian tiang sekali seminggu dapat membantu mengurangkan rasa beban di fikiran setiap kali berdepan dengan pelbagai tekanan. Apabila fokus pada teknik pembelajaran tarian tiang itu, saya rasa masalah yang menimpa dapat diatasi dengan lebih sistematik dan berkesan kerana saya mengambil masa untuk tenang dengan cara menari tiang ini," katanya.

Jurulatih profesional tarian tiang dari Viva Vertical, Liew Yen-Shan @ Nana, pula berkata tarian itu adalah latihan senaman berasaskan penggunaan tiang menegak dengan gerakan menggunakan kecergasan otot di samping meningkatkan fleksibiliti badan. Ia tidak boleh disamakan dengan pole dancing erotis kerana latihan kecergasan tarian tiang itu sebagai fungsi menyegarkan, membakar banyak kalori.

"Ia agak mencabar dan kreatif berbanding latihan sukan tradisional seperti gimnasium dan latihan kelas kumpulan yang lain. Saya percaya semua jenis latihan senaman adalah jalan terbaik mengurangkan tekanan. Menerusi tarian tiang, apabila mula berpeluh ia adalah detox yang ada di kedua-dua mental dan juga fizikal.

"Apabila memberi tumpuan ketika melakukan tarian tiang, maka secara tidak langsung ia akan mengalihkan fikiran daripada segala masalah kerana kita sedang melakukan aktiviti sukan.

"Saya sendiri selalu menari kerana ia cara terbaik untuk menjaga diri hidup sihat dan lebih menyenangkan. Tambah pula menari tiang ia adalah cabaran besar untuk saya kerana saya kurang kekuatan tubuh terutama bahagian badan. Apabila menari tiang, saya mencapai kepuasan setiap kali saya menakluk cabaran dan mempelajari teknik baru," katanya.

Mengikut sejarah, tarian tiang bermula di Amerika pada kemelesetan tahun 1920-an, dengan penari yang dalam persembahan pengembaraan menunjukkan gerakan menggunakan tiang khemah sebagai prop.

Antara lokasi yang menyediakan aktiviti menari tiang ialah Viva Vertical. Viva Vertical terletak di Heritage House, Jalan Yap Ah Shak, Kuala Lumpur adalah ahli Aerial Arts Association of Asia (AAA Asia) dan International Pole Dance Fitness Association (IPDFA). Viva Vertical menyimpan misi untuk menjadikan akademi berkenaan terkenal hingga ke peringkat antarabangsa, yang memberi inspirasi dan menyajikan rutin kecergasan badan dan kesenian tarian.

Oleh Hidayah Mohammad



 
Chatroom