Home » » Reiki - Rawatan memindahkan tenaga

Reiki - Rawatan memindahkan tenaga

Benarkah dengan meletakkan tangan atau mendekatkan tubuh seseorang dapat memulihkan atau mencergaskan tubuh seseorang? Adakah ini benar? Bolehkah ini berlaku?

Pemindahan tenaga antara dua orang untuk tujuan menyembuh telah diamalkan sejak berabad lamanya. Amalan itu dikenali sebagai reiki.

Hampir kebanyakan budaya di dunia percaya bentuk pemulihan menggunakan kaedah yang sesuai dengan prinsip dan kepercayaan mereka.

Reiki berasal daripada perkataan Jepun Ray-ki. Perkataan ray bermakna alam semesta dan ki pula bermakna tenaga untuk hidup. Ada juga yang mentakrifkan reiki sebagai tenaga hidup dan diterima sebagai pelengkap dalam perubatan moden.

Reiki merawat keseluruhan tubuh, emosi, minda dan roh dan membawa ketenangan jiwa, rasa relaks, selamat dan sejahtera. Ramai yang melaporkan hasil yang luar biasa.

Reiki adalah sesuatu yang baru tetapi ia bukan asing di negara ini. Bahkan terdapat beberapa pengamal terkenal di Malaysia seperti Master Mohd. Hisham Yahya dan Master Terry Ng.

Jenis reiki

Hari ini, terdapat pelbagai jenis teknik reiki yang diamalkan selaras dengan kepercayaan pelbagai masyarakat. Antara teknik yang popular ialah Reiki Seichim, Reiki Gtummo, Reiki Sufism dan Reiki Kundalini.

Pengamal reiki didorong oleh lima prinsip yang dikenali sebagai Five Reiki Precepts. Prinsip itu sebenarnya merupakan senarai nilai-nilai positif untuk diterapkan dalam rutin pengamal.

Kelima-lima prinsip itu menasihatkan kesemua pengamal supaya mengawal kemarahan, elakkan rasa resah, berpuas hati dengan apa yang mereka ada, berusaha gigih dan bersimpati dengan orang lain.

Nilai-nilai itu menyumbang kepada seni hidup bahagia dan ubat ajaib untuk semua jenis penyakit.

Menurut Master Mohd. Hisham Yahya yang mengamalkan Reiki Kundalini, ramai sebenarnya telah menggunakan tenaga spiritual tanpa menyedari mereka sebenarnya mengamalkan reiki.

"Tenaga terdapat di sekeliling kita. Ia tidak boleh diwujud atau dimusnahkan. Tetapi ia boleh diubah dari satu bentuk ke bentuk lain," kata beliau. Reiki Kundalini diasaskan oleh Master Ole Gabrielsen dari Denmark.

Para pengamal perlu mematuhi etika reiki. Paling penting, pesakit perlu disedarkan mengenai reiki. Proses pemulihan hanya boleh berlaku dengan izin pesakit yang tahu cara rawatan itu.

Para pengamal juga tidak boleh menjanjikan sama ada seseorang itu boleh sembuh atau tidak. Mereka hanya boleh menyentuh pesakit dengan kebenaran, elakkan daripada membuat diagnosis dan menghormati rahsia pesakit mereka.

PROSES pemulihan hanya boleh berlaku dengan izin pesakit yang tahu cara rawatan reiki.

"Reiki adalah tenaga pintar, ia akan mengalir ke mana-mana bahagian badan yang memerlukannya tanpa panduan," tambah Hisham yang mengamalkan reiki sejak enam tahun lepas.

Reiki adalah salah satu kaedah alternatif, bukannya penawar mutlak kepada masalah manusia.

Reiki semakin mendapat perhatian perubatan moden. Di hospital dan klinik merentasi Amerika Syarikat (AS), Reiki dilihat sebagai kaedah yang bermakna dan berkesan dari segi kos untuk menambah baik penjagaan pesakit.

Tanpa teknologi

Hospital-hospital utama seperti Portsmouth Regional Hospital di New Hampshire dan California Pacific Medical Center di AS merupakan antara hospital yang mengamalkan program reiki.

Melaksanakan reiki tidak memerlukan teknologi. Ini bermakna hospital terbabit tidak perlu melabur membeli mesin-mesin baru, latihan petugas dan penyelengaraan.

Daripada segi kos, dalam kebanyakan kes para pengamal reiki menawarkan khidmat mereka secara percuma.

Sementara itu, satu kajian di Hartford Hospital di Connecticut, AS yang dijalankan pada tahun 2000 membuktikan bahawa Reiki menambah baik tidur pesakit sebanyak 86 peratus dan mengurangkan kesakitan sebanyak 78 peratus.

Kajian yang sama juga mendapati, kaedah rawatan itu boleh mengurangkan rasa mual sehingga 80 peratus dan mengurangkan sebanyak 94 peratus kerisauan semasa hamil.

Sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia juga dibebani dengan kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat. Mereka juga mudah jatuh sakit.

Reiki sememangnya kaedah yang mudah, selamat dan murah serta sesuai untuk pelbagai peringkat usia, jantina atau lokasi.




Ia juga tiada konflik antara amalan keagamaan. Sehubungan itu, sesiapa pun bebas mengamalkan kaedah rawatan ini.

"Saya berharap setiap keluarga di Malaysia boleh amalkan reiki sebagai usaha sendiri ke arah kebaikan.

"Ia juga membantu anda mengurangkan stres dan membolehkan anda relaks," tambah Hisham.

Terdapat pelbagai Reiki yang diamalkan di Malaysia, masing-masing dengan teknik tersendiri serta pusat latihan.

Antara laman web popular bagi latihan Reiki ialah Dimensi Alpha Resources (www.reiki-malaysia.com) kepunyaan Master Hisham serta Reiki Natural Teraphy (www.reiki.com.my) kepunyaan Master Terry Ng. - Bernama



 
Chatroom