Home » » Siapa Jem? bermula 6 Jun 2011 Astro Ria

Siapa Jem? bermula 6 Jun 2011 Astro Ria

Siapa Jem? drama komedi romantik bakal menemui penonton pada setiap Isnin, bermula 6 Jun ini menerusi Astro Ria (saluran 104).

Untuk episod pertama, drama bersiri ini akan ditayangkan pada jam 9.30 malam manakala untuk episod yang seterusnya akan bermula pada jam 9 malam.


Drama 13 episod arahan Samby Dinesh ini bakal menyaksikan lakonan mantap Jazzy Rashid, Miera Liyana, Siti Elizad Saifuddin, Amran Ismail, Sherry Abdullah, Mazlan Mokhtar, Qazim Nor, Nazim Othman, Datin Noniswara Baharudin dan Radhi Khalid.

“Kami mempertaruhkan pelakon wanita sebagai watak utama kerana cerita ini memang diterbitkan di bawah slot wanita.

“Ia mengisahkan tentang seorang gadis kampung yang lari ke bandar setelah kecewa akibat tidak jadi kahwin. Dia mula menjadi tumpuan media dan ditawarkan menjadi deejay radio untuk segmen cinta,” kata wakil Astro, Raqim Ahmad.

Tambahnya: “Kami memilih pelakon baru kerana mereka tidak dikenali, mempunyai banyak tenaga dan mampu memberikan lakonan semulajadi.

“Selepas kejayaan beberapa drama bersiri komedi romantik seperti Renjis, Rona Roni Makaroni, Awan Dania dan Dottie, penonton lebih cenderung menonton drama yang sarat dengan mesej dan menghiburkan.”

Siapa Jem? mengisahkan seorang gadis berusia awal 20-an bernama Jem (Jazzy Rashid), yang telah lama menyimpan impian untuk mengahwini teman lelakinya iaitu Sani (Amran Ismail).

Sani ialah teman lelaki Jem yang amat dihargai dan disayangi oleh Jem walaupun mendapat bantahan daripada ahli keluarganya. Ini kerana Sani tidak mempunyai pekerjaan tetap. Dia selalu berangan-angan hendak menjadi penyanyi dan selalu meminta wang daripada Jem.

Malangnya, semua perancangan Jem itu sia-sia sahaja kerana pada saat-saat akhir, Sani membatalkan perkahwinan itu atas alasan yang dirahsiakan.

Amerizal (Nazim Othman) iaitu seorang wartawan muda yang sedang mengintip sepasang selebriti yang dikatakan mempunyai skandal. Amerizal bertembung dengan Jem sehingga menyebabkan tugasnya terbengkalai.

~ Mstar



 
Chatroom