Home » » Susilo amalkan diet seimbang dengan usia untuk kuruskan badan

Susilo amalkan diet seimbang dengan usia untuk kuruskan badan

Tubuh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sejak kebelakangan ini semakin kurus kerana beliau mengamalkan diet yang seimbang dengan peningkatan usianya.

Presiden Indonesia itu dilaporkan mengamalkan pengambilan pemakanan yang sesuai dengan keperluan dirinya.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Istana, Heru Lelono, amalan diet yang dilakukan Susilo bukannya untuk mengurangi makan semata-mata.

Sebaliknya, pemimpin nombor satu Indonesia itu mengatur pengambilan zat makanan yang ideal seiring dengan kegiatan sehariannya.

“Presiden mengikuti diet dengan disiplin, bukan diet mengurangi makan, tapi mengatur zat pemakanan yang sesuai dengan umur dan kegiatan beliau,” ujar Heru seperti dilaporkan agensi berita Antara hari ini.

Menurut Heru juga, diet itu harus dilakukan oleh Susilo memandangkan kedudukannya sebagai ketua kerajaan memerlukan beliau banyak duduk serta mempunyai waktu yang terbatas untuk bergerak.

“Kita semua tahu Presiden merupakan bekas tentera dahulunya beliau banyak bergerak sedangkan sekarang lebih banyak duduk dan otaknya asyik bekerja.

“Oleh kerana itu, pengambilan makanannya berbeza sehingga menyebabkan beliau kelihatan gemuk. Bagaimanapun, kini, beliau kelihatan kurus,” kata Heru.

Heru juga memberitahu, sosok tubuh Susilo juga semakin baik sejak empat hingga lima bulan terakhir ini.

“Jangan khuatir. Tidak lama dulu ada khabar angin kononnya beliau terkena strok tetapi kini stamina beliau (Susilo) berada dalam keadaan yang cukup baik,” jelas Heru lagi,

Heru bagaimanapun tidak menyebut secara khusus jumlah penurunan berat badan Presiden negara itu.

Bagaimanapun, secara kasarnya berat badan Susilo dianggarkan menurun sehingga lima kilogram.

Susilo juga tegas Heru, tidak mengambil sebarang ubat pelangsing tubuh selama menjalani diet.

~SAHARUDIN MUSTHAFA

– Utusan



 
Chatroom