Home » » » Teknik Omnigraf Rawat Kebotakan (Masalah Gugur Rambut)

Teknik Omnigraf Rawat Kebotakan (Masalah Gugur Rambut)

Kajian menunjukkan, lebih 40 peratus lelaki mulai mengalami masalah kehilangan rambut pada usia 35 tahun manakala 65 peratus menjelang usia 60 tahun. Ia masalah sejagat dan membabitkan pelbagai jantina, tetapi lebih ramai dihidapi lelaki.


Di Amerika Syarikat (AS) masalah keguguran rambut menjejaskan kira-kira 40 juta lelaki dan 20 juta wanita. Secara purata, kepala manusia mempunyai kira-kira 100,000 folikel rambut. Setiap folikel boleh mengeluarkan kira-kira 20 rambut dalam jangka hidup seseorang.

Kebanyakan orang kehilangan kira-kira 50 helai ke 100 helai sehari. Selepas rambut berkenaan gugur, peringkat pertumbuhan rambut baru bermula dengan rambut baru daripada folikel sama menggantikan rambut gugur itu.

Masalah kebotakan berlaku apabila pola rambut gugur semakin banyak dan rambut baru tumbuh itu makin tipis. Keguguran rambut berlaku apabila kadar gugur melebihi kadar pertumbuhan semula, selain apabila rambut baru tumbuh itu lebih nipis berbanding rambut sebelumnya.

Pakar Pembedahan Kosmetik Dr Alice Clinic, Dr Alice Prethima, berkata umumnya pola kehilangan rambut terbahagi kepada tiga iaitu androgenetic, botak yang dikaitkan dengan lelaki dan jenis ini mewakili kira-kira 90 peratus daripada rambut gugur dipengaruhi perubahan hormon testosterone.

Jenis effluviumtelogen biasa berlaku pada dua bulan hingga empat bulan selepas bersalin dan boleh jadi juga dikaitkan dengan penyakit akut, diet keterlaluan, tekanan fizikal serta emosi. Jenis alopeciaareata pula membabitkan kehilangan rambut pada kulit kepala disebabkan kelainan dalam sistem imun.

"Kebotakan boleh diatasi menerusi pembedahan, laser, ubat makan atau oral dan disapu di bahagian berkenaan. Bagaimanapun, cara ini memakan masa berbanding teknik pemindahan rambut. Pemindahan rambut adalah rawatan yang paling biasa dan untuk keguguran rambut.

"Biasanya lelaki, kebotakan bermula di hadapan kepala hinggalah ke tengah kepala, manakala bahagian yang berambut lebat, biasanya ada di bahagian belakang kepala. Jadi akar daripada bahagian berambut lebat akan diambil dan ditanam di bahagian yang mengalami keguguran rambut," katanya.

Teknik Omnigraf itu hanya ada di klinik Dr Alice di Bangsar dan diperkenalkan oleh NeoAsia (M) Sdn Bhd.

Asas untuk pemindahan rambut ialah rambut diambil daripada kawasan banyak rambut seperti bahagian belakang kepala dan ditanam pada bahagian yang mengalami kebotakan.

Pada sesi pengenalan rawatan itu, Dr Alice turut menayangkan video prosedur penanaman rambut Omnigraf dengan prosedur dirakam daripada bilik pembedahan, memperlihatkan lelaki mengalami masalah botak melalui proses itu dalam keadaan sedar dengan kesan pendarahan minimum.

Menggunakan teknik FollicularUniteExtraction (FUE), untuk meminimumkan kesakitan dan kesan luka atau parut, berbanding teknik tanaman rambut yang memakan kesan parut besar dan berpanjangan.

Prosedur berkenaan dikatakan amat pantas hingga Dr Alice menggelarkan ia sebagai `rawatan waktu makan tengah hari' atau lunch time treatment yang tidak memerlukan `pesakit' memohon cuti.

Dr Alice berkata, dalam tempoh dua minggu, rambut baru akan mula tumbuh dan hasilnya sungguh memberangsangkan.

"Prosedur ini tidak mendatangkan komplikasi dan memberikan kesan yang lebih semula jadi apabila rambut akan terus tumbuh seperti biasa," katanya.

Proses pemindahan rambut FUE

* Pada hari pemindahan, pesakit diberi ubat pelali supaya tidak sedar ketika prosedur berlangsung.

* Kawasan rambut diambil akan dibotakkan sedikit dan disuntik dengan anestetik, untuk memudahkan rambut berkenaan diambil keluar hingga umbi rambut.

* Unit folikel rambut kemudian dipindahkan ke kawasan diingini. Kawasan itu ditusuk sedikit bagi membolehkan rambut tadi ditanam pada bahagian dikehendaki.

* Pemindahan unit rambut antara 400 helai ke 500 helai, mengambil masa satu hingga dua jam bergantung kepada jumlah rambut ditanam.



 
Chatroom