Home » » Man Medi Spa untuk lelaki

Man Medi Spa untuk lelaki

Kepada kaum Adam yang masih mencari-cari spa sebenar untuk lelaki, apa kata jika menjejakkan kaki ke Man Medi Spa yang terletak di Rampai Bisnes Park, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Baru dibuka kira-kira dua tahun lalu, Man Medi Spa bukan setakat spa malah ia merupakan spa berkonsep butik.

Man Medi Spa untuk lelaki

Selain memberikan rawatan spa khusus untuk lelaki, spa ini menyediakan sewaan baju pengantin, pakaian ke majlis malam, busana tradisional, busana untuk model dan penari.

Menurut pemilik Man Medi Spa, Nor Zaini Sulaiman, spa ini merupakan pusat kecantikan dan hidroterapi.

Seperti spa untuk wanita, rawatan yang disediakan di sini termasuk skrub badan yang terdiri daripada tiga jenis, iaitu skrub kulit kayu manis, skrub cocoa butter dan skrub herba lelaki.

Selain rawatan skrub badan, terdapat juga rawatan muka, urutan aromaterapi, Bali, urutan menggunakan batu, menghilangkan tekanan dan urutan tradisional.

''Bagi lelaki yang ingin melakukan masker badan, mereka boleh memilih di antara beberapa jenis masker seperti avocado, bengkoang, herba dan mangir.

''Di sini juga, saya menyediakan empat jenis mandian yang setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri dan mengikut pilihan pelanggan.

"Mereka boleh memilih di antara mandian aromaterapi, mandian bunga, mandian herba dan mandian susu,'' ujar Nor Zaini.

Menurut beliau lagi, satu daripada keistimewaan yang terdapat di Man Medi Spa ini ialah ia menyediakan perkhidmatan spa hidroterapi menggunakan teknologi terkini yang diiktiraf di dunia dan sesuai untuk semua golongan.

Ujar Nor Zaini, spa hidroterapi mempunyai pelbagai kebaikan di antaranya melambatkan proses penuaan, mengurangkan paras kolesterol, menambah tenaga, merangsang tidur yang baik, menyembuhkan penyakit kulit dan banyak lagi.

''Pelanggan yang hendak datang perlu membuat temujanji kerana kami tidak mengambil ramai pelanggan pada satu-satu masa cuma tiga orang sahaja.

''Ini kerana kami mahu pelanggan selesa dan tidak mahu mereka tertunggu-tunggu pelanggan lain yang sedang mendapatkan rawatan.

"Orang datang ke spa untuk relak dan tenang. Kami mahu pelanggan berasa seronok di sini.

''Walaupun selepas habis rawatan, pelanggan masih boleh duduk di sini selama mana mereka suka.

" Jika isteri dan anak-anak datang bersama, mereka boleh menonton televisyen sambil makan makanan ringan yang kami sediakan sementara menunggu rawatan suami selesai,'' kata Nor Zaini yang membuka spanya dari pukul 10 pagi hingga 12 malam.

Dalam pada itu, beliau turut menawarkan koleksi pakaian pengantin sama ada moden atau tradisional serta pakaian ke pelbagai bentuk majlis untuk disewa.

Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai spa dan butik Nor Zaini, boleh menghubungi beliau di 012-2959224 atau 017-3052368.

Oleh MERAN ABU BAKAR



 
Chatroom