Home » » Malam pertama tak semestinya berdarah

Malam pertama tak semestinya berdarah

Apakah wanita berkahwin yang tidak keluar darah pada malam pertama bersama suami dikatakan tiada dara?

Saya dapati ramai lelaki yang salah anggap jika isteri tidak keluar darah ketika bersama pada malam pertama, dia menganggap isterinya tiada dara lagi.

Sebelum ini, saya pernah membaca artikel daripada pakar yang mengatakan jika tiada darah keluar sewaktu bersama pada malam pertama, bermakna isteri sudah bersedia untuk menerima hubungan seks daripada suaminya.

Apabila isteri tidak menerima dalam keadaan tenang (dalam keadaan malu-malu atau tidak bersedia), darah akan keluar. Adakah pendapat itu benar?

------------

TIDAK semestinya. Selaput dara seseorang individu berbeza-beza daripada segi bentuk, ketebalan, bekalan darah dan seumpamanya.

Ada yang mempunyai selaput dara yang tebal, ada pula yang nipis seperti sehelai kertas. Ada yang melebar melingkari sekeliling bukaan faraj (bentuk cecincin), mempunyai sambungan di tengahnya (septate), menutupi keseluruhan bukaan faraj lubang halus menembusinya (fenestrasi), malah ada yang menutup terus (imperforate).

Ada selaput dara yang mempunyai banyak saluran darah, ada pula yang seolah-olah tiada langsung saluran darah. Ada yang bersifat sangat elastik sehingga boleh membenarkan kemasukan seperti jari menembusinya tanpa koyakan.

Nama selaput dara juga mungkin mengelirukan kerana bagi kebanyakan perempuan, ia tidaklah menyelaputi keseluruhan bukaan faraj, tetapi hanya seperti cecincin nipis yang mengelilingi tepian faraj terbabit. Lubang di tengahnya membolehkan aliran darah haid atau lelehan faraj keluar.

Pecah selaput dara bukanlah bermakna ia mengalami trauma teruk sehingga perlu ada pendarahan. Kadangkala selaput dara hanya terbelah sedikit saja kerana ia bersifat elastik.

Hanya apabila koyakan selaput dara mengenai saluran darah saja, barulah terdapat sedikit pendarahan. Hubungan seks eloklah dilakukan dalam keadaan si isteri sudah bersedia agar ia dapat dinikmati bersama.

Namun, ini tidak bermakna jika isteri tidak bersedia, pendarahan akan berlaku. Jika benar, sudah tentu ia dialami ibu lain yang didatangi suaminya dalam keadaan yang belum atau tidak bersedia.

Kadangkala, pendarahan boleh disebabkan luka pada sempadan di antara bibir kemaluan dengan bukaan faraj bahagian belakang (dinamakan fourchette posterior), ia boleh mengalami luka laserasi dan menyebabkan kesakitan pada setiap kali penetrasi hubungan seks.

Oleh Dr Adilah Ahmat



 
Chatroom