Home » » Sihat & langsing dalam masa 6 Minggu

Sihat & langsing dalam masa 6 Minggu

Kedengaran agak mustahil, namun jika kena cara disertai dengan disiplin dan komitmen jitu, anda boleh melakukannya.

Itulah impian dan matlamat 22 peserta program Cabaran Sihat 6 Minggu bersama iSIHAT dan Kevin Zahri yang dilancarkan pada 4 Oktober lalu di Utusan Karya Sdn. Bhd. Dijalankan pada setiap Sabtu, program bermula semalam dengan acara senamrobik dan yoga di Celebrity Fitness. Seterusnya adalah aktiviti sukan air, jungle trekking, futsal dan Amazing Race.


Keistimewaan program ini terletak pada bengkel dan sesi rundingan secara individu atau kumpulan khusus oleh Kevin yang merupakan pakar pemakanan dan kecergasan. Ini kerana menurunkan berat badan wajib disertai dengan amalan pemakanan yang sihat.

“Menurunkan berat badan bukan bermakna seseorang perlu berkurung 12 minggu di dalam rumah, makan makanan yang sama dan melakukan aktiviti fizikal yang rutin sehingga berasa bosan. Untuk menjadikan proses penurunan berat badan berkesan, terdapat cara lain yang lebih menyeronokkan,” kata Kevin yang yakin menerusi program ini 10 kg boleh dikurangkan.

Beliau berkata, seseorang itu tidak perlu menjadi orang lain untuk tampil langsing dan sihat. katanya, tanggungjawab beliau sebagai pakar pemakanan dan kecergasan lebih kepada membina pelan pemakanan yang tepat dan sesuai dengan latar belakang peserta yang berbeza.

“Jika anda seorang pelajar, sudah tentu cara diet anda tidak sama dengan suri rumah,” katanya yang secara peribadi yakin memiliki tubuh yang sihat dan berat badan ideal tidak sukar untuk dicapai asalkan tahu cara, mempunyai panduan serta berdisiplin melakukannya. Ini kerana Kevin dan pihak Kementerian Kesihatan yang berperanan ‘memantau’ para peserta hanya berupaya membimbing mereka sekali seminggu. Selebihnya bergantung pada keazaman diri sendiri.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Utusan Karya Sdn Bhd. Zurzaliza Bajuri berkata: “Program yang julung kali diadakan ini bertujuan membantu golongan yang ber masalah obesiti agar mereka boleh memperoleh berat badan yang ideal. Melalui program ini juga kami cuba membentuk kesedaran di kalangan masyarakat pentingnya menurunkan berat badan.”

Menurutnya, program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 300 permohonan diterima. Biarpun begitu cuma 22 peserta sahaja terpilih daripada pelbagai latar belakang pekerjaan termasuklah pereka fesyen, guru, jurutera maklumat dan pelajar. Kriteria yang diambil kira adalah berat badan dan komitmen tinggi yang diberikan serta kesanggupan menyertai kesemua aktiviti yang bakal diadakan.

Bagi proses pemilihan pemenang, peserta akan dinilai dari sudut penurunan berat badan dan komitmen tinggi. Peserta yang berjaya mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga, masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 berserta hadiah sampingan. Program Cabaran Sihat 6 Minggu Bersama iSIHAT dan Kevin Zahri ini ditaja oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan turut disokong oleh rakan-rakan strategik seperti FRIM, Adidas, FIGOS, Celebrity Fitness, BizzyBody, Gocell dan JariSpa.

Oleh Noor Hidayah Shafiee & Noreen Tajuddin



 
Chatroom