Home » » Dr. Rozmey bantu Balagi kuruskan badan

Dr. Rozmey bantu Balagi kuruskan badan

Hasrat lelaki obes, M. Balagi, 44, untuk menurunkan lagi berat badannya mendapat perhatian pengasas produk Jusmate 5, Datuk Dr. Rozmey Che Din.

Kelmarin, Dr. Rozmey melawat Balagi di rumahnya di Bandar Baru Air Itam dekat sini bagi melihat sendiri keadaan lelaki tersebut.

Beliau memuji kesungguhan Balagi apabila berjaya menurunkan berat badannya daripada 300 kilogram (kg) kepada 200kg selepas 10 bulan mengikut diet pemakanan yang ketat.

"Balagi telah berjaya mengawal diet pemakanannya, justeru saya tidak melihat sebarang masalah untuk beliau turunkan lagi 100kg beratnya," ujar Dr. Rozmey.


Beliau yang mencadangkan Balagi mengamalkan minuman Jusmate 5 bagi membantu mengurangkan lagi berat badan bersama amalan diet serta senaman ringan yang dilakukannya.

Dr. Rozmey memberitahu, beliau akan menyumbangkan Jusmate 5 kepada Balagi secara percuma setiap bulan kerana percaya lelaki itu mempunyai keazaman kuat untuk mendapatkan berat badan impiannya.

Beliau juga bersetuju untuk menghadiahkan mesin senaman bagi kegunaan Balagi di rumah setelah kecederaan di bahagian paha lelaki itu pulih nanti.

Balagi yang gembira menerima sumbangan tersebut berterima kasih kepada Dr. Rozmey dan memberitahu dia semakin bersemangat untuk menurunkan lagi berat badannya itu.

Kisah lelaki obes ini mendapat perhatian umum setelah dia terjatuh ketika berjalan ke tandas di rumahnya pada 26 Oktober tahun lalu sehingga memaksa 10 anggota penyelamat mengerah kudrat mengangkatnya ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Bagaimanapun selepas 10 bulan dirawat di sana, berat badan Balagi turun kepada 200kg hasil mengamalkan diet yang ketat dengan hanya memakan oat dan epal hijau serta mengikuti senaman ringan.

Oleh ZAKI SALLEH



 
Chatroom