Home » » Tip bersenam pesakit jantung

Tip bersenam pesakit jantung

Senaman mempunyai peranan penting dalam kedua-dua keadaan - sama ada mengelak atau mencegah serta pemulihan dari penyakit yang membabitkan jantung.

Senaman dapat memberi kesan positif kepada banyak faktor yang menyebabkan peningkatan risiko penyakit jantung seperti tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, diabetes dan kegemukan.

Jika anda sudah disahkan mempunyai penyakit berkaitan pembuluh darah (coronary artery disease) yang menyalurkan darah ke jantung serta hendak memulakan senaman, anda memerlukan panduan dan arahan dari pakar kesihatan atau doktor.

Individu yang dikesan mempunyai masalah pembuluh darah biasanya akan diserapkan dalam program pemulihan. Program ini selalunya disediakan di hospital dan dikendalikan mereka yang berkemahiran dalam bidang fisioterapi selain memantau pesakit ketika bersenam.

Program senaman ini juga boleh dilakukan sendiri di rumah selepas mendapat panduan dari pakar yang mengenal pasti jenis program sesuai berdasarkan rekod perubatan dan keadaan fizikal semasa.

Hakikatnya. tidak pernah terlalu lambat untuk meningkatkan aktiviti fizikal anda atau memulakan apa juga program senaman. Dapatkan kebenaran atau panduan dari pakar sebelum memulakan aktiviti kecergasan.

Sentiasa ingat! Bersenamlah dalam keadaan selesa. Dapatkan rentak mengikut kemampuan anda.

* Jika anda baru saja terkena serangan atau pembedahan jantung, anda mesti mendapatkan kebenaran dan panduan dari pakar perubatan sebelum meningkatkan sesuatu tahap aktiviti.

* Teliti tahap senaman anda. Pastikan degupan jantung anda berada di antara zon degupan jantung anda (kebiasaannya ditentukan oleh pakar dan ujian treadmill)

* Cuba bersenam sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu. Individu yang tahap kecergasannya rendah masih boleh mendapatkan manfaat jika bersenam lima hingga 10 minit, dua hingga tiga kali sehari. Lakukan sesi pemanasan dan penyejukan badan sekurang-kurangnya selama 10 minit.

* Maklumkan doktor jika anda mempunyai sebarang tanda tidak normal atau gejala sebelum, semasa atau selepas bersenam. Ini termasuklah sakit dada, tercungap-cungap atau keletihan melampau.

* Sentiasa bawa ubat nitroglycerin bersama anda terutama ketika bersenam.

* Jangan bersenam secara berlebihan sehingga anda merasa sakit dada atau `angina'. Jika anda mengalami sebarang kesakitan, dapatkan bantuan dengan segera.



 
Chatroom