Home » » Tip Kecantikan Pelakon Cristina

Tip Kecantikan Pelakon Cristina

Tip Petua Kecantikan Pelakon Cristina Suzanne Stockstill

Cristina berkata; “Memberi senyuman yang ikhlas buat wajah kita tampak awet muda tau.”

Ujarnya senyuman atau ketawa merupakan tips kecantikan yang paling mudah dipraktikkan tetapi andai kata ia tidak ikhlas, wajah akan meninggalkan kesan kedutan dengan lebih mudah dan teruk.


“Ramai yang tidak sedar senyuman atau ketawa yang dibuat-buat akan mengedutkan lagi wajah kerana urat dalam muka dipaksa melakukan sesuatu yang tidak diingini.

“Justeru itu, hati kita perlulah bersih daripada segala prasangka buruk dan berfikiran positif, barulah keikhlasan itu timbul dengan sendiri,” ujarnya.

Menggali lagi ilmu kecantikan yang dipraktikkan pelakon ini, dia lebih senang jika penjagaan diri dilakukan secara sederhana.

Cukup saja dengan amalan meminum air suam atau mineral yang banyak serta mengambil makanan tambahan, Cristina memastikan tubuh badannya tidak lemah atau mudah jatuh sakit.

“Sebenarnya dua perkara ini baru saja diamalkan sejak bergelar pelakon. Maklumlah, dengan masa kerja yang tidak menentu, tubuh kita akan mudah terkena penyakit dan seboleh-bolehnya saya akan cuba mendapatkan tidur yang cukup.

“Paling penting air mineral botol besar akan dibawa ke mana-mana sahaja terutamanya ke lokasi penggambaran. Selain itu, amalan meminum segelas air suam setiap pagi sebelum menggosok gigi amat bagus kerana dapat membantu kelancaran organ sekali gus mampu mengelak diri daripada demam panas,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Dek kerana mempunyai selera makan yang tinggi apabila melihat makanan di depan mata, justeru dia mengamalkan senaman setiap hari.

“Sudahlah selera makan saya kuat, tambah pula saya tak suka sayur-sayuran. Jadi selain pengambilan makanan tambahan, senaman ringan amat diperlukan. Tidak perlu terlalu ekstrem, cukup jika kita dapat mengeluarkan peluh seperti menaiki tangga, berjalan kaki atau skipping,” jelasnya.

Dalam pada itu, penjagaan rambut juga diambil berat oleh pelakon ini.

Memandangkan rambutnya agak nipis, dia perlu menggunakan pengering rambut setiap hari agar ia tidak kelihatan leper.

“Berambut pendek adalah gaya yang paling sesuai untuk saya. Bukannya apa, ia mudah diuruskan. Pastikan rambut anda diletakkan serum supaya tidak kering,” katanya.



 
Chatroom