Home » » Malaysia (indeks ke-68) rakyatnya paling bahagia

Malaysia (indeks ke-68) rakyatnya paling bahagia

Menurut satu kajian mengenai tahap dan indeks kebahagiaan di kalangan lebih 52,913 orang yang ditemubual di 58 negara, rakyat Fiji disenaraikan sebagai mereka yang mempunyai indeks tertinggi dan paling bahagia.

Kajian yang dilakukan WIN-Gallup International Global Barometer of Happiness itu bagaimanapun tidak menunjukkan hubungan jelas antara kebahagiaan dan kedudukan ekonomi.

Ini kerana 10 negara yang indeksnya tinggi meliputi Nigeria serta Ghana dan kedua-dua negara terbabit bukan negara kaya.

Malaysia (indeks ke-68) antara negara yang rakyatnya paling bahagia berdasarkan tinjauan dibuat. Negara yang mempunyai indeks paling rendah ialah Romania (dengan indeks -10), Georgia (0), Mesir (0), Palestin (7), Serbia (8), Lithuania (9) dan Iraq (19).

Kebahagiaan tidak datang semudah itu. Ia juga begitu relatif sifatnya dan tidak dapat bersandarkan melalui pertanyaan adakah kita bahagia atau tidak kerana kayu pengukurnya berbagai-bagai. Seorang yang mempunyai pendapatan kecil, tidak semestinya tidak bahagia, begitu juga sebaliknya.

Mereka berpendapatan tinggi secara mata kasar sewajarnya bahagia, tetapi ramai juga yang jiwanya kosong dan tercari-cari sesuatu yang dapat mengisi kekosongan jiwanya.

Jika menilai diri sendiri pun, melihat kehidupan sekarang berbanding zaman ibu bapa membesarkan kita dulu atau 20-30 tahun lalu dengan kemajuan yang jauh berbeza dari sekarang. Ibu bapa yang membanting tulang di sawah, bersabung nyawa sebagai nelayan di lautan, penoreh getah di kebun kepunyaan orang atau mengerjakan huma di tanah tinggi pedalaman, berupaya menghantar anak ke universiti, membesarkan lebih 10 anak tetapi masih mempunyai masa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai jiran tetangga, mengerjakan ibadah di masjid dan pelbagai tanggungjawab lain.

Hari ini, dengan pencapaian akademik yang tinggi, gaji besar dan pendapatan tinggi, seseorang itu terpaksa keluar rumah awal pagi, kembali ke rumah semula lewat malam dan sibuk dengan rutin untuk menambah pendapatan, tetapi pada akhirnya hidup dalam kesunyian, mengisi jiwa dengan pelbagai cara yang sesetengahnya terdedah dan terbabit dengan gejala hidup di luar batas dan norma agama dan moral, demi mengejar serta mencari makna bahagia. Anak membesar di tangan orang lain hubungan kejiranan juga semakin mempunyai jurang.

Tinjauan Kesihatan Mobiditi dan Kesihatan 2011 yang menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.

Seorang daripada enam rakyat negara ini ada penyakit mental, antaranya kemurungan, sakit risau dan psikosis.

Kita perlu berlaku jujur dan menjawab sendiri makna kebahagiaan yang hanya dapat dirasai apabila berkongsi dengan orang lain.

Kebahagiaan sebenar ialah apabila kita makin dekat dengan Maha Pencipta. Justeru, kita perlu kembali kepada asas untuk memperoleh kebahagiaan hakiki dengan menghormati setiap kejadian dan ciptaan Maha Pencipta, menjaga hubungan sesama manusia dan makhluk yang ada dan menyayangi alam yang dicipta-Nya.

Kebahagiaan dan kesejahteraan lebih mudah disebut daripada dirasa kerana tempatnya di hati. Jika ingin bahagia, kita perlu bahagiakan orang lain agar ia benar-benar dapat dikongsi.

Biar apapun indeks diletakkan, kebahagiaan dan kesejahteraan masyarakat harus bermula dari kebahagiaan diri dalam menentukan kesejahteraan masyarakat dan dunia seluruhnya untuk dikongsi dan dirasai bersama.

Umumnya kita menganggap bahagia apabila mendapat ketenangan, keseronokan, rasa selamat dan mencapai apa yang diharapkan dalam hidup. Cabarannya ialah, bagaimana untuk kita kekalkan dan tingkatkan kebahagiaan yang ada? Apakah makna sebenar bahagia dan bahagiakah kita sebenarnya?

* Penulis ialah Timbalan Pendaftar di Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia
Sumber: Berita Minggu





 
Chatroom