Home » » Rakyat Korea taksub pembedahan kosmetik (plastik)

Rakyat Korea taksub pembedahan kosmetik (plastik)

Rakyat Korea Selatan terlalu obses dengan pembedahan plastik atau pembedahan kosmetik bagi mencapai kecantikan sempurna mula menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.

Menurut data industri itu, Korea Selatan yang mempunyai penduduk kira-kira 50 juta orang merupakan negara kedua terbesar melakukan pembedahan plastik selepas Hungary.

Keadaan itu dilihat bertambah buruk apabila selebriti popular Korea seperti Goo Hara daripada kumpulan KARA mengaku melakukannya, menambah tarikan untuk mencapai kesempurnaan.

Beribu-ribu laman web dengan beratus ribu pengikut muncul, baru-baru ini di mana ia membenarkan pengunjungnya berkongsi kaedah untuk mencapai tubuh sempurna, membincangkan kesan pembedahan plastik dan menghantar pertanyaan bahagian tubuh yang mana perlu diubah.

Menurut Persatuan Pembedahan Plastik Astetik Antarabangsa (ISAPS), sebanyak 770,913 pembedahan plastik dilakukan di Korea Selatan pada 2010, meletakkan negara ini di tempat ketujuh dalam senarai terbanyak pembedahan plastik dilakukan di peringkat global.

Pembedahan plastik paling popular dipercayai adalah prosedur menjadikan mata lebih besar dan bulat, namun pembedahan untuk menjadikan muka lebih kecil termasuk liposuction dan perubahan tulang rahang merupakan prosedur terkini yang banyak dilakukan.

Kebanyakan pelajar perempuan sekolah tinggi memilih melakukan pembedahan itu selepas menduduki peperiksaan untuk kemasukan ke kolej dan klinik pembedahan plastik melancarkan pengiklanan agresif termasuk pakej ibu dan anak atau dua prosedur dengan yuran murah.


Dalam pada itu, kebimbangan timbul sejak 2008 apabila gambar seorang wanita yang mukanya rosak teruk selepas pembedahan plastik, mula tersebar di Internet.

Agensi Pengguna Korea berkata, jumlah kes akibat kesan buruk pembedahan plastik itu meningkat kepada 4,043 kes pada tahun lepas daripada 1,698 kes pada 2008. - AGENSI

# Harap Rakyat Malaysia tidak terikut-ikut dengan trend di Korea ini. Kita sudah ada budaya K-Pop yang merebak di kalangan remaja.



 
Chatroom