Home » » 90 peratus remaja bermasalah jerawat

90 peratus remaja bermasalah jerawat

Apa itu jerawat? Umum mengetahui jerawat adalah bonjol atau bintik yang mencacatkan paras rupa. Wanita atau lelaki yang peka terhadap kecantikan kulit akan panik apabila satu titik jerawat timbul pada kulit mereka.

Ia boleh berlaku pada permukaan kulit muka, belakang badan, bahu dan dada dalam bentuk titik hitam, putih, biji merah, bengkak dan kadangkala timbul tompokan berbentuk biji mengandungi nanah.

Dalam keadaan ini, mereka tidak berdiam diri dan berusaha supaya ia hilang termasuk menggunakan alat kosmetik atau mendapatkan rawatan pakar kulit.

Pakar sakit kulit, Dr Mohd Noh Idris, berkata jerawat bukannya resdung tetapi adalah penyakit. Hampir 90 peratus remaja akan mengalami masalah jerawat. Beliau berkata, ada beberapa faktor menyebabkan jerawat tumbuh antaranya pertumbuhan jerawat disebabkan pertukaran hormon.

Bagi remaja, misalnya, hormon endrogen bertindak pada kelenjar dan membesar dan terus tersembul. Ia juga dikenali sebagai bintik putih atau white head. Apabila kelenjar membesar ia mengeluarkan minyak yang berlebihan, sel akan melekat serta
tersumbat dan menyebabkan kuman yang dikenali sebagai Propionibacterium acne mudah bertindak ke atas sebum (minyak) dan bertukar kepada asid lemak.

Asid lemak, akan meresap keluar dan menyebabkan saluran darah pada kulit membesar serta menjadi merah. Ia akan menarik sel darah putih dan ia akan bercampur dengan bakteria seterusnya menghasilkan nanah.

"Jerawat sebenarnya tidak merbahaya. Bagaimanapun perlu dirawat dengan cara yang betul kerana ia boleh mendatangkan mudarat jika tersalah rawatan seperti meninggalkan parut," katanya.

Bayi juga, katanya, boleh tumbuh jerawat yang didapati daripada hormon ibunya melalui penyusuan badan.

Selain hormon, katanya, faktor keturunan juga boleh menyebabkan jerawat tumbuh. Misalnya, jika ibu bapa seseorang remaja itu mempunyai jerawat, kadar untuk remaja berkenaan mendapat jerawat adalah tinggi.

Beliau berkata, tekanan seperti kerunsingan dan ubat tertentu seperti lithium, hydantoin, topical dan systemic corticosteroids juga boleh menyebabkan jerawat tumbuh.

Lazimnya selepas seseorang itu berusia lebih 25 tahun, jerawat akan hilang, bagaimanapun ada kes tertentu sehingga seseorang itu dewasa dan berusia lebih 40 tahun.

Dr Mohd Noh turut menafikan pengambilan makanan berlemak seperti kacang dan coklat boleh menyebabkan jerawat. Beliau berkata, secara keseluruhan, jerawat terbahagi dua iaitu non inflammatory acne iaitu yang ringan dan lazimnya tidak berapa teruk.

Apabila kelenjar membesar ia menyebabkan terjadinya bintik putih dan hitam. Bagi jenis kedua pula, inflammatory acne iaitu jerawat peringkat teruk kerana ia akan kelihatan merah, bernanah dan kadang-kala dikenali dengan jerawat batu.


Dr Mohd Noh berkata, jika jerawat itu tidak teruk lazimnya doktor akan memberikan krim untuk disapu dan jerawat itu akan menggelupas. Bagaimanapun jika jerawat peringkat teruk, seseorang itu perlu mengambil ubat atau antibiotik bagi membolehkan jerawat itu pulih.

"Sebagai pakar sakit kulit saya tidak galakkan rawatan muka (facial) kerana kadang-kala kaedah yang dilakukan akan menyebabkan jerawat semakin teruk.

"Kaedah yang dilakukan hanyalah mencuci bahagian luaran tetapi masalah jerawat adalah daripada dalam. Permukaan muka, adalah kawasan yang paling sensitif. Justeru, jika hendak mencuci muka perlu dilakukan dengan lembut. Jika tonyoh dengan kuat, ia akan menyebabkan jerawat menjadi merah dan bertambah teruk.Lazimnya, amalan mencuci muka elok dilakukan tiga kali sehari dan jangan terlalu kerap kerana boleh menyebabkan kulit muka menjadi kering serta menggelupas," katanya.

Beliau berkata, walaupun jerawat hanya kelihatan di luar permukaan kulit, dan boleh disembunyikan dengan alat solek, ia perlu dirawat bagi mengelakkan parut.

Alat solek tertentu juga boleh menyebabkan jerawat tumbuh, bagaimanapun keadaan ini jarang berlaku.

Panduan Atasi Jerawat
Panduan Atasi Jerawat. Info lanjut, KLIK SINI



 
Chatroom