Home » » Gasing Uri - Permainan tradisional rakyat Kelantan/Terengganu

Gasing Uri - Permainan tradisional rakyat Kelantan/Terengganu

Permainan gasing di Kelantan umpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Gasing menjadi permainan yang cukup popular di Kelantan. Sebagai permainan rakyat, gasing menjadi wadah perhubungan sosial yang utuh apabila banyak pertandingan dan persembahan permainan gasing diadakan di sekitar Kelantan sentiasa mendapat sambutan. Permainan gasing juga menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Kelantan. Lebih menarik, permainan tradisional ini turut dikongsi dengan negeri jiran Kelantan, iaitu Terengganu.

Gasing Uri - Permainan tradisional rakyat Kelantan/Terengganu

Gasing Uri salah satu gasing yang popular di negeri Terengganu dan Kelantan. Terdapat banyak jenis gasing yang terdapat di Malaysia antaranya gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.

Permainan gasing ini memerlukan dua orang pembantu, seorang memegang cokok dan seorang lagi melempar gasing. Cokok diperbuat daripada kayu dan berbentuk leper seperti sudip, kira-kira 60 cm panjang.

Lopok juga diperbuat daripada kayu tetapi berbentuk torak atau pun seperti pancang, 45 cm panjang. Di hujung lopok itu dilekatkan logam bergaris pusat 4-5 cm. Tempat permainan atau arena gasing dipanggil bong. Bong berbentuk bulat, bergaris pusat kira-kira 3.25 meter, dan dibuat di atas tanah yang keras atau diperbuat daripada tanah liat yang dimampatkan, berbentuk segi empat dengan saiz lebih kurang satu hingga dua meter. Kini ada pemain yang membuat bong menggunakan kayu pada saiz yang sama dan diletakkan kain di atasnya.

Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok atau tukang congkok. Dengan pantas tukang congkok akan mencedok gasing dengan menggunakan pencedok daripada kayu dan terus diletakkan di atas lopok (tempat gasing berputar) dan sedikit pelincir disapu untuk memastikan ia berputar dalam tempoh yang lama

Dengan teknik balingan menggunakan tali yang dililit oleh pemain yang hebat, gasing uri mampu berpusing lebih sejam pada paksinya, berkedudukan tegak dan berhenti pada satu titik.

Ia berbeza dengan gasing pangkah di mana pemain memutarkan gasing ke arah gasing lawan untuk menghentikan putaran itu.

Gasing uri yang berbentuk rendah dan pipih itu dipertanding berasaskan tempoh masa ia mampu berputar selepas balingan dan diceduk serta diletakkan di atas tapak putaran (lopok). Gasing yang berpusing paling lama dikira pemenang pertandingan.

Tidak semua orang mampu mengendalikan permainan gasing kerana ia memerlukan kemahiran dan pengalaman yang memakan masa bertahun-tahun lamanya. Seorang pemain terpaksa mengambil masa agak lama untuk menguasai teknik bermain termasuk menyimpai atau melilit tali pada gasing serta melemparkannya. Gasing yang dilemparkan itu akan disambut oleh tukang congkok yang akan menceduk dan diletakkan di atas paksi pemusing (lopok).

Penghasilan Gasing
Bagaimana gasing dihasilkan, ia bermula dengan pencarian kayu asas untuk membuat piring gasing. Biasanya kayu yang dipilih terdiri daripada jenis bebaru yang boleh diperoleh di kuala sungai dan tidak dimakan anai-anai, kayu semeru sukar diperoleh tetapi cantik, kayu bunga cempaka merah dan kemuning.

Kayu gasing terbaik diperbuat daripada kayu bebaru yang mempunyai ira cantik dan semula jadi. Sebaiknya ambil kayu yang berbonjol di bahagian batang kayu yang lurus atau pilih bahagian bercabang kerana mempunyai urat berselirat dan cantik.

Kayu ditakik dan dikikis untuk menghasilkan bentuk asas piring gasing dengan bahagian tengahnya ditebuk yang kemudiannya dijemur sehingga kering selama dua bulan. Selepas itu piring tersebut dilarik di atas peralatan tradisi yang dikenali sebagai 'berdu' atau tempat memutar objek menggunakan mata pelarik.

Apabila keliling gasing telah licin, dimasukkan pula kepala yang selalunya tukang memilih kayu yang kontras warnanya daripada piring seperti kayu asam jawa, kemuning, ciku atau tanduk kerbau. Bahagian bawahnya diketatkan menggunakan skru serta dipasang paksi halus tetapi tajam dan kukuh daripada besi keluli.

Untuk mencantikkannya dan menyerlahkan penampilan gasing, timah dididihkan dan dimasukkan ke dalam acuan yang di bahagian tengahnya telah diisi dengan piring gasing. Selepas setengah jam dan keras, piring gasing dikeluarkan dan menggunakan peralatan di berdu, bahagian tepinya dilicinkan sehingga berkilat.

Bahagian di atas kepala dihiasi dengan ukiran perak yang dikenali sebagai pemekuk kepala manakala aluminium atau tembaga dibentuk dan diukir untuk dijadikan jambul.

Pemilihan jenis aloi untuk membuat jambul atau batang aluminium yang panjang sejengkal di bahagian tengah pemekuk itu akan mempengaruhi masa memutar gasing.

Tembaga biasa digunakan untuk perhiasan kerana lebih berat dan aluminium sifatnya ringan dan sesuai untuk digunakan dalam pertandingan.

Berat standard gasing uri untuk pertandingan secara puratanya empat kilogram setiap satu.

Sementara itu, tukang congkak pula memerlukan sejenis alat kayu sepanjang sejengkal bagi menyambut gasing yang dilempar, diperbuat daripada kayu asam jawa berkepala tembaga. Manakala besi keluli digunakan untuk menghasilkan bahagian permukaannya yang sedikit lekuk untuk memastikan piring gasing berputar dengan baik.

Tali gasing sepanjang empat meter pula katanya dipilih tali kapal yang dibentuk semula termasuk dimesin agar menjadi leper yang kemudiannya menjalani proses sapuan gam.

Pantang larang bermain gasing, dinasihatkan piring gasing tidak dilangkah kerana kononnya mengikut kepercayaan ia mempunyai semangat di samping kemungkinan mengelak daripada terpijak.

Namun dengan perubahan masa, permainan tradisional ini semakin dipinggirkan, biar pun masih menjadi sebutan dan sesekali dipertontonkan sebagai bahan tarikan pelancong kerana ia turut dimuatkan dalam promosi pelancongan.



 
Chatroom