Home » » Amal cuci wajah sambil berselawat - Petua Kecantikan Ziana Zain

Amal cuci wajah sambil berselawat - Petua Kecantikan Ziana Zain

Petua Kecantikan Ziana Zain


Selain sangat teliti pemakanan yang diambil, penyanyi Ziana Zain turut mengamalkan mencuci wajah sambil berselawat. Katanya, amalan itu sudah diamalkan oleh keluarganya sejak turun temurun. Malah seorang daripada adiknya yang mempunyai lima cahaya mata juga mempunyai wajah awet muda, berkat amalan berkenaan.

Ziana Zain

Ujar penyanyi ini lagi, apa yang penting ialah kesungguhan. Dia sendiri bukan baru sekarang mengamalkan amalan yang diajarkan ibunya, sebaliknya sudah mengamalkannya sejak zaman anak dara lagi.

"Kita kena bersungguh-sungguh, bukan setakat cuci wajah dan selawat begitu saja. Sebaliknya perlulah khusyuk sambil dalam hati kita berdoa apa yang dihajatkan. Ada yang kata mereka tidak percaya dengan apa yang saya lakukan. Terpulanglah mereka ingin percaya atau tidak tetapi memang itulah yang keluarga saya amalkan," katanya.

Kata penyanyi Puncak Kasih dan Madah Berhelah ini, untuk kekal 'bergetah' semua itu memerlukan pengorbanan dan disiplin yang tinggi.

"Saya ini kuat makan orangnya. Kalau ikutkan nafsu semuanya kita hendak jamah. Namun menyedari bahawa status saya sebagai selebriti dan jurucakap produk, seharusnyalah saya kena berdisiplin soal makan dan mengamalkan senaman yang mudah.

"Orang selalu cakap, artis ibaratnya satu produk maka sesuatu produk itu mestilah menarik bungkusannya. Paling utama, bukan cantik di mata masyarakat saja, apabila kita perempuan sudah berkahwin, kenalah cantik di mata suami itu penting. Lebih bererti daripada itu kita perlu menyayangi diri kita sendiri, maka tunjukkan rasa sayang dengan menjaga kesihatan diri.

"Dalam pada semua huraian itu, sangat mustahak untuk kita menjaga hati kita agar selalu tenang dan gembira. Jangan cantik luaran saja tapi di dalamnya 'hancus'! Kecantikan dalaman itulah yang lebih abadi dan membuatkan wajah kita berseri-seri.

"Berbalik kepada topik tadi, di sebalik sifat saya yang suka makan ini saya akan berpuasa atau berpantang nasi serta mengambil makanan seimbang terutamanya banyakkan makan sayur-sayuran untuk memastikan sentiasa memperoleh berat badan yang ideal. Saya juga pastikan kena bersenam," katanya yang banyak mendapat petua daripada ibu dan ayahnya.

Tambah wanita yang sejak dulu mesra disapa Ziana itu, tubuh badan yang cantik haruslah selari dengan penjagaan wajah agar sentiasa kelihatan segar.

Katanya tidak perlu membuat pembedahan wajah atau kosmetik, cukup sekadar mengambil makanan sampingan yang diuji sahih keberkesanannya.

Membongkar lagi rahsianya mengekalkan nama di gelanggang anak seni yang penuh ranjau, Ziana sering berpesan kepada dirinya sendiri untuk melihat rumput di bumi.

"Alhamdulillah saya masih ingat asal-usul saya. Dulu macam mana rupa saya, cara saya berpakaian dan bagaimana saya hendak 'survive' ke hulu dan ke hilir ditemani abah saya, Pak Zain.

"Kesusahan hidup keluarga kami, selalu membuatkan saya sedar dan bersyukur. Saya masih ingat, kata mak dan abah, segala kemasyhuran dan kekayaan yang kita ada hanyalah pinjaman semata-mata. Bila-bila saja Tuhan boleh tarik balik.

"Kalau kita rasa kita bagus, ada orang lebih bagus daripada kita. Buat apa nak sombong. Kan lebih elok kalau kita merendah diri kerana ia akan meninggalkan sejarah yang manis kepada karier kita. Esok lusa anak-anak kita membesar, mereka pula akan membaca kisah hidup kita. Kalau dilabel dengan pelbagai gelaran yang tak baik, bukankah ia memberi kesan kepada anak-anak di masa depan?

"Sekarang saya berada dalam zon yang sangat selesa. Menjadi ibu, isteri, anak dan kakak kepada adik-adik. Dulu saya tidak tahu sangat apa yang saya cari dalam hidup ini tapi sekarang semua bagai sudah lengkap saya bersyukur dengan nikmat Allah SWT," katanya.




 
Chatroom