Home » » Cara-cara mencegah penyakit bawaan makanan

Cara-cara mencegah penyakit bawaan makanan

Cara-cara mencegah penyakit bawaan makanan

Langkah utama untuk menghindari penyakit bawaan makanan dan keracunan makanan adalah dengan melindungi makanan daripada tercemar oleh kuman-kuman patogens yang boleh menyebabkan penyakit. Sebagai panduan asas, beberapa perkara berikut boleh dilakukan untuk mengelakkan makanan dari tercemar.

Pemilihan bahan mentah

Pemilihan bahan mentah berkualiti dan selamat haruslah diutamakan. Bahan-bahan mentah seperti telur, ayam, daging, ikan, sayur-sayuran dan susu amat mudah tercemar oleh kuman. Bahan-bahan mentah ini perlulah dipilih dengan teliti dengan mengelakkan daripada membeli bahan mentah yang disimpan atau dikendalikan dengan cara yang tidak bersih ataupun bercampur dengan bahan-bahan kimia ataupun bahanbahan bukan makanan. Pastikan bahan segar seperti daging, ikan dan ayam berada pada suhu sejuk.

Bagi makanan yang akan dimakan mentah seperti timun, salad serta ulam-ulaman ianya perlulah dibasuh dengan sempurna sebelum dimakan. Elakkan menggunakan air yang sama berulangkali untuk mencuci sayur-sayuran ini walaupun cara tersebut dapat menjimatkan air.

Penyimpanan bahan mentah

Pastikan bahan mentah yang perlu disimpan lama seperti ayam, ikan dan daging disimpan pada suhu sejuk beku. Penyimpanan dalam suhu sejuk beku yang sempurna dapat menahan pertumbuhan bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Memasak makanan

Proses ini amat penting untuk mengelakkan kes keracunan makanan dari berlaku. Proses memasak bukan hanya bertujuan menambahkan kelazatan, lebih mudah dimakan tetapi juga bertujuan membunuh bakteria yang terdapat dalam makanan tersebut. Umumnya, memasak pada suhu didih (100 darjah celsius) pada jangkamasa 5-10 minit adalah cukup untuk membunuh bakteria.

Penggunaan haba basah seperti kukus dan rebus adalah berkesan berbanding dengan haba kering seperti penggunaan oven untuk membunuh bakteria. Walau bagaimanapun, bahan-bahan kimia dan toksin adalah stabil dan tidak musnah melalui proses memasak.

Menyimpan makanan sudah masak

Makanan yang telah dimasak dan disimpan lama pada suhu biasa (suhu bilik) akan memberikan keadaan yang amat sesuai bagi pertumbuhan bakteria. Keadaan ini akan menyebabkan makanan menjadi rosak dan basi.

Bagi mengelakkan keadaan ini, makanan perlu disimpan di tempat yang bersih dan tertutup, serta tidak disimpan bersama dengan bahan mentah yang mengelakkan pencemaran silang dan tidak terdedah kepada agen-agen pembawa bakteria seperti lalat dan lipas.

Memanas kembali makanan

Kaedah ini adalah amat penting kerana ia dapat membunuh bakteria yang mungkin telah mencemari makanan yang disimpan. Bagaimanapun, kaedah ini hanya akan berfaedah jika pemanasan dilakukan hingga kepada suhu yang diperlukan dan rata kepada semua bahagian makanan. Suhu yang disyorkan adalah sekurang-kurangnya 70 darjah celcius selama 5-10 minit. Pemanasan yang berulang-ulang kali adalah tidak digalakkan.

Masak air minuman

Air minuman perlu dimasak terlebih dahulu. Bagi kawasan yang mengalami gangguan air paip, pastikan bekalan air daripada tangki-tangki yang dihantar oleh Pihak Berkuasa Bekalan Air ke rumah-rumah ditadah, dibiarkan seketika sehingga ampaian atau habuk-habuk yang terdapat di dalam air termendap ke bawah sebelum dimasak dan diminum. Pastikan jumlah air yang diminum mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 6-8 gelas sehari bagi mencegah tubuh mengalami dehidrasi. Keadaan dehidrasi boleh mnyebabkan penurunan tahap ketahanan (imuniti) tubuh terhadap sesuatu penyakit. Ibu bapa perlu memberi tumpuan kepada anak-anak kerana mereka adalah golongan yang mudah diserang demam, batuk serta selesema kerana daya tahan tubuh yang rendah.

Selalu cuci tangan

Pastikan tangan bersih setiap kali hendak menyentuh makanan. Sesetengahnya menganggap cara ini sukar dipraktikkan semasa ketiadaan air. Walau bagaimanapun, pengendali makanan seperti surirumah atau peniaga gerai makanan perlu memastikan agar setiap amalan kebersihan dipatuhi. Pastikan bekalan air mencukupi sebelum menyediakan makanan walaupun cara ini memerlukan lebih masa dan tenaga.

Amat penting tidak berkuku panjang dan kotor serta elakkan diri dari mengendali makanan jika terdapat penyakit kulit seperti bisul, kudis dan luka yang bernanah di tangan. Penyakit kulit seperti ini membawa bakteria yang boleh mencemarkan makanan.

Pastikan dapur sentiasa bersih

Pastikan alat-alat memasak dan dapur seperti kain pengelap, papan cincang, pisau dan sebagainya dicuci bersih setiap kali selepas digunakan serta disimpan di tempat yang bersih dan tidak digunakan untuk tujuan lain.

Penyakit bawaan makanan adalah penyakit yang biasa menyerang orang ramai. Walau bagaimanapun, ia dapat dielakkan dan dikawal sekiranya semua pihak memainkan peranan masingmasing untuk melindungi makanan yang dimakan dari tercemar.

Amalan kebersihan perlu dipraktikkan setiap masa. Oleh itu kita perlu peka dan sama-sama memastikan diri dan keluarga selamat dari gejala-gejala penyakit ini. - Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com



 
Chatroom