Home » » » Petua Kekal Kesegaran Sayur

Petua Kekal Kesegaran Sayur

Petua dan Panduan Sayur-sayuran
Sayur yang rangup, sedap, segar serta penuh zat sememangnya penting kerana hidangan lebih enak untuk dinikmati seluruh ahli keluarga termasuk anak kecil.

Selain khasiat yang tinggi, sayur juga sebahagian menu yang penting kerana jika tiada masakan berasaskan sayur di atas meja, ia umpama menghilangkan seri resipi yang lain.

Namun, kadangkala kita berdepan dengan masalah sayur yang layu sebelum dimasak atau terlalu pahit hingga sukar menjamahnya. Oleh itu, berikut panduan untuk menyediakan sayur yang enak dan segar:

Petua Menghilangkan pahit peria
Ambil peria, buang bijinya serta dipotong ikut keinginan sebelum dicuci dengan bersih. Potongan peria itu kemudian direndam dalam larutan yang dicampur dengan satu senduk garam dan dibiarkan antara 15 minit hingga 25 minit bagi mengeluarkan air peria yang pahit.

Selepas itu, cuci peria hingga bersih bagi membuang garam pada sayur itu. Kemudian, rebus peria selama lima minit sebelum ia sedia dimasak mengikut selera masing-masing. Hasilnya peria tidak terlalu pahit dan boleh dimakan semua.

Panduan Kekalkan kesegaran sayur



Ada beberapa cara yang boleh dibuat untuk mengekalkan kesegaran sayur. Antaranya, ambil sayur yang disimpan dalam peti ais dan direndam dalam air bercampur sedikit cuka selama beberapa minit sebelum dimasak. Sayur juga akan lebih rangup menggunakan cara ini jika ia tidak dimasak lama. Kotoran pada sayur juga mudah disingkirkan.

Selain itu, sayur dibasuh terlebih dulu dan kemudian boleh dimasukkan dalam beg plastik, dibungkus dengan surat khabar atau disimpan dalam bekas plastik sebelum dimasukkan dalam peti ais supaya ia kekal segar. Cara lain yang boleh digunakan ialah merendam sayur sepenuhnya dalam air sebelum dimasak.

Petua kekalkan kesegaran taugeh

Sayur taugeh boleh dikekalkan kesegarannya dengan merendamnya dalam air dan lebih baik sekiranya ia dititiskan sedikit dengan perahan limau.

Petua kekalkan kesegaran bendi


Rebus kacang bendi tanpa memotongnya dalam tempoh yang singkat dalam air yang dicampur dengan satu sudu minyak masak. Cara ini bukan saja memastikan bendi tidak berlendir, kesegarannya juga lebih lama.

Mengenal pasti sayur yang segar

Jika ingin membeli sayur, perhatian perlu diberikan kepada beberapa ciri yang ada pada sayur itu. Misalnya jika memilih bendi, pastikan bahagian hujungnya tidak keras dan pilih tomato yang tidak terlalu berwarna oren kerana bagi memastikan jangka hayatnya lebih panjang ketika disimpan di rumah.

Sayur seperti kubis juga perlu dipilih daripada jenis yang berongga besar dan ringan.
 
Tip mencantikkan rupa sayur

Rebus sayur dalam air yang dicampurkan sedikit minyak masak sebelum dihidangkan. Minyak tadi akan menyebabkan sayur nampak cantik, berkilat dan menyelerakan.



 
Chatroom