Home » » Terapi insulin utk kencing manis

Terapi insulin utk kencing manis

Menangani terapi insulin

Kencing manis atau diabetes ialah penyakit sepanjang hayat yang biasa dibaca dalam media dan dengar di kalangan rakan rakan mahupun saudara mara kita.

Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan, Malaysia mempunyai jumlah kes kencing manis tertinggi dengan hampir 2.6 juta pesakit berdaftar pada 2012.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendedahkan peratusan rakyat Malaysia berusia 30 tahun ke atas yang menghidap kencing manis meningkat secara mendadak, iaitu kira-kira enam peratus hingga 20 peratus sepanjang dua setengah dekad yang lalu.

Apa yang lebih membimbangkan ialah penghidap kencing manis ini bukan lagi mereka yang tua atau pertengahan umur. Kanak-kanak seawal usia 10 tahun juga menghidap kencing manis dan ini dikaitkan dengan warisan daripada ibu, bapa atau kadar kegemukan (obesiti) yang tinggi di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Menukar rawatan

Topik yang sering diperkatakan mengenai kencing manis ialah penghindaran dan komplikasi kencing manis. Untuk lebih memahami aspek rawatan dan ubat-ubatan kencing manis, kami meminta nasihat Pakar Endokrinologi, Jururawat Pakar Diabetes dan pesakit kencing manis.

Bagi kencing manis Jenis 1, 1 iaitu penyakit auto-imun, rawatan dengan insulin mesti diberikan. Namun begitu, kebanyakan pesakit yang mengalami kencing manis Jenis 2 akan lama-kelamaan terpaksa menukar rawatan kepada suntikan insulin atau menggabungkannya dengan ubat yang dimakan.

Pankreas, organ utama yang berada dalam tubuh, berperanan penting dalam menu ka rka n ma ka na n kepada tenaga. Organ ini merembeskan hormon yang dinamakan insulin, yang bertindak menurunkan kadar gula dalam darah. Insulin diperlukan untuk membantu mengekalkan paras gula dalam darah yang normal. Ini penting untuk fungsi organ utama seperti otak, hati dan buah pinggang.

Tanggapan negatif

Pakar Endrokrinologi, Dr Wong Ming, berkata bagi pesakit pra-kencing manis, fungsi beta sel pankreas akan terjejas secara perlahan-lahan dan proses perembesan insulin beransur-ansur menurun.

"Pesakit ini harus menangani penyakitnya itu sebelum menjadi kencing manis," katanya.

Terdapat banyak tanggapan negatif terhadap insulin. Setengah pesakit perlu menyuntik insulin empat atau lima kali sehari, bermakna mereka mungkin tidak sempat melakukannya ketika di rumah.

Wujud pendapat serong berkaitan jarum suntikan terutama jika membabitkan suntikan sendiri. Kekurangan pendidikan dan kesedaran mengenai jarum suntik insulin membuatkan pesakit kencing manis berasa malu dan bimbang jika dikaitkan dengan penagih dadah jika mereka perlu menyuntik insulin di tempat awam.

Adakah insulin pilihan terakhir?

Ramai pesakit menghadapi kesukaran menerima hakikat apabila diberitahu bahawa mereka terpaksa menjalani rawatan insulin seumur hidup. Setengah pesakit beranggapan kehidupan sudah berakhir apabila memulakan rawatan insulin kerana sukar menghadapi kenyataan bahawa mereka terpaksa menyuntik diri setiap hari sepanjang hayat.

Perubatan sepanjang hayat sememangnya mendatangkan pelbagai kebimbangan kepada pesakit, terutama membabitkan kos rawatan. Bergantung kepada jenis dan kekerapan insulin yang diperlukan, kosnya mungkin bermula dari RM30 hingga ke RM200 sebulan dan ia tidak termasuk peralatan lain yang juga diperlukan untuk memantau kandungan gula dalam darah secara berterusan.

Satu lagi kebimbangan yang biasa dialami ialah takut kepada jarum. Sebenarnya jarum untuk suntikan insulin amat halus dan pendek. Jururawat terlatih di Pusat Penjagaan Diabetes, Pusat Perubatan Sunway, Wong Su Fei berkata, sesetengah pesakit memang tidak dapat menyuntik diri sendiri tetapi tidak menghadapi masalah jika orang lain yang menyuntik mereka.

"Kita perlu mengambil masa untuk mendidik penjaga mereka cara pemberian insulin yang betul," katanya.

Masa depan insulin

Penggunaan terapi insulin melalui proses perkembangan secara besar- besaran pada zaman 1920-an. Antara kemajuan yang dicapai ialah penukaran dari jarum suntikan kepada suntikan pen dan kekerapan pengurangan suntikan insulin disebabkan terapi gabungan.

Sebelum ini, pesakit terpaksa menunggu 30 minit sebelum dapat mengambil makanan selepas suntikan insulin, tapi kini tidak perlu lagi.

Dr Wong Ming berkata, kajian klinikal sedang dijalankan untuk memudahkan pesakit membuat rawatan sendiri.

"Satu hari nanti pesakit kencing manis hanya perlu menyuntik setiap dua hari. Rawatan diabetes bukan program yang sesuai untuk semua orang. Terdapat rawatan dan aturan yang disesuaikan mengikut gaya hidup yang berlainan.

"Kami sentiasa menasihati pesakit untuk mengambil langkah demi langkah. Perubahan gaya hidup seperti diet dan senaman adalah asas kepada kawalan pesakit diabetes," tambah Dr Wong.

Untuk maklumat lanjut tentang kawalan diabetes dan berhubung dengan pakar perubatan yang dapat memberikan sokongan, kaunseling dan perkhidmatan pendidikan, sila kunjungi Pusat Penjagaan Diabetes Pusat Perubatan Sunway yang terletak di Tingkat 1, East Wing atau hubungi Jururawat Pakar Diabetes di 03 7491 9191 (sambungan 11139/11149)

Mengubah gaya hidup

Kebanyakan pesakit melalui pengalaman lebih mudah selepas memahami dan menerima hakikat bahawa pankreas mereka akan rosak lebih awal berbanding organ lain. Oleh itu mereka terpaksa menjalani rawatan insulin.

"Setelah mendapati saya perlu menjalani rawatan insulin, saya merasa sungguh takut kerana terpaksa menyuntik sendiri setiap hari. Tapi dengan sokongan dan bantuan dari jururawat yang berterusan, ia tidaklah sukar. Ia juga tidak terlalu sakit," kata Mary Louise, 63 tahun.

Mary menghidap kencing manis sejak berusia 28 tahun. Beliau mendapat tahu mengenai penyakitnya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan kerana sering merasa letih, haus dan kerap membuang air kecil.

Bagi pesakit kencing manis Jenis 2, yang baru didiagnosis, rawatan yang biasa diberikan ialah ubat makan. Ia berterusan hingga pesakit mengalami keadaan kekurangan insulin.

Kebanyakan pesakit memerlukan rawatan insulin selepas menghidap kencing manis selama enam hingga 10 tahun kerana sel beta pankreas gagal untuk merembes insulin secukupnya bagi mengawal paras gula dalam darah. Ini perkembangan biasa dalam diabetes Jenis 2.

Kebanyakan pesakit kencing manis tahap ini terpaksa bertukar daripada ubat makan kepada suntikan insulin atau gabungan keduaduanya untuk mengekalkan paras gula dalam darah yang sihat. Sesetengah pesakit mampu melambatkan terapi insulin lebih dari 10 tahun.

Oleh Suzan Ahmad



 
Chatroom