Home » » Hidung bengkok boleh sebabkan resdung

Hidung bengkok boleh sebabkan resdung

Septum hidung bengkok

Bentuk rongga hidung seseorang boleh menjadi punca resdung atau sinusitis kronik. Septum hidung adalah dinding yang membahagikan rongga hidung kepada dua bahagian. Ia terdiri daripada rangka sokongan pusat yang dilindungi pada setiap sisi oleh membran mukus.

Bahagian hadapan septum adalah struktur yang agak keras tetapi boleh membengkok terdiri daripada tulang rawan dan dilindungi kulit yang kaya dengan saluran darah.

Septum hidung yang benar-benar ideal berada di tengah-tengah, memisahkan sisi kiri dan kanan hidung membentuk laluan yang sama saiz.

Kajian menunjukkan bahawa 80 peratus daripada semua septum hidung adalah tidak berada benar-benar di tengah dan biasanya tidak disedari.

Septum hidung membengkok (deviated nasal septum) ditakrifkan berlaku apabila septum teralih daripada garis tengah yang ketara. Gejala paling biasa daripada septum membengkok ialah kesukaran bernafas melalui hidung. Kebiasaannya ia berlaku lebih teruk di sebelah bahagian hidung dan kadang kala berlaku pada bahagian sebelah bertentangan dengan bahagian hidung yang membengkok.

Dalam kebanyakan kes, septum membengkok boleh mengganggu saliran sinus, menyebabkan jangkitan resdung berulang.

Septum membengkok biasanya berlaku disebabkan trauma ke bahagian hidung. Septum hidung membengkok (deviated nasal septum) boleh menyebabkan satu atau lebih daripada yang berikut:

* Satu atau kedua-dua lubang hidung tersumbat

* Sesak dalam hidung membabitkan sebelah bahagian hidung saja

* Hidung kerap kali berdarah

* Mengalami jangkitan di bahagian sinus yang kerap

* Sakit pada muka, kepala atau rasa titisan hingus mengalir di belakang tekak pada masa tertentu

* Pernafasan berbunyi ketika tidur (terutama bayi dan kanak-kanak kecil)

Dalam beberapa kes, seseorang dengan septum membengkok yang tidak ketara mempunyai gejala hanya apabila dia juga mempunyai jangkitan saluran pernafasan atas. Pada individu ini, jangkitan pernafasan mencetuskan radang hidung sambil memburukkan lagi sebarang masalah aliran udara di bahagian dalam hidung.

Selepas jangkitan reda, keradangan hidung akan berkurangan, gejala septum sekali gus mengurangkan berlakunya hidung tersumbat.



Diagnosis septum membengkok

Pesakit dengan sinusitis kronik sering mempunyai kesesakan hidung, dan mempunyai banyak septum hidung membengkok.

Bagaimanapun, bagi mereka yang mengalami keadaan ini, ada punca tambahan yang menghalang saluran udara hidung misalannya saluran mukosa pernafasan yang membengkak, masalah alahan hidung, hipertropi mukosa (peningkatan dalam saiz struktur dalam hidung), lain-lain keabnormalan anatomi, atau kombinasi daripadanya.

Pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) boleh mendiagnosis setelah mengambil kira sejarah penyakit terutama membabitkan gejala yang disebutkan lebih awal.

Sejarah trauma ke bahagian hidung dan pembedahan di bahagian hidung sebelumnya akan dititikberatkan daripada individu terbabit. Seterusnya doktor akan melakukan pemeriksaan secara endoskopi untuk melihat dengan lebih jelas struktur anatomi dalam hidung.

Pembedahan mungkin rawatan yang disyorkan jika septum membengkok menyebabkan hidung tersumbat di satu bahagian yang sangat teruk, sakit kepala yang teruk di sebelah kepala akibat tekanan bahagian septum ke bahagian turbinate hidung( Sluders Neuralgia) atau jangkitan sinus berulang.

Ujian tomografi berkomputer (CT scan) bahagian hidung dan sinus perlu dilakukan untuk kajian selanjutnya.

Pembedahan septoplasty

Septoplasty adalah prosedur pembedahan yang dijalankan sepenuhnya oleh doktor melalui dalam hidung, kebiasaannya secara endoskopi dan tiada parut atau lebam di bahagian luar muka. Septoplasty juga boleh digabungkan dengan pembedahan resdung (pembedahan sinus secara endoskopik-FESS).

Septoplasty adalah rawatan pilihan pembedahan membetulkan septum membengkok. Umumnya ia tidak dilakukan di bawah umur, kerana septum terdiri daripada tulang rawan tumbuh sekitar umur 18 tahun.

Masa yang diperlukan untuk menjalani pembedahan septoplasty adalah kira-kira satu jam, bergantung kepada tahap bengkok yang berlaku. Ia boleh dilakukan dengan bantuan anaestetik. Selepas pembedahan, hidung akan dimasukkan ubat tertentu untuk mencegah pendarahan berlebihan .

Sewaktu pembedahan, bahagian septum yang teruk membengkok boleh dikeluarkan sepenuhnya, atau mungkin diatur semula dan dimasukkan dalam hidung.

Jika septum hidung membengkok adalah satu-satu punca untuk resdung kronik anda, kelegaan daripada masalah ini tercapai selepas pembedahan.

 Oleh Dr Samril Bokari



 
Chatroom