Home » » Faedah/kebaikan berbekam dari segi kesihatan

Faedah/kebaikan berbekam dari segi kesihatan

Faedah berbekam dari segi kesihatan

Berbekam adalah amalan kesihatan berkaitan darah yang semakin ditinggalkan oleh umat Islam pada zaman moden ini. Faktor takut kepada torehan pisau tanpa ubat bius dan jangkitan HIV menjadi penghalang utama kepada amalan ini daripada diteruskan.

Amalan berbekam telah diamalkan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa Isra' Mikraj. Justeru, ia adalah satu amalan sunnah yang sepatutnya menjadi ikutan umat Islam sepanjang zaman.

Berbekam ialah mengeluarkan darah daripada kepala, antara dua bahu, kaki atau di bahagian tertentu pada badan.

Rasulullah SAW menggalakkan berbekam bertujuan merawat dan mencegah penyakit dengan mengeluarkan darah kotor yang mengandungi karbon dioksida serta bahan kumuh lain dan menjadi punca penyakit kepada badan manusia.

Jika bahan-bahan ini dikeluarkan bersama darah ketika berbekam maka sudah tentu penyakit tidak akan merebak di badan orang yang berbekam dan menjadikannya sihat serta segar untuk melakukan ibadat serta aktiviti harian.

Darah merah kehitaman

Darah yang keluar hasil daripada proses berbekam ini berwarna merah hampir kehitaman dan berbeza dengan darah luka yang berwarna merah. Ini menunjukkan darah ini bukan darah yang baik untuk disimpan dalam badan kita.

Dalil yang menggalakkan umat Islam supaya berbekam ialah sabda Nabi SAW: "Aku tidak berjalan di hadapan sekumpulan malaikat pada malam ketika aku diisra'kan, kecuali mereka berkata, `Wahai Muhammad, perintahlah umat kamu agar berbekam'." (Riwayat at-Tirmizi).

Amalan berbekam juga mempunyai waktu tertentu untuk dilakukan, ia tidak boleh dilakukan terlalu kerap dan Rasulullah SAW telah menggariskan batas waktu sebagai panduan kepada kita untuk melakukan proses berbekam.

Pantang larang berbekam

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya supaya berbekam secara sedikit-sedikit dari masa ke semasa. Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa berbekam pada 17, 19, dan 21 hari bulan pada setiap bulan, itu adalah penawar baginya daripada penyakit." (Riwayat Abu Daud).

Amalan berbekam juga ada pantang larangnya supaya tidak memudaratkan pengamal kerana membabitkan proses pengeluaran darah. Rasulullah SAW mengingatkan supaya menjauhi perkara yang boleh membawa bahaya.

Antara contoh perkara membahayakan ialah mengeluarkan darah dengan banyak atau semasa mengeluarkannya menggunakan peralatan tidak bersih. Ini bagi mengelak berlaku jangkitan melalui luka.

Rasulullah SAW juga melarang daripada melakukan berbekam kepada orang yang darahnya mempunyai masalah untuk membeku kerana ini akan membahayakan orang itu.

Berbekam seperti yang dianjurkan Rasulullah SAW sangat banyak faedah dari segi kesihatan. Antara manfaat nya, dapat membersihkan darah dan meningkatkan aktiviti saraf tulang belakang, membaiki aliran pembuluh darah, menghilangkan kekejangan dan luka dalaman pada otot.

Berbekam juga baik bagi mereka yang menghidap asma, pening kepala, migrain, sakit gigi, mengalami pelbagai penyakit mata dan rabun, gangguan rahim, berasa sengal pinggang dan tulang serta untuk mengatasi gangguan tekanan darah, sakit bahu, dada dan punggung.

Atasi pelbagai gejala penyakit

Ia juga dapat membantu mengatasi kemalasan, kelesuan, banyak tidur, luka, jerawat, gatal kulit, radang selaput jantung, radang ginjal, keracunan dan luka bernanah.

Berbekam sebenarnya adalah perubatan Islam yang sangat relevan pada hari ini. Di Amerika, setiap seorang daripada 300 orang menghadapi penyakit hati, iaitu sejenis penyakit keturunan yang menyebabkan zat besi dilonggokkan dalam hati sehingga akhirnya merosakkan organ itu.

Penyakit ini adalah penyakit keturunan nombor satu di Amerika dan berbekam amat berkesan untuk mengubatinya. Berbekam juga boleh merawat penyakit hepatitis C yang kronik. Antara komplikasi penyakit ini, ia boleh menyebabkan penghidapnya terkena kanser dan kerosakan hati.

Berbekam didapati boleh mendatangkan kesan positif kepada pesakit kerana ia melambatkan proses kerosakan hati. Jelas sekali bahawa sunnah berbekam ini memang relevan sepanjang zaman.

Oleh Mohd Suyuty Ismail



 
Chatroom