Home » » Makanan membina kesihatan

Makanan membina kesihatan

Makanan membina kesihatan
Makanan dan pemakanan adalah dua perkara berbeza, namun kedua-duanya ada kaitan kerana ia membabitkan makanan yang diambil setiap hari.

Makan boleh jadi merujuk kepada apa saja makanan tetapi pemakanan secara tidak langsung, mengingatkan kita kepada jenis atau kekerapan mengambil sesuatu makanan.

Justeru, makanan mahupun pemakanan tidak boleh dipandang remeh kerana ia menyumbang kepada kesihatan diri dan sahsiah keterampilan individu.

Oleh sebab itulah kita perlu berhati-hati memilih yang terbaik demi menjamin kesihatan.

Membesar sihat

Tidak kira sama ada bayi, kanak-kanak, remaja atau dewasa, makan perlu untuk hidup dan kekal sihat. Pelbagai inovasi dilakukan sebagai usaha memenuhi selera makan tetapi jika tidak berhati- hati ada makanan membawa kemudaratan kepada tubuh badan.

Untuk bayi, ibu bapa disarankan perlu lebih fokus kepada pemakanan yang membina kekuatan organ asas seperti tulang, rambut, gigi dan perkembangan otak.

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong, dalam kata pengantar naskhah Buku Masakan Pilihan Pakar Pemakanan: Resipi Sihat untuk Si Kecil Anda berkata, bayi, anak kecil dan kanak-kanak yang bakal memasuki alam persekolahan, memerlukan makanan berkhasiat untuk memastikan mereka dapat membesar dengan sihat.

Memenuhi keperluan itu, ibu bapa perlu menyediakan sajian atau makanan yang berupaya meningkatkan tahap kesihatan bagi menjamin mutu tumbesaran cemerlang.

Pelbagaikan menu

Dalam buku panduan untuk menu si kecil itu, banyak fakta penting mengenai pemakanan bagi peningkatan dan perkembangan minda si manja dinyatakan.

Antaranya, untuk sumber tenaga ibu bapa perlu memberikan anak mereka makanan berserat, vitamin dan zat galian.

Empat makanan asas yang digalakkan ialah pengambilan sayur, bijirin, sumber protein dan zat galian serta sumber mineral yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dalam melengkapkan rantaian makanan manusia.

Bagi si manja yang mungkin bersifat memilih ketika waktu makan, ibu bapa perlu tahu bagaimana mahu memenuhi selera dan keperluan anak.

Cara yang boleh dilakukan, termasuklah menyediakan hidangan penuh khasiat dan berwarna-warni.

Ibu bapa perlu menyediakan makanan yang berupaya memenuhi selera dan menarik minat si kecil untuk menghabiskan menu disediakan.

Kaedah lain yang boleh dilakukan ialah pelbagaikan teknik memasak supaya si kecil tidak jemu dengan menu dihidangkan.

Makanan disarankan untuk anak

* Betik, jambu batu, pisang, tembikai, epal, oren dan pir. Buah-buahan yang berlainan warna mengandungi nutrien berbeza. Galakkan si manja makan buah-buahan beraneka warna setiap hari.

* Beras, gandum, oat, barli dan produk yang dihasilkan daripada serat seperti mi, roti, bijirin sarapan dan biskut. Semua makanan ini kaya dengan serat. Ia penting bagai membantu melawaskan perut dan menjamin kesihatan sistem penghadaman.

* Ikan, daging, ayam, telur dan kekacang. Kaya dengan protein yang membantu membina dan membaiki otot dan tisu.

* Susu dan produk tenusu seperti keju dan yogurt. Mengandungi protein dan kalsium. Kalsium membantu membina tulang dan gigi yang kuat.

* Sayur-sayuran seperti bayam, lobak merah, tomato Makanan ini kaya dengan serat, fitokimia, vitamin dan zat galian.

Oleh Shaidah Shafie



 
Chatroom