Home » » Khasiat dan fakta Aloe Vera

Khasiat dan fakta Aloe Vera

Aloe vera segarkan kulit

Aloe vera sejenis tumbuhan berair yang mengagumkan yang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Liliaceae. Bawang putih dan merah juga tergolong dalam keluarga serupa.

Hampir 100 peratus tumbuhan itu berasaskan air dan bahagian dalamnya dipenuhi isi berbentuk gel yang mempunyai banyak kegunaan dan khasiat untuk kesihatan luaran dan dalaman.

Ia mengandungi lebih 200 komponen aktif antaranya vitamin, mineral, asid amino, enzim serta lemak asid malah sudah digunakan masyarakat dunia sebagai terapi untuk kesihatan sejak lebih 5,000 tahun lalu.

Aloe vera kaya dengan vitamin A, C dan E serta asid folik, choline, B1, B2, B3, B6 dan B12 di samping mineral seperti kalsium, magnesium, zink, kromium, selenium, sodium dan zat besi.

Tumbuhan berkenaan juga dipenuhi khasiat asid amino dan asid lemak yang penting untuk pertumbuhan tubuh yang sihat di samping mempunyai kemampuan mengurangkan jumlah lemak dalam darah.

Semua bahan yang terkandung dalamnya bertindak membantu mengurangkan simptom alahan dan masalah penghadaman tidak lancar. Malah aloe vera dikatakan mempunyai khasiat yang mampu meningkatkan ketahanan badan bagi melawan penyakit.

Sifatnya yang berair dikatakan mampu menyegar dan membersihkan saluran penghadaman seterusnya memperbaiki masalah penyingkiran toksin dari badan, yang sememangnya boleh menyebabkan seseorang tertekan.

Ia turut membantu masalah ciritbirit dan merawat masalah pencernaan dan pedih ulu hati, selain mengurangkan bakteria dan menyeimbangkan flora dalam perut. Malah ia juga membantu menurunkan berat badan secara tidak langsung apabila sistem penghadaman menjadi lebih sihat.

Selain itu, aloe vera mampu mencantikkan dan menyihatkan kulit serta merawat masalah seperti jerawat, luka kecil, psoria sis, gigitan serangga, melecur dan memudarkan parut yang masih baru.

Ini kerana ia bertindak seperti penawar yang bukan saja dapat melegakan rasa sakit, gatal dan mengurangkan pendarahan, malah mempercepatkan proses penyembuhan.

Oleh kerana sifatnya yang berair, aloe vera yang juga dikenali sebagai lidah buaya boleh digunakan sebagai pelembap untuk menyegarkan kulit, juga membantu keadaan kulit yang kering dan rosak.

Kandungan aloe vera yang popular dalam dunia kecantikan ialah asid salisilik dan sulfur. Mereka yang kerap terdedah pada sinaran matahari boleh menggu nakan aloe vera untuk melegakan keadaan kulit yang terbakar akibat panahan matahari.

Pada masa sama, kandungan zatnya yang mencukupi juga mampu melembutkan dan mencantikkan rambut apabila disapu.

Bagi mendapat kesan terbaik daripada aloe vera, sesetengah pakar menyarankan penggunaannya antara dua hingga tiga kali dalam seminggu, dengan menyapu gel aloe vera sambil mengurut tempat yang ingin dirawat atau diberi kelembapan.

Sapuan aloe vera ke kulit sebelum mengenakan mekap juga boleh membuatkan kulit lembut dan segar, terutama kepada mereka yang mementingkan bahan semula jadi dan tidak menggunakan pelembap di pasaran.

Lelaki juga boleh mendapat manfaat aloe vera dengan menyapu pada kulit untuk menyegarkan dan memperbaiki bahagian kulit yang terluka selepas bercukur.

Daun aloe vera mudah ditanam sama ada menggunakan biji benih atau memotong aloe vera sedia ada.

Biji boleh ditanam di dalam tanah yang diletakkan dalam pasu atau tanamkan separuh daripada bahagian daun aloe vera yang dipotong daripada pokok aloe vera lain.




Potongan daun aloe vera akan mengambil masa agak lama untuk tumbuh, kadangkala hingga berbulan lamanya namun biji benih pula mengambil masa agak pantas iaitu kirakira dua minggu.

Ia perlu disiram air setiap hari namun tidak boleh terlalu banyak air, dan gunakan baja jika perlu. Apabila daun aloe vera kelihatan kekuningan, ia perlu dipindahkan ke tempat yang lebih teduh.

Ketika mula ditanam, aloe vera perlu berada di tempat yang teduh tetapi selepas tiga minggu ia perlu didedahkan kepada cahaya matahari. Siram setiap empat hari kerana jika disiram terlalu kerap, daunnya menjadi lembik dan akarnya mudah rosak.

Apabila aloe vera sudah membesar, daunnya boleh dipotong untuk mengambil lendir bagi pelbagai kegunaan dan ia akan tumbuh semula selepas beberapa minggu.

Bagi mengeluarkan gel aloe vera, daunnya perlu dipotong dan dibersihkan terlebih dulu sebelum dibelah dua secara memanjang. Gunakan sudu untuk mencungkil gel yang ada dan masukkan dalam bekas lain supaya mudah digunakan.

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan



 
Chatroom