Home » » Kesilapan penjagaan punca gingivitis

Kesilapan penjagaan punca gingivitis

Kesilapan penjagaan punca gingivitis
Sedang  memberus gigi, berkumur dan berludah, tidak semena-mena sedikit darah terkeluar. Bagaimanapun, sudah tentu keadaan ini tidak menimbulkan masalah kepada anda.

  Ia berlaku beberapa kali tetapi tidak mendapat perhatian anda. Fikirkan semula masalah dihadapi dan sebaik-baiknya jumpalah doktor gigi untuk mendapat penjelasan lanjut.

  Masalah itu berkemungkinan disebabkan oleh gingivitis iaitu inflamasi gusi, yang membengkak dan berdarah dengan mudah dan berpunca daripada plak pada leher gigi.

  Gingivitis juga disifatkan sebagai penyakit gusi peringkat awal dan mengikut Pertubuhan Pergigian Amerika (ADA) gingivitis adalah faktor utama menyebabkan kehilangan gigi di kalangan dewasa.

  Berdasarkan kajian ADA, tiga daripada empat orang dewasa akan mengalami gingivitis yang berpunca daripada kesilapan penjagaan gigi.

  Sebahagian besar masalah gingivitis ialah kesilapan memberus gigi dan tidak mendapatkan rawatan pergigian sebagaimana disarankan.

  Selain itu, tekanan perasaan, ketidakseimbangan hormon ketika hamil, kedatangan haid, perubahan hormon di kalangan remaja juga dikatakan menjadi punca gingivitis.

  Pesakit diabetes dan pengambilan sesetengah jenis ubat juga dipercayai boleh menggalakkan gingivitis.

  Sekiranya anda mengesyaki mengalami gingivitis, segera berjumpa doktor gigi untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana mereka mampu mengatasi masalah dihadapi.

  Apabila doktor gigi mengesahkan anda menghidap gingivitis, panduan berikut boleh diamalkan selain nasihat dan rawatan daripada doktor gigi anda.

  * Berus gigi tiga kali sehari.
  Sebaik-baiknya berus gigi tiga kali sehari, sekurang-kurangnya tiga
minit setiap kali anda memberusnya. Hasil kajian ADA mendapati, setiap
individu hanya mengambil masa kurang daripada satu minit sehari ketika
memberus gigi. Kajian juga menunjukkan sebahagian besar individu malas
memberus gigi kerana aktiviti itu paling membosankan.

  * Memberus gigi tanpa ubat gigi.
  Jika malas ke bilik air untuk memberus gigi, cuba berus gigi tanpa
menggunakan ubat gigi dan ini boleh dilakukan ketika anda sedang menonton
televisyen.

  * Tetapkan cara memberus gigi.
  Pastikan anda mengamalkan cara betul memberus gigi dan setiap kali
hendak memberusnya, gunakan cara yang sama.

  * Berlembut.
  Sebahagian besar daripada individu gemar menggosok gigi mereka dengan
cara yang kasar dan ini sebenarnya tidak elok untuk kesihatan gigi.
Sebaik-baiknya anda berlembut ketika memberus gigi.

  * Pilih berus gigi lembut.
  Elakkan memilih berus gigi kasar dan keras kerana ia boleh merosakkan
gigi. Pilih berus gigi yang lembut untuk memudahkan lagi anda memberus
gigi.

  * Berus lidah dan lelangit.
  Selain memberus gigi, anda digalakkan supaya memberus lidah dan lelangit
sebagai satu daripada cara menghindarkan bakteria dan meningkatkan
pengedaran tisu di dalam mulut.

  * Mengamalkan flos setiap hari.
  Biarpun anda rajin memberus gigi, flos juga amat penting untuk
mengekalkan kesihatan gigi. Justeru, amalkan flos saban hari kerana ia
mampu membersihkan gigi anda.

  * Memberus gigi dengan soda penaik.
  Sekali atau dua kali seminggu, berus gigi anda dengan soda penaik.
Bagaimanpun, apabila menggunakan soda penaik, jangan menggosoknya pada
gigi terlalu kuat kerana ia merosakkan enamel. Soda penaik boleh
membersihkan gigi dengan sempurna dan menjadikan gusi anda sihat.

  * Berkumur dengan air garam.
  Sesekali berkumur dengan garam yang dicampur dengan air suam. Biarkan
kira-kira 30 saat di dalam mulut anda, jangan telan. Air garam dapat
melegakan radang tisu dan membunuh bakteria.

  * Berkumur dengan air.
  Jika anda tidak sempat memberus gigi selepas makan, pastikan anda
berkumur-kumur dengan air kerana ini dapat mengurangkan risiko menghadapi
masalah gingivitis.

  * Amalkan diet seimbang.
  Berdasarkan kajian, diet yang tidak seimbang boleh menyebabkan gusi
tidak sihat. Justeru, pastikan anda mengamalkan diet seimbang setiap hari
dan lebihkan mengambil sayur-sayuran, buah-buahan, roti dan bijirin.

  * Jadual rawatan pergigian.
  Rajinlah berjumpa doktor gigi untuk menjamin gigi anda sentiasa sihat.
Pastikan anda tidak lupa temu janji dengan pakar gigi.



 
Chatroom