Home » » Masalah Berdengkur : Berdengkur tanda awal penyakit

Masalah Berdengkur : Berdengkur tanda awal penyakit

Berdengkur tanda awal penyakit

Pelik mendengar bayi berusia setahun yang tidur nyenyak berdengkur seperti orang dewasa. Jika kecil lagi sudah berdengkur, bagaimana keadaan jika dia dewasa? Adakah tabiat itu akan berlarutan?

Berdengkur ialah gejala Obstructive Sleep Apnea (OSA) iaitu laluan udara dari hidung dan mulut tersekat ketika tidur. Kita bernafas menerusi hidung dan mulut dan halangan pada saluran pernafasan itu akan menyebabkan seseorang berdengkur.

Tisu yang membengkak di dalam hidung juga boleh menyebabkan halangan saluran pernafasan, seterusnya menyebabkan seseorang berdengkur. Selain itu, tulang rawan hidung yang bengkok turut menjadi punca masalah ini.

Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dan Pembedahan Leher dan Kepala Pusat Perubatan Tropicana, Dr Mallina Sivarajasingam berkata, jika sebelah hidung sempit dan sukar bernafas, lazimnya kita akan bernafas menggunakan sebelah lagi hidung.

Penggunaan berlebihan pada bahagian hidung terbabit boleh menyebabkan ruang dalam hidung membengkak, seterusnya menjadikan dengkuran bertambah kuat.

Ini disebabkan udara yang memasuki saluran hidung dengan aliran laju boleh menyebabkan ia membengkak. Kerap bersin berpunca daripada resdung atau alahan juga boleh menyebabkan individu itu mudah berdengkur.

Adenoid iaitu tisu limfa di pangkal atau belakang hidung kanak-kanak mudah bengkak dan apabila bernafas, mudah menyebabkan halangan pernafasan. Kita boleh mendengar bunyi kanak-kanak ini bernafas dengan kuat ketika dia berjaga.

Kanak-kanak yang mempunyai tisu adenoid tebal biasanya tidur dengan mulut ternganga kerana halangan pernafasan. Apabila bangun tidur, mereka mengalami kering tekak, berasa haus dan tidak selesa, katanya.

Gejala OSA dalam kalangan kanak-kanak:

1. Masih mengantuk ketika bangun pagi walaupun tidur lapan jam

2. Mengadu pening

3. Tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas

4. Prestasi pelajaran kurang memuaskan

Dr Mallina berkata, kanak-kanak yang mengalami OSA tidak mendapat tidur yang cukup dan berkualiti. Halangan pada saluran pernafasan menyebabkan mereka mengalami kekurangan oksigen.

Paru-paru tidak dapat serap oksigen dalam sistem darah, seterusnya gagal mengalir ke otak. Tonsil yang besar di lelangit juga boleh menyebabkan ruang dalam mulut sempit sekali gus menghalang pernafasan.

Menurutnya, halangan pada saluran pernafasan yang dialami golongan dewasa juga sama seperti kanak-kanak. Bagaimanapun, masalah adenoid kurang dialami golongan dewasa.

Lelangit yang melendut dan anak tekak yang panjang menyebabkan ruang pernafasan sempit. Masalah ini biasanya berlaku dalam kalangan mereka yang obes, terutama dengan leher yang tebal.

Pangkal lidah yang panjang atau tulang rahang yang kecil dan pendek menyebabkan lidah tidak cukup ruang dalam mulut sehingga menutup ruang pernafasan.

Kesukaran bernafas kurang dirasai ketika mereka tidak tidur kerana ketika berdiri, semua bahagian dalam mulut dalam posisi yang baik.

Ketika tidur, semua otot dalam mulut (lidah, tonsil dan lelangit) kendur hingga menyebabkan ruang itu sempit dan menghalang pernafasan, kata Mallina.

Faktor lain OSA dalam kalangan dewasa:
1. Pengambilan ubatan tertentu

2. Ubat anti depresi

3. Ubat tidur

4. Alkohol

5. Merokok

Antara gejala OSA dalam kalangan dewasa ialah kurang fokus, sentiasa mengantuk, terutama ketika menghadiri mesyuarat atau memandu, malah OSA boleh menyebabkan individu terbabit terlelap ketika berhenti di lampu isyarat. Penderita OSA mudah pening di waktu pagi dan rasa tidak puas tidur dan sentiasa rasa ingin tidur.

Risiko OSA:

1. Lemah jantung

Ini berlaku apabila otak menyampaikan mesej tidak cukup oksigen, menyebabkan jantung mengepam lebih kuat. Kuantiti oksigen yang diperlukan tidak mencukupi disebabkan wujud halangan pada saluran pernafasan.

2. Darah tinggi

3. Angin ahmar

4. Emosi tidak stabil dan cepat marah

5. Lesu dan tidak fokus

Rawatan

1. Kaedah perubatan

2. Pembedahan

Alahan hidung akan dirawat dengan ubat semburan bagi mengurangkan bengkak hidung. Pesakit juga mungkin diberikan pil untuk mengatasi alahan atau resdung.

Mesin terapi tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP) digunakan untuk membuka saluran pernafasan. Mesin ini memasukkan udara dengan tekanan positif bagi mengatasi masalah berdengkur.

Mereka yang mengalami masalah OSA perlu berusaha mengurangkan berat badan berlebihan. Pembedahan bagi mengatasi masalah OSA disasarkan pada bahagian yang bermasalah, misalnya jika tulang rawan hidung bengkok, pembedahan membetulkannya akan dilakukan, katanya.

Bengkak pada tonsil dan adenoid diatasi dengan pembedahan, manakala tekak dan lelangit yang melendut juga diatasi dengan pembedahan memperbaiki strukturnya.

Rahang yang pendek akan dibetulkan dengan pembedahan, manakala lidah yang panjang dan lebar dirawat dengan pembedahan mengecilkan saiznya. Teknik laser juga digunakan untuk mematikan tisu di belakang lidah bagi mengecilkan saiznya, katanya.

Oleh Norainon Othman



 
Chatroom