Home » » » Kurangkan kalori, lakukan senaman

Kurangkan kalori, lakukan senaman

Kurangkan kalori, lakukan senaman

Kepelbagaian budaya dan kecintaan terhadap makanan antara faktor membuatkan rakyat Malaysia berada dalam kelompoknya yang tersendiri.

Namun, daripada pemerhatian terkini menunjukkan obesiti antara isu membimbangkan mengatasi identiti budaya ditonjolkan itu dan menempatkan negara kita di tangga keenam di Asia yang mempunyai rakyat paling gemuk.

Pilihan gaya hidup, faktor genetik, tingkah laku dan kurang kesedaran terhadap kesihatan diri antara penyebab meningkatkan kadar masalah obesiti dalam kalangan masyarakat kita.

Terpanggil untuk mengurangkan masalah kesihatan umum ini daripada terus berleluasa, kerajaan bersama peminat kecergasan dan jenama pusat kecergasan seperti Fitness First cuba menyerlahkan komitmen dalam memancing perhatian rakyat untuk lebih prihatin menjaga kesihatan diri masingmasing.

Ia dilakukan dengan harapan dapat memberikan inspirasi bagi memastikan lebih ramai menjalani bentuk gaya hidup sihat. Pada 2006, dilaporkan satu daripada tujuh rakyat Malaysia mengalami masalah obesiti tahap 1. Itu angka tujuh tahun lalu. Angka terkini agak menyedihkan apabila statistik terkini menunjukkan satu daripada tiga rakyat negara ini mengalami obesiti tahap 2.

Keadaan ini jelas menunjukkan kadar peningkatan berat badan yang membimbangkan pada individu dewasa. Pengkelasan obesiti ini dibuat berdasarkan kiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI). BMI boleh dikira secara membahagikan berat (kilogram) dengan ketinggian (meter) ganda dua. Rasanya semua orang sudah tahu formula ini, tetapi biarlah diulang semula. BMI = Berat (kilogram)/tinggi (meter) x tinggi (meter).

Bagaimana hendak mengetahui sama ada anda obes atau tidak? Senang saja. BMI melebihi 27 sudah dianggap obes (tahap 0). Anda termasuk dalam kategori obesiti tahap 1 jika BMI anda berada dalam julat 30 hingga 34.9 manakala obesiti tahap 2 (35 hingga 39.9) dan obesiti tahap 3 pula merujuk kepada BMI melebihi 40.

Obesiti tahap 0 bermakna seseorang itu obes, tetapi tiada masalah kesihatan yang disebabkan kegemukannya. Tekanan darah, kandungan lemak dan lainlain ukuran berada dalam paras normal. Orang yang berada dalam kategori obesiti tahap 1 pula menunjukkan gejala kesihatan seperti tekanan darah agak tinggi, enzim hati meningkat dan mengalami kesakitan di sana sini.

Orang yang berada dalam kategori obesiti tahap 2 pula pula mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, diabetes, apnea tidur, osteoartritis, asid refluks, kemurungan, gangguan keresahan dan sukar melakukan pelbagai aktiviti harian. Manakala obesiti tahap 3 pula menandakan kegemukan itu sudah menjejaskan pelbagai fungsi badan seperti berlakunya serangan jantung, komplikasi diabetes, osteoartritis yang teruk dan amat sukar bergerak.

Penentu paling asas terhadap berat badan berlebihan ialah apabila berlaku ketidakseimbangan antara jumlah kalori diambil dan juga kalori yang dibakar.

Tetapi yang nyata kurangnya kesedaran terhadap isu ini diburukkan lagi oleh hakikat bahawa negara kita sememangnya terkenal dengan pelbagai makanan lazat yang berkalori tinggi seperti char kuey teow, mi goreng, roti canai, nasi lemak dan banyak lagi. Hidangan ini melebihi jumlah pengambilan kalori diperlukan badan dalam setiap sajian harian iaitu 2,400 kalori bagi lelaki dan 1,700 kalori bagi wanita.

Tidak dapat dinafikan hidangan ini amat menyelerakan tetapi perlu diketahui bahawa kandungan nutriennya rendah dan boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit seperti jantung, tekanan darah tinggi dan juga diabetes.

Statistik terbaru daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan angka membimbangkan iaitu seramai 5.8 juta rakyat Malaysia mengalami masalah tekanan darah tinggi, 6.2 juga memiliki tahap kolesterol tinggi dan 2.6 juta lagi menghidap kencing manis.

Malah, masalah kesihatan ini adalah faktor risiko bagi kegagalan jantung yang menjadi punca kematian utama di kalangan lelaki dan wanita yang mencatatkan lebih 22,000 kematian setiap tahun.

Wajarlah jika Kementerian Kesihatan menyuarakan kebimbangan terhadap budaya tidak sihat ini dan menganjurkan program serta kempen bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai kepentingan gaya hidup sihat. Paling penting ialah untuk melakukan senaman secara berkala dan berpegang kepada budaya pemakanan seimbang.

Selain itu antara langkah mudah ke arah kehidupan lebih sihat ialah dengan mengamalkan pengambilan kalori harian ditetapkan, melakukan senaman sekurangkurangnya 30 minit setiap hari tiga kali seminggu dan juga memastikan memperoleh tidur yang cukup.

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan



 
Chatroom