Home » » Air Kencing Berbau

Air Kencing Berbau

Masalah Air Kencing Berbau Kurang Menyenangkan

"Mengapa air kencing saya berbau tengik atau meloyakan?" Mungkin soalan tersebut malu untuk ditanyakan kepada doktor, apatah lagi untuk dikongsi bersama ahli keluarga mahupun teman-teman.

Jika hendak disiasat sendiri, mungkin individu yang menghadapi 'tekanan' perasaan ini akan memikir semula tentang apa yang telah dimakan. Mungkinkah asparagus, kopi ginseng, petai, jering atau ubat tertentu?

Bau air kencing berkait rapat dengan faktor isipadu dan kepekatan pelbagai jenis bahan kimia yang disingkirkan oleh buah pinggang.

Secara normal, air kencing yang cair tidak akan membebaskan banyak bau yang kurang menyenangkan. Sebaliknya, jika seseorang dalam keadaan dehidrasi dan air kencing menjadi pekat, ia akan berbau kuat.

"Banyak jenis makanan dan ubat seperti asparagus atau vitamin tertentu mempengaruhi bau air kencing.

Perubahan yang terjadi pada bau air kencing adalah bersifat sementara dan tidak memberi petanda tentang penyakit yang serius," kata pakar urologi dari Yayasan Penyelidikan Mayo, Amerika Syarikat, Dr. Erik Castle.

Namun, menurut Castle, dalam kes tertentu seseorang perlu berwaspada. Sekiranya bau yang kurang menyenangkan berlaku setiap kali membuang air kecil, ia mungkin berpunca daripada jangkitan di salur kencing.

Biasanya, air kencing yang baru dihasilkan buah pinggang dan belum disingkirkan dari tubuh adalah dalam keadaan steril dan tidak berbau, atau hanya berbau yang tidak ketara.

Namun, sejurus ia terdedah pada udara, ia diurai oleh bakteria yang mencemarinya dari bahagian luar kulit dan salur kencing.

Penyakit yang dialami seseorang juga meninggalkan kesan. Jika seseorang menghidap penyakit kuning dengan pigmen hempedu yang berlebihan dalam darah, air kencingnya akan turut mengandungi pigmen tersebut. Ia akan berwarna kuning gelap, jingga atau perang.

Kehadiran darah dalam air kencing serta penyakit porphyria pula menjadi sebab ia menjadi warna merah. Selain itu, bahan lain yang boleh mengubah warna air kencing adalah ubi bit (merah) dan juga asparagus (hijau dan busuk).

Namun, perlu diingatkan bahawa jangkitan tidak semestinya terzahir pada warna air kencing. Lebih utama adalah sama ada air kencing kelihatan keruh. Keadaan sedemikian adalah petanda jelas tentang jangkitan bakteria, atau masalah batu karang.

"Biasanya, bau air kencing adalah disebabkan oleh makanan seperti kopi, atau asparagus yang kaya asid amino bersulfur, ataupun pengambilan ubat tertentu.

"Air kencing yang pekat daripada seorang yang sihat juga berbau teruk," kata Dr. Mary Pickett dari Universiti Sains dan Kesihatan Oregon, Amerika Syarikat.

Beliau memberitahu, seseorang tidak perlu panik dengan kepelbagaian kemungkinan yang menyebabkan masalah tersebut. Apa yang lebih penting adalah seseorang itu faham mengenai kepentingan tabiat minum air secukupnya, bersenam untuk mengeluarkan peluh, serta makan makanan seimbang.

"Kesan pemeraman boleh terjadi pada air kencing yang 'tersimpan' dalam pundi kencing dalam satu tempoh yang lama. Kemudian, jika seseorang itu tidak mengosongkan pundi kencingnya dengan efisien, bau air kencing seperti mengandungi amonia yang kuat," kata Pickett.

"Tetapi, bau air kencing yang seperti aroma manis buah-buahan adalah isyarat bahaya. Ia disebabkan oleh komplikasi diabetes yang dipanggil ketoasidosis," terangnya.

Begitu juga dengan perubahan pada penghasilan garam semula jadi atau bahan kimia tubuh. Itu juga boleh mempengaruhi kekuatan bau air kencing dan membuatkan anda ingin segera keluar dari tandas selepas menunaikan hajat.

Walau apa pun yang anda bimbangkan, langkah pertama adalah dengan mengikuti ujian air kencing di klinik atau hospital berdekatan. Bukan sesuatu yang menghairankan jika keputusan ujian tersebut menyatakan bahawa anda normal, biarpun secara peribadi anda mungkin tidak selesa.

Walaupun benar ia jangkitan kuman sekali pun, seseorang tidak perlu cepat susah hati kerana masih ada penerangan dan kaedah untuk mengatasinya.

Hakikatnya, memang ada di antara kita yang mempunyai air kencing yang berbau teruk, dan ujian klinikal tidak memandang ia suatu yang berbahaya. Anggaplah ia satu daripada keajaiban kaedah semula jadi tubuh dalam menyingkirkan toksik yang tidak diperlukan tubuh.

Mungkin setiap seorang daripada kita perlu mengambil kira tentang beberapa perkara - pengambilan diet, ubat dan makanan tambahan.

Sesetengah jenis vitamin atau makanan tambahan kesihatan atau ketidakseimbangan diet boleh menyebabkan masalah ini. Jika ya, cuba berhenti mengambilnya dan lihat sama ada masalah tersebut turut terhenti.



 
Chatroom