Home » » Fahami pelan insurans berkaitan pelaburan

Fahami pelan insurans berkaitan pelaburan

Fahami pelan insurans berkaitan pelaburan

Adakah ia untuk Pelaburan atau untuk Perlindungan?

Pelan insurans berkaitan pelaburan agak popular dewasa ini. Namun begitu, ramai yang masih keliru tentang sama ada pelan ini merupakan pelan insurans atau pelan pelaburan, atau barangkali kedua-duanya sekali.

Apa Itu Pelan Insurans Berkaitan Pelaburan?

Pelan insurans berkaitan pelaburan adalah pelan insurans hayat yang menggabungkan pelaburan dan perlindungan. Premium anda bukan sahaja menyediakan perlindungan insurans tetapi juga sebahagian daripada premium itu akan dilaburkan dalam dana-dana pelaburan tertentu pilihan anda. Anda boleh memilih cara untuk mengagihkan premium insurans anda untuk perlindungan dan pelaburan. Perlindungan insurans yang diberikan termasuk manfaat kematian, hilang upaya dan penyakit kritikal. Dana pelaburan dibahagikan kepada unit-unit yang sama nilainya. Harga unit-unit ini disiarkan setiap hari dalam surat khabar bagi memudahkan anda mengikuti perkembangan pelaburan tersebut.

Apa yang uniknya tentang Pelan Insurans Berkaitan Pelaburan?

* Anda diberi kebebasan untuk memilih paras perlindungan dan pelaburan anda sendiri.

* Anda boleh mengubah amaun bayaran premium atau perlindungan anda menurut keupayaan kewangan anda.

* Anda boleh memilih daripada pelbagai jenis dana untuk melabur bergantung pada paras risiko yang anda selesa.

* Pelaburan dalam dana pertumbuhan atau dana berkaitan ekuiti boleh memberikan pulangan yang lebih tinggi daripada pelan hayat tradisional dalam jangka panjang. Walau bagaimanapun, anda perlu ingat bahawa pulangan yang tinggi datang dengan risiko yang tinggi.

* Anda boleh memilih antara pelan insurans berkaitan pelaburan premium tunggal atau pelan insurans berkaitan pelaburan premium berkala.

Apa Itu Pelan Insurans Berkaitan Pelaburan Premium Tunggal?

Seperti namanya, pelan insurans berkaitan pelaburan premium tunggal memerlukan anda membuat satu pelaburan sahaja ke dalam pelan. Biasanya ia lebih bertujuan untuk pelaburan daripada perlindungan. Anda boleh memilih untuk menambahkan pelaburan anda atau menebus unit-unit anda pada bila-bila masa.

Apa Itu Pelan Insurans Berkaitan Pelaburan Premium Berkala?

Pelan insurans berkaitan pelaburan premium berkala pula memerlukan anda membuat bayaran premium yang tetap ke dalam pelan. Pada dasarnya ia bertujuan untuk perlindungan walaupun boleh digunakan sebagai pelan simpanan biasa. Ia berfungsi sama seperti pelan insurans hayat tradisional, kecuali anda boleh memilih dana pilihan anda dan mengambil risiko yang lebih tinggi. Unsur pelaburan biasanya merupakan unsur kedua di dalam pelan ini.

Bagaimana saya hendak tahu pelan yang mana sesuai untuk saya?

Apabila anda mengambil keputusan untuk membeli pelan insurans berkaitan pelaburan, anda perlu mempertimbangkan faktor-faktor seperti amaun pelaburan, pilihan sama ada pelan premium tunggal atau premium berkala, jenis dana dan paras perlindungan yang anda perlukan. Membeli produk seperti ini samalah seperti mempunyai pelan peribadi yang digubah khusus supaya bersesuaian dengan keperluan kewangan anda yang tertentu. Adalah penting bagi anda menilai pilihan anda dengan teliti untuk mencari pelan yang sesuai dengan dana yang sesuai yang menepati keperluan anda.

Itulah antara petua untuk menolong anda membuat keputusan bermaklumat sebelum membeli pelan insurans berkaitan pelaburan. Yang penting ialah anda perlu memastikan objektif anda - jika anda berhasrat untuk menambahkan wang anda, maka pelan premium tunggal mungkin lebih sesuai. Tetapi jika anda mahu melindungi diri anda, maka pelan premium berkala lebih sesuai. - Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM)



 
Chatroom