Home » » » Mengurus dana persaraan

Mengurus dana persaraan

Merancang dana persaraan
Adam dan Aida akhirnya boleh berasa lega kerana kini anak mereka, Alisa dan Aiman kedua-duanya tinggal sendiri. Masa berlalu begitu pantas. Ketika mereka sibuk dengan kehidupan anak-anak, kini rumah sunyi kembali dan mereka akhirnya dapat meluangkan sedikit masa bagi diri sendiri.

Mari kita lihat bagaimana mereka menguruskan kebebasan yang dikecapi semula.

Adam membaca beberapa brosur mengenai pakej percutian manakala Aida pula mengambil salah satu novel kegemarannya. Dia betul-betul tiada masa untuk membaca mana-mana novel sehingga habis sejak kelahiran Alisa tetapi sekarang, dia bercadang mengejar masa yang terlepas.

Adam menegurnya lalu berkata: "Sayang, mari kita pergi berbulan madu buat kali kedua?" Dia merancang membawa isteri belayar makan angin dan tiada masa sebaik ini untuk pergi menikmati cuti yang telah lama mereka idamkan... berdua-duaan saja!

Adam dan Aida sekarang berumur lewat 40-an dan cuma beberapa tahun lagi sebelum mereka bersara. Salah satu daripada beban kewangan terbesar mereka sudah tiada lagi oleh sebab kedua-dua anak mereka telah tamat belajar dan kini bekerja di luar negara.

Rancang awal

Sekarang, mereka perlu memikirkan mengenai dana persaraan. Ramai tidak memikirkan merancang bagi persaraan sehingga semua kewajipan yang lain dipenuhi, terutamanya membiayai pendidikan anak-anak.

Ini boleh difahami sebab kebanyakan orang cenderung mengutamakan keperluan berdasarkan kesegeraan dan mungkin tidak mempunyai masa yang cukup menabung bagi persaraan mereka.

Kita mungkin mula membaca semula buku yang kita tidak dapat baca sebelum ini, tetapi kita mungkin tidak mempunyai masa yang cukup mengkaji semula simpanan persaraan kita.

Masa diperlukan untuk mengumpulkan kekayaan, dan masa yang lebih diperlukan untuk bunga kompaun menjadi lebih berkesan bagi pihak kita. Oleh itu, ramai orang hanya bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka, yang mungkin tidak mencukupi.

Tentulah, masa yang paling baik mula merancang persaraan ketika anda baru mula bekerja. Anda patut menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan di dalam dana persaraan berasingan (selain KWSP) dan biarkan bertambah dari tahun ke tahun.

Rasionalkan strategi

Kebanyakan orang, terutama ibu bapa, mempunyai kecenderungan mengeluarkan wang simpanan untuk membiayai pendidikan anak-anak apabila tiba masa mereka masuk kolej.

Jika mereka perlu memilih antara pendidikan anak-anak mereka dengan persaraan mereka sendiri, kebanyakan ibu bapa akan memilih pendidikan anak-anak dan sekali gus mengorbankan matlamat persaraan.

Oleh itu, bagaimanakah kita patut menguruskan kewangan kita semasa fasa hidup kita ini, terutamanya jika kita tidak banyak menyimpan bagi masa tua kita? Mari kita lihat beberapa strategi:

* Atur semula belanjawan - ya, kita patut meneruskan tabiat menyediakan belanjawan dan yang penting, kita mengikutinya. Pada fasa hidup kita ini, kita patut dapat membayangkan gaya hidup persaraan kita dengan lebih jelas dan tepat. Kita harus menyemak semula belanjawan dan membuat penyelarasan wajar untuk menggambarkan gaya hidup selepas persaraan dengan lebih tepat, mengambil kira faktor dan kecemasan lain.

* Peruntukan semula - oleh sebab anda sudah biasa menyimpan bagi pendidikan anak anda selama ini, adalah tidak terlalu sukar untuk teruskan tabiat ini. Namun demikian, anda patut memperuntukkan semula semua yang anda simpan bagi pendidikan anak ke dalam dana persaraan anda.

Jangan sesekali fikir anda kini mempunyai pendapatan yang boleh digunakan begitu saja dan boleh membelanjakan semuanya untuk pergi belayar mengelilingi dunia atau membeli kereta baru. Salurkan semua simpanan ini ke dalam dana persaraan untuk menjadi tambahan bagi simpanan KWSP anda bagi tahun yang akan datang.

* Nilai semula - sebelum melaksanakan rancangan persaraan secara realistik, anda mestilah membuat penilaian risiko kewangan yang boleh memberi kesan kepada persaraan anda:

Jangkaan hayat

Pertimbangkan jangka hayat keluarga anda. Jika anda mempunyai gen berjangka hayat yang lebih panjang dalam keluarga, anda boleh membuat jangkaan untuk hidup lebih lama. Walau bagaimanapun, jangka hayat lebih panjang memerlukan simpanan mampu bertahan lebih lama. Anda mahu memastikan tidak hidup lebih lama daripada tempoh masa simpanan.

Ambil kira kesan inflasi terhadap kuasa pembelian masa depan bagi wang anda hari ini. Anda mungkin hanya mampu membeli separuh daripada sebuku roti dengan jumlah wang yang sama anda belanjakan atas sebuku roti hari ini. Semak semula peruntukkan aset pelaburan anda. Peruntukan aset yang terlalu konservatif mungkin mendedahkan anda kepada risiko tidak mampu mengatasi inflasi.

Berdisiplin terhadap jumlah yang anda keluarkan daripada dana persaraan supaya aset persaraan anda tidak berkurangan dengan terlalu cepat. Ambil kira kos penjagaan kesihatan yang melambung naik. Apabila kita meningkat tua, kos penjagaan kesihatan juga semakin naik secara serentak dan boleh menjejas tabungan anda dengan ketara.

Sekiranya anda tidak memiliki pelan insurans kesihatan yang komprehensif. Pertimbangkan risiko yang mana paling besar bagi anda dan ambillah langkah perlu meminimumkan kesannya.

* Hitung semula - selepas mempertimbangkan perkara di atas, anda mungkin mahu menghitung semula keperluan dana persaraan anda dengan mengikuti langkah berikut. Anda boleh dapatkan khidmat seorang perancang kewangan atau melayari internet untuk kalkulator perancangan persaraan.

* Langkah 1: Buat unjuran pendapatan persaraan yang anda mahu bagi tahun pertama

* Langkah 2: Anggarkan dana persaraan sekali gus yang diperlukan (terlaras inflasi)

* Langkah 3: Tentukan sumber pendapatan semasa dan masa depan yang perlu untuk pendanaan persaraan

* Langkah 4: Tukarkan nilai semasa sumber tersebut kepada nilai masa depan sewaktu bersara

* Langkah 5: Tentukan jurang persaraan, jika ada

* Langkah 6: Tentukan keperluan dana sewaktu tempoh prapersaraan untuk merapatkan jurang persaraan

* Bersantai - selepas melalui semua yang di atas, tibalah masanya untuk anda duduk dengan novel kegemaran dan secawan kopi-kau atau teh tarik dan bersantai! Lagipun, anda sudah melakukan yang terbaik dan anda berhak untuk mendapat rehat yang sempurna.

~ BH



 
Chatroom