Home » » Kisah Imam Abu Hanifah

Kisah Imam Abu Hanifah

Kisah Imam Abu Hanifah

Imam Abu Hanifah seorang pelajar pintar, malah beliau pernah digambarkan gurunya (dalam bidang hadis): "Aku tahu bahawa matahari adalah cerah. Aku tahu pembelajaran dan Abu Hanifah seiring antara satu sama lain."

Beliau terkenal dengan kerajinan menuntut ilmu dan sangat menghormati gurunya, malah sering memberikan hadiah kepada mereka termasuk guru yang mengajar anaknya.

Disebabkan kepintaran dan ketekunan itu, beliau terkenal dengan kebijaksanaan dalam membezakan hadis sahih dan sebaliknya kerana sangat berhati-hati dalam menentukan sesuatu hukum mengikut martabat hadis.

Lebih penting, beliau muncul sebagai ilmuwan dan ahli fikir Islam yang bijak menggunakan akal dalam memutuskan hukum apabila ia tidak terdapat dalam al-Quran dan hadis. Keistimewaan luar biasa beliau diakui sendiri Imam Malik.

Suatu ketika Imam Abu Hanifah menemui Imam Malik yang sedang duduk bersama beberapa sahabatnya.

Apabila beliau keluar, Imam Malik menoleh kepada sahabatnya dan bertanya: "Tahukah kalian, siapa beliau?" Mereka menjawab: "Tidak."

Imam Malik berkata: "Beliaulah Nukman bin Tsabit, yang seandainya berkata bahawa tiang masjid itu emas, nescaya perkataannya diterima orang sebagai hujah."

Tidaklah dikatakan sebagai berlebih-lebihan apa yang diucapkan Imam Malik dalam menggambarkan diri Imam Abu Hanifah kerana beliau memang memiliki kekuatan dalam berhujah, cepat daya tangkapnya, cerdas dan tajam wawasannya.

Buku sejarah banyak menggambarkan kekuatan hujah beliau dalam menghadapi lawan bicaranya ketika berdebat. Demikian juga hujahnya ketika menghadapi golongan penentang akidah.

Semuanya membuktikan kebenaran pujian Imam Malik: "Seandainya beliau mengatakan bahawa tanah di tanganmu itu emas, maka engkau akan membenarkannya kerana alasannya yang tepat dan mengikuti pernyataannya."

Mengenai susuk peribadi Imam Abu Hanifah pula, digambarkan seorang yang mempunyai ketinggian sederhana, kacak, kurus, baik wajahnya dan berperwatakan manis, bahkan tampak kehebatannya.

Beliau mempunyai janggut yang panjang dan dalam keadaan tenang. Tutur katanya baik dan fasih.

Cara beliau bercakap sangat menyenangkan dengan suaranya yang kuat dan jelas sehingga sesuatu masalah dihadapi menjadi mudah untuk diselesaikan.

Selain itu, beliau seorang bercita rasa baik dan sering mengenakan wangian apabila keluar rumah.

Beliau juga suka berpakaian dengan baik. Kadangkala beliau memakai jubah.

Abu Nu'aim berkata: "Abu Hanifah adalah seorang yang tampan. Wajahnya bersih dan baik janggutnya. Begitu juga pakaian dan kasutnya. Banyak berkorban kepada manusia."

Beliau seorang pembersih. Malah, ada seorang pernah bercerita mengenai kasutnya: "Beliau sangat menjaga kebersihan kasutnya sehingga tidak ternampak sedikit pun kotoran."

Oleh kerana beliau sangat mengambil berat mengenai kebersihan dan aspek pemakaian, beliau juga sering memberikan nasihat kepada orang lain agar mengikutinya.

Pada satu hari di majlis perhimpunan ada dalam kalangan hadirin berpakaian tidak senonoh.

Beliau meminta orang itu menemuinya di luar majlis dan kemudiannya menghadiahkan kepadanya seribu dirham untuk membeli pakaian baru.

Namun orang itu berkata kepadanya: "Aku adalah seorang kaya dan aku tidak berkehendak kepada sebarang pertolongan."

Imam Abu Hanifah menjawab: "Tidakkah kamu mendengar sabda Rasulullah SAW yang berbunyi (maksudnya) bahawa Allah suka melihat kesan nikmat yang diberikan kepada hamba-Nya. Oleh itu, hendaklah kamu mengubah kedudukan kamu agar orang lain tidak akan jemu kepada kamu." - Bersambung



 
Chatroom