Home » » Hikmah ujian hidup

Hikmah ujian hidup

Hikmah ujian hidup

Setiap manusia pasti tidak akan terlepas menghadapi ujian Allah. Sesungguhnya, ujian dan musibah yang datang bertubi-tubi menerpa hidup manusia adalah suatu ketentuan yang ditetapkan oleh Allah.

Kita sebagai hamba-Nya tidak mempunyai kudrat untuk menghalang ketentuan Allah. Setiap ujian Allah untuk hamba-Nya mempunyai makna tersirat di sebaliknya yang mana ramai manusia tidak mampu melihat hikmah berkenaan.

Hikmah di sebalik ujian diberikan oleh Allah hanya mampu dilihat oleh orang yang sabar dan mempunyai mata hati suci. Ujian datang dalam dua bentuk, iaitu kesenangan dan kesedihan.

Kesenangan dunia juga adalah ujian, contohnya dalam bentuk harta dan jawatan, manakala ujian kesedihan pula termasuklah kehilangan orang tersayang, kemiskinan dan kehilangan harta benda.

Musibah yang menimpa kita semua, sama ada orang itu baik atau tidak, bukanlah perkara yang difokuskan.

Sebaliknya, bagaimana keadaan seseorang menghadapi saat ditimpa musibah itulah yang akan menentukan darjatnya di sisi Allah.

Bangkit kembali

Orang yang beriman apabila diuji oleh Allah, akan bersifat tenang dan bersabar. Golongan inilah yang dijanjikan syurga oleh-Nya. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Sungguh menakjubkan urusan (pekerjaan) seorang Mukmin (yang sempurna imannya), semua yang berlaku ke atas dirinya adalah baik belaka.

"Ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang Mukmin, iaitu jika beroleh kesenangan, dia bersyukur dan syukur itu lebih baik baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar dan sabar itu lebih baik baginya." (Riwayat Muslim)

Ketika ditimpa musibah, yang penting ialah seseorang hamba Allah itu mendapat kekuatan untuk bersabar dan terus bangkit kembali setelah diuji. Seperti kata bijak pandai dalam bahasa Inggeris: "It is not how you fall, but how high you bounce back."

Sesungguhnya, segala musibah yang menimpa kita tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengajak kita semua kembali kepada-Nya. Kita sebagai hamba-Nya yang hina tidak mempunyai sebarang kekuatan, melainkan kita hanya bergantung harap kepada-Nya semata-mata.

Seperti yang kita lihat pada hari ini, umat Islam banyak diuji dengan pelbagai ujian. Umat Islam dibunuh, dijajah, dizalimi, dibelenggu kemiskinan, menghadapi kematian dan yang terbaharu ialah kehilangan pesawat MH370 yang dikatakan berakhir di Lautan Hindi.

Rata-rata manusia di dunia ini pasti merasai kesedihan atas kejadian yang berlaku walaupun tidak mempunyai tali persaudaraan dengan mangsa terbabit. Inilah yang digarapkan dalam Islam agar mengambil tahu hal orang lain, bukannya mengendahkan diri sendiri sahaja.

Berbaik sangka

Sebagaimana sabda Nabi: "Barang siapa tidak mengambil berat mengenai urusan umat Islam, maka bukanlah mereka dari kalangannya.

"Sesungguhnya segala musibah dan ujian yang diberikan Allah, hakikatnya untuk mengingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah serta menegakkan hukum-Nya dalam seluruh aspek kehidupan."

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami mengutus (rasul-rasul) kepada umatumat yang sebelum kamu, kemudian kami seksa mereka dengan menimpakan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka memohon kepada Allah dengan tunduk merendah diri." (Surah al-An'am).

Namun malangnya, hari ini manusia terus-menerus melakukan kemaksiatan dan kemungkaran di muka bumi. Perlu diingati bahawa Allah tidak pernah sesekali menzalimi hamba-Nya, sebaliknya manusialah yang sering lalai dan terbuai dengan kenikmatan dunia.

Berbaik sangkalah dengan Allah kerana Dia Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Marilah kita sama-sama kembali kepada-Nya kerana kita datang dari-Nya dan kepada-Nya kita akan kembali.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang yang beriman dan memperoleh syurga-Nya.

Oleh Nor Amirah Awang



 
Chatroom