Home » » Penyakit ekzema (dermatitis)

Penyakit ekzema (dermatitis)

Penyakit ekzema (dermatitis)

Biarpun ekzema (dermatitis) adalah penyakit yang menyusahkan, ia boleh dikawal. Dengan rawatan dan penjagaan yang sesuai, penghidap ekzema boleh menikmati kehidupan berkualiti dan menyertai sebarang aktiviti, baik bersama keluarga, di sekolah atau di pejabat.

Ekzema adalah keradangan kulit yang muncul dari semasa ke semasa. Dermatitis atopik adalah jenis ekzema yang paling biasa dan ia selalunya muncul pada zaman awal kanak-kanak sebelum berusia 5 tahun.

Bagi penghidap ekzema, kelembapan boleh hilang dengan mudah dari kulit, ia menyebabkan kulit mengering dan mengelupas. Antara simptomnya ialah tompok kelabu keperangan, kegatalan, benjolan kecil dan vesikel yang mengeluarkan cecair dan membentuk kerak, kulit yang menebal serta bersisik.

Penjagaan kulit dan pengurusan keradangan yang baik biasanya dapat mengurangkan simptom dan mengawal masalah kulit yang timbul.

Kelembapan amat penting

Penjagaan kulit yang baik elemen utama di dalam mengawal ekzema. Bagi mereka dengan ekzema sederhana, memastikan kulit lembut dan lembap menerusi penggunaan emolien yang kerap biasanya sudah memadai untuk mengawal simptom.

Emolien adalah pelembap bukan kosmetik yang didatangkan dalam bentuk krim, salap dan losen. Ia melembap dan mencegah rekahan, situasi ini menjadikan ia lebih selesa dan kurang gatal untuk penghidap ekzema.

Jenis emolien yang digunakan bergantung kepada keadaan ekzema, bahagian tubuh yang terlibat dan reaksinya terhadap ramuan yang digunakan di dalam emolien tersebut.

Krim mengandungi campuran lemak dan air serta menyamankan kulit. Disebabkan itu, ramai orang yang mempunyai ekzema memilih krim bagi penggunaan pada waktu siang. Bagaimanapun, terdapat krim yang menggunakan bahan pengawet dan walaupun jarang berlaku, ia boleh mengganggu tahap sensitif kulit.

Salap tidak mengandungi bahan pengawet, ia agak berminyak dan mungkin tidak digemari jika dinilai dari segi kosmetik. Biarpun begitu, salap amat berkesan dalam mengekalkan kelembapan di dalam kulit. Ia amat berguna untuk kulit yang tebal dan kering.

Losen memiliki kandungan air yang tinggi dan lemak yang kurang berbanding krim. Ia juga tersejat dengan mudah; fakta ini menjadikan ia kurang berkesan di dalam mengekalkan kelembapan. Ia mudah untuk digunakan, terutama pada bahagian tubuh yang berbulu.

Penggunaan emolien yang kerap boleh membantu anda mengawal simptom ekzema tahap sederhana. Bagaimanapun, mereka yang menghidap ekzema tahap teruk memerlukan ubat-ubatan yang sesuai untuk mengawal keradangan yang timbul.

Ubat-ubatan bagi mengawal ekzema


Guna krim Kortikosteroid untuk salap. Preskripsi krim atau salap kortikosteroid boleh meredakan keradangan dan kegatalan. Sesetengah krim kortikosteroid berpotensi rendah boleh didapati di kaunter, namun perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan sebarang kortikosteroid topikal. Ia berkesan dan selamat jika diguna dengan betul.

Kebanyakan orang masih risau akan kesan sampingan akibat penggunaan steroid topikal. Sebagai panduan, gunakan steroid pada kadar yang sesuai mengikut tahap keterukan ekzema. Tukarkan kadar rawatan apabila tahap keterukan berubah.

Steroid topikal biasanya tidak digunakan lagi sebaik simptom hilang, ia disambung jika tompok baru mula kelihatan. Ia selamat apabila digunakan mengikut kadar berpatutan. Antara kesan sampingan akibat penggunaan jangka panjang kortikosteroid topikal ialah kerengsaan atau perubahan warna kulit, penipisan kulit, jangkitan dan kesan regangan.

Antibiotik. Anda mungkin perlu antibiotik jika anda mengalami jangkitan kulit bakteria dan tanda jangkitan bakteria ialah 'weeping', kerak, jerawat atau bengkak yang menyakitkan. Doktor anda akan mengesyorkan pengambilan antibiotik untuk tempoh yang pendek bagi merawat jangkitan. Untuk sesetengah situasi, kemasukan ke wad adalah perlu bagi rawatan intravena.

Antihistamin secara oral. Ia membantu meredakan kegatalan yang teruk. Bagaimanapun, antihistamin seperti Diphenhydramine (Benadryl, lain-lain) boleh menyebabkan anda mengantuk. Jika kulit anda merekah, doktor anda akan memberi preskripsi yang membabitkan pembalut basah dengan kepedihan minimum untuk mengelakkan jangkitan.

Kortikosteroid. Bagi kes ekzema yang amat teruk, doktor anda akan memberi preskripsi kortikosteroid secara oral seperti prednisone. Ia bertujuan mengurangkan keradangan dan mengawal simptom. Ubat-ubat ini berkesan, tetapi hanya digunakan untuk jangka masa pendek sahaja. Ia tidak boleh digunakan melebihi tempoh beberapa minggu tanpa kesan sampingan yang ketara.

Mengawal gaya hidup

Kemunculan dan tahap keterukan ekzema boleh dikaitkan dengan gaya hidup seseorang. Tekanan, aktiviti fizikal, alahan sentuhan dan perubahan suhu antara penyebab utama.

Pengurusan tekanan adalah penting di dalam pengawalan ekzema. Pada kebiasaannya, ia membabitkan rehat yang mencukupi dan penukaran reaksi jika berhadapan situasi yang tidak dapat dielakkan. Tidur yang mencukupi juga antara faktor terpenting.

Elakkan alergen yang dikenal pasti seperti hama, debunga, bulu haiwan, dan bahan pakaian seperti bulu dan sintetik. Alahan berasaskan makanan boleh menjejaskan satu pertiga daripada kanak-kanak yang menghidap ekzema. Ia menjadi penyebab keradangan dalam kalangan kanak-kanak yang berumur kurang dua tahun.


Oleh Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim



 
Chatroom