Home » » Wanita Melayu jarang bersenam

Wanita Melayu jarang bersenam

Wanita Melayu jarang bersenam
Memang sukar utk seseorang itu terutamanya wanita Melayu hendak memulakan sesuatu senaman terutamanya jika individu tersebut sememangnya jarang bersenam.

Sudah terlalu banyak program-program kesedaran amalan gaya hidup sihat yang diadakan oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO), namun sejauh mana kesedaran wanita Melayu tentang perkara ini masih menjadi titik persoalan.

Kaum wanita melalui pelbagai perubahan fizikal dalam kehidupan mereka dari zaman remaja, seterusnya ke fasa kehamilan, kemudian menjadi seorang ibu sehinggalah sampai ke tahap menopaus.

Oleh sebab terlalu banyak fasa yang perlu ditempuhi oleh golongan wanita, mereka perlu mengekalkan kehidupan aktif untuk membantu membina kecergasan selain memberi tenaga untuk menjalani hari yang sibuk.

Jika ditinjau, wanita Cina mempunyai kesedaran yang amat tinggi tentang amalan gaya hidup sihat dan tidak hairanlah hanya kelibat mereka sahaja yang melakukan senaman pada setiap pagi dan petang di taman-taman rekreasi.

Selain melakukan senaman tai chi dan yoga, mereka juga mengamalkan pemakanan yang sihat dengan mengambil sayur-sayuran, minum air putih serta mengamalkan pengambilan jus buah-buahan untuk penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Kajian menunjukkan bahawa wanita Cina mempunyai jangka hayat paling lama iaitu 79.8 tahun, wanita India (76.2 tahun), wanita Bumiputera (75.3 tahun), lelaki Cina (74.4 tahun), lelaki Bumiputera (70.5 tahun) dan lelaki India (68 tahun).

Tidak mustahil mereka mampu hidup lebih lama dan kekal sihat walaupun pada usia emas atas faktor-faktor amalan penjagaan kesihatan yang baik.

Alasan seperti kurang bertenaga, tak larat, semput, sudah berusia, tiada masa, malu, tiada pakaian yang sesuai, dan ketiadaan kemudahan untuk muslimah menjadi antara alasan wanita Melayu tidak mahu bersenam.

Tanpa sedar, kita memandang remeh dan kurang peka tentang kepentingan penjagaan kesihatan, walaupun amalan gaya hidup sihat boleh mengurangkan risiko pelbagai penyakit.

Ini diakui sendiri oleh Salmah Hamid, 63, yang ditemui dalam program Jom Senam 2014 yang bersetuju bahawa wanita Melayu kurang kesedaran untuk bersenam seperti yang dilakukan masyarakat Cina.

“Umur saya sudah mencecah 60-an tetapi tiada sedikit pun halangan untuk saya bersama-sama bersenam dengan orang muda dan bagi mereka yang memberi alasan tentang faktor usia, sebenarnya tiada umur yang dikatakan terlalu lewat untuk mula bersenam, walaupun sudah memasuki umur emas.

“Semua orang pun sudah sedia maklum bahawa semakin kita berusia, semakin banyak risiko penyakit yang menunggu. Jadikanlah senaman sebagai aktiviti harian untuk penjagaan kesihatan dan walaupun kita sudah ada penyakit, bersenam boleh membantu kita mengawal penyakit dengan lebih baik," katanya.

Bagi Rahmah Abdul Rahman, 52, pula, dia yang sentiasa bersenam pada setiap hari mengambil peluang menyertai aktiviti kesihatan yang diadakan di kawasan tempat tinggalnya kerana memikirkan kebaikan yang diperolehnya dengan bersenam.

“Selain menyihatkan badan, kita juga dapat mencerdaskan minda seterusnya dapat kekal aktif untuk menguruskan hal di rumah dan saya amat menggalakkan wanita-wanita di luar sana bersenam untuk sihat luaran dan dalaman," katanya.

Dia menyifatkan wanita yang gemar memberi alasan tidak mahu bersenam mempunyai minda yang terkongkong yang hanya akan membiarkan kesihatan merosot tanpa berbuat apa-apa sehingga hari tua.

“Sebenarnya diri sendiri sahaja yang menjadi halangan terbesar wanita tidak mahu bersenam kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Cuba motivasikan diri, lama-kelamaan kita sendiri akan sedar tentang kepentingan penjagaan kesihatan fizikal," tambahnya.

Senaman jelasnya, adalah satu aspek yang penting bagi mereka yang mahu mengurangkan berat badan dan sekiranya seseorang telah memulakan pelan pemakanan yang sihat dan seimbang, senaman akan membantu mempercepatkan lagi proses pengurangan berat badan dan pembakaran lemak tersebut dan mengelakkan pelbagai permasalahan yang mungkin dihadapi sekiranya mempunyai berat badan yang tinggi atau obes.



 
Chatroom