Home » » Makanan bertin: Baik atau tidak?

Makanan bertin: Baik atau tidak?

Makanan bertin: Baik atau tidak?

Selain daripada makanan segar, kita juga sering membeli makanan bertin (misalnya ikan sardin, tuna, jagung dan kacang panggang) supaya boleh menyediakan makanan dalam waktu yang cepat.

Makanan dalam tin sering menjadi pilihan terutama ketika kesuntukan waktu untuk menyediakan pelbagai hidangan. Secara umumnya makanan bertin selamat untuk dimakan, malah khasiatnya mungkin tidak jauh berbeza daripada makanan yang dimasak daripada bahan mentah. Proses pengetinan yang melibatkan pemanasan makanan pada suhu yang tinggi dapat mengekalkan kesegaran, rasa dan nutrien yang terkandung di dalamnya.

Seperti makanan lain yang diproses, makanan bertin juga mengandungi aditif makanan yang dibenarkan seperti bahan pengawet, pewarna dan perasa. Namun, ada juga makanan bertin yang tidak mengandungi bahan pengawet atau aditif makanan tersebut. Kita perlu bijak memilih dan membaca label makanan yang dilekatkan pada tin makanan sebelum membelinya. 


Sebagai langkah berjaga-jaga, bilas bahagian atas tin dengan air bersih sebelum membukanya. Tetapi jika belum ingin dimakan, simpan di tempat yang sejuk atau kering untuk mengelakkannya daripada berkarat. Jangan simpan berhampiran dengan paip, dapur, relau dan jauhi daripada cahaya matahari secara langsung. Tin berkarat boleh menyebabkan kebocoran dan merosakkan makanan tersebut. 

Berikut beberapa tips ketika memilih makanan dalam tin:
1)    Semak kualiti pembungkusan, jangan membeli makanan dalam tin yang kemek, bocor, retak atau membonjol.
2)    Semak senarai ramuan makanan pada label makanan dan ambil perhatian tentang aditif yang ditambah seperti bahan pengawet, pewarna, perasa dan sebagainya.
3)    Baca label makanan untuk mengetahui tarikh luput dan baca panel maklumat pemakanan.
4)    Buat pilihan bijak untuk pelbagai produk yang sedia ada. Pilih makanan yang kurang lemak, kurang garam atau tiada garam, kurang atau tanpa gula.
5)    Elakkan makanan yang mengandungi sirap atau kuantiti minyak yang banyak.

Sumber: Try Masak



 
Chatroom