Home » » Biodata Ajai (Biografi Ringkas Mohd Faizal Maas)

Biodata Ajai (Biografi Ringkas Mohd Faizal Maas)

Tentang Ajai 

Mohd Faizal Maas atau Ajai mula dikenali menerusi kumpulan Exists selaku pemain keyboard. Bersama Exists sehingga terhasil tiga buah album, Ajai kemudiannya perlahan-lahan menempa nama sebagai seorang komposer.

Setelah Ajai menarik diri dari Exists, Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 2002 itu mula menghasilkan lagu dan album duet bersama isterinya ketika itu, Nurul Wahab. Gandingan mereka cukup mantap sehingga dianggap pasangan duet paling serasi.

Lagu-lagu seperti “Aku Cinta”, “Aku Rindu”, “Sehati Sejiwa” dan “Maafkanku” nyanyian pasangan ini pernah hit sekitar tahun 2000. Namun jodoh Ajai dan Nurul tak panjang apabila mereka bercerai pada tahun 2006 setelah 10 tahun bernikah.

Biodata Ajai (Biografi Ringkas Mohd Faizal Maas)

Sejak perceraian tersebut, terkubur sudah lagu-lagu duet yang indah dimainkan di corong-corong radio. Ajai mula giat menghasilkan dan menerbitkan album buat artis-artis lain seperti Dato’ Sheila Majid, Dato’ Siti Nurhaliza, Kris Dayanti dan Misha Omar sebelum menjinakkan diri dalam pembikinan runut bunyi untuk layar perak seperti ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ (2004), ‘Waris Jari Hantu’ (2007), ‘Kayangan’ (2007) dan ‘1957: Hati Malaya’ (2007).

Sentuhan Midas yang dimiliki Ajai memastikan namanya tidak lekang dari mana-mana majlis penganugerahan. Di Anugerah Juara Lagu (AJL) 15, “Kau Kekasihku” dari album ‘Pancawarna’ Dato’ Siti Nurhaliza menjarai Kategori Balada. “Seandainya Masih Ada Cinta”, dendangan Dayang Nurfaizah, dinobatkan sebagai pemenang Kategori Balada AJL 16. Lagu tersebut juga memenangi Lagu Terbaik (lirik oleh Syed ENV) Anugerah Industri Muzik (AIM) 19.

Di AIM 10, bersandarkan album ‘Sarah’ yang diterbitkan untuk Sarah Raisuddin, Ajai mendapat pengiktirafan dalam kategori Album Terbaik dan Album Pop Terbaik. Keputusan sama diraih di AIM 11, kali ini untuk album ‘E.M.A.S’ Dato’ Siti. Di majlis yang sama juga, lagu nyanyian Ning Baizura, “Selagi Ada Cinta” (lirik oleh Nurul Wahab) memenangi Lagu Terbaik.

Pada AJL 19, “Pulangkan”, nyanyian Misha Omar diumumkan sebagai juara Kategori Balada. “Noktah Cinta” (lirik oleh Sheikh Qalam) dan “Ku Akui”, kedua-duanya nyanyian Hafiz, masing-masing mendapat tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu 25 dan 27, serta anugerah Vokal Terbaik untuk Hafiz.

Kini setelah lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang muzik, nama Ajai sudah cukup gah sehingga layak digelar ‘mentor’. Malah dia juga memiliki syarikat rakamannya sendiri bernama Wake The Baby yang ditubuhkan pada tahun 2002.

Menjadi mentor buat Chaq dalam musim ketiga Mentor, Ajai berjaya mendidik abang kepada Stacy Anam itu sehingga layak ke pusingan akhir. Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila Chaq tewas ditangan Black.



 
Chatroom